Harimau Malaya Ke Hong Kong, Teruskan Misi Buru Kemenangan Sulung

Setelah gagal dalam misi meraih mata penuh di halaman sendiri menentang Hong Kong tempohari, Harimau Malaya kini berkunjung ke Hong Kong untuk meneruskan misi mencari mata dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019.

Bukan mudah untuk mencuri mata di tempat lawan, namun dengan tambahan tenaga muda, diharapkan skuad kebangsaan mampu menghadirkan sesuatu yang dapat memuaskan hati semua pihak.

Sebelum Sepak Mula

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada masih tercari-cari kemenangan pertama sejak dilantik pada Jun lalu dan juga setelah melalui empat siri perlawanan.

Ini mungkin satu-satunya peluang untuk skuad kebangsaan meraih tiga mata kerana baki perlawanan adalah menentang Korea Utara dan Lubnan. Hong Kong boleh dikatakan lawan yang setara.

Vingada mungkin akan membuat beberapa perubahan pemain apabila telah menyenaraikan enam pemain skuad Sukan SEA 2017 yang meraih pingat perak baru-baru ini.

Hafizul Hakim
Hafizul Hakim cemerlang dalam penampilan ketiga bersama skuad Harimau Malaya di Melaka tempohari. Foto: Asiana.my

Di gawang, Hafizul Hakim, wira ketika Malaysia mengikat Hong Kong dengan keputusan 1-1 di Melaka pada 5 September lalu, berkemungkinan akan diturunkan.

Di benteng pasti akan berlaku beberapa perubahan akibat penggantungan Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan. Shahrom Kalam dan Nazirul Naim akan mengekalkan posisi masing-masing.

Tempat Rizal sudah pastinya bakal diisi oleh Matthew Davies. Untuk posisi Aidil, Adam Nor Azlin mempunyai sedikit kelebihan berbanding Khairul Helmi Johari selepas aksi kentalnya dalam tugasan Sukan SEA.

Di jentera tengah, Kiko Insa, Safiq Rahim dan Nor Azam Azih berkemungkinan akan membentuk gandingan tiga pemain di tengah. Namun, status kecergasan Kiko Insa sedikit meragukan pada ketika ini.

Kematangan Permainan Nor Azam Azih Melayakkannya Untuk Berada Dalam Kesebelasan Utama, Bergantung Kepada Keputusan Nelo Vingada.

Kegagalan Baddrol Bakhtiar mempamerkan aksi tahap sebenar dalam perlawanan di Melaka tempohari, bakal membuka ruang buat Safawi Rasid untuk bergandingan dengan Syazwan Zainon di sayap.

Dan, tiada pilihan lain, Darren Lok bakal mengemudi jentera serangan skuad kebangsaan malam ini. Walaubagaimanapun, status kecergasan Darren Lok juga masih menjadi tanda tanya.

Hong Kong dilihat telah memanggil sejumlah pemain baharu selepas mencatatkan keputusan seri dalam aksi sebelum ini. 3 pemain kelahiran Sepanyol turun mendapat tempat di dalam skuad kendalian Kim Pan-Gon.

Tumpuan bakal diberikan sepenuhnya kepada penyerang Jordi Tarres yang telah meledak gol pertama dalam penampilan pertamanya pada 5 Oktober lalu. Hong Kong menang 4-0 ke atas Laos.

Pemain Tumpuan

Pemain Berpotensi Besar, Safawi Rasid Layak Diberi Peluang Bersama Skuad Kebangsaan. Kredit foto: Nazrulhad Hashim / www.asiana.my

Bagi penulis, Safawi Rasid adalah pemain tumpuan untuk aksi malam ini, sekiranya dia diturunkan oleh Vingada. Dengan kecergasan Darren Lok diragui, berkemungkinan Safawi bakal menjadi pemain harapan.

Aksi baik Safawi dalam Sukan SEA mungkin boleh diteruskan dalam misi pencarian tiga mata skuad kebangsaan. Ya, dia ada melakukan kesilapan dalam aksi final, tetapi secara keseluruhan prestasinya di tahap yang baik.

Safawi mampu menghadirkan dimensi yang berbeza buat jentera serangan. Kepantasan larian, kawalan bola yang baik serta memiliki rembatan padu adalah aset buat pemain berusia 20 tahun ini.

Rekod Pertemuan

5 pertembungan terkini, Malaysia menang satu aksi, selebihnya kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri.

  • 3 Jun 2011: Malaysia 1-1 Hong Kong (Persahabatan)
  • 16 Oktober 2012: Malaysia 3-0 Hong Kong (Persahabatan)
  • 14 November 2012: Malaysia 1-1 Hong Kong (Persahabatan)
  • 6 Jun 2015: Malaysia 0-0 Hong Kong (Persahabatan)
  • 5 September 2017: Malaysia 1-1 Hong Kong (Kelayakan Piala Asia 2019)

Rekod Semasa

Malaysia (Seri 1, Kalah 3):

  • 13 Jun: Malaysia 1-2 Lubnan (Kelayakan Piala Asia 2019)
  • 22 Ogos: Malaysia 1-2 Syria (Persahabatan)
  • 29 Ogos: Malaysia 0-1 Myanmar (Persahabatan)
  • 5 September: Malaysia 1-1 Hong Kong (Kelayakan Piala Asia 2019)

Hong Kong (Menang 1, Seri 3):

  • 13 Jun: Hong Kong 1-1 Korea Utara (Kelayakan Piala Asia 2019)
  • 31 Ogos: Hong Kong 1-1 Singapura (Persahabatan)
  • 5 September: Malaysia 1-1 Hong Kong (Kelayakan Piala Asia 2019)
  • 5 Oktober: Hong Kong 4-0 Laos (Persahabatan)

Ramalan Semuanya BOLA

Perlawanan yang dijangkakan sengit, kerana masing-masing dalam misi untuk menghidupkan peluang untuk beraksi di pentas Piala Asia 2019.

Beraksi di laman sendiri, dengan beberapa tenaga naturalisasi baharu, mungkin memberikan sedikit kelebihan buat skuad ‘The Dragons’ ke atas skuad Harimau Malaya.

Namun, Harimau Malaya juga memiliki beberapa tenaga ‘segar’ di dalam skuad kali ini dengan penyenaraian enam pemain skuad B-22 tahun negara.

Sukar untuk membuat ramalan keputusan perlawanan ini dan dijangkakan kedua-dua pasukan bakal berpuas hati dengan keputusan seri sekali lagi.

Hong Kong 1-1 Malaysia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN