Pemain skuad B-22 tahun negara, Adam Nor Azlin menyatakan bahawa kerjasama antara pemain muda dan senior adalah kunci untuk mendapat keputusan positif menjelang pertemuan menentang Hong Kong, 10 Oktober ini.
“Kami mahu kehadiran kami memberi impak kepada skuad kebangsaan dan saya amat berharap yang pemain-pemain lebih senior akan membantu kami nanti,” ujar Adam kepada Goal.com.
Adam adalah antara tonggak penting membantu skuad Sukan SEA 2017 meraih pingat perak tempohari. Kematangan aksinya membantu benteng pertahanan skuad B-22 lebih stabil dan sering kali berjaya dalam mengekang asakan lawan.
Dengan gandingan di benteng skuad kebangsaan ketika ini dilihat kurang meyakinkan, sudah tiba masanya untuk ketua jurulatih, Nelo Vingada mempertimbangkan kemasukkan Adam dalam kesebelasan utama untuk memperbaiki struktur pertahanannya.
“Kami memerlukan keyakinan untuk beraksi bersama mereka (pemain senior), dan saya berharap kombinasi pemain muda dan senior akan memberikan keputusan yang positif ketika berdepan Hong Kong,” ujarnya lagi.
Turut senada dengan Adam adalah pemain tengah meningkat naik, Nor Azam Azih. Baginya, semua pemain termasuk pemain muda perlu bekerjasama untuk memastikan skuad kebangsaan meraih kemenangan ke atas Hong Kong nanti.
“Ada beberapa lagi pemain daripada skuad B-22 tahun turut bersama kali ini, jadi ini satu petanda positif buat kami. Bukan saja dari segi keserasian, tapi pemain muda ini bersedia buat kerja untuk pasukan,” Azam dipetik berkata kepada Berita Harian.
Tambahnya lagi, ini bukanlah masanya untuk membuat perbandingan siapa lebih bagus. Semua pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan perlu bekerjasama dalam menentukan kejayaan skuad kebangsaan, tidak kira pemain muda atau senior.
“Sudah pasti saya mahu bermain dengan Safiq, dia pemain senior dan banyak yang saya boleh belajar daripadanya,” ujar Azam ketika ditanya pendapatnya mengenai gandingannya bersama kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim.
Bak kata Pengurus Manchester United, Jose Mourinho sekitar tahun 2014 yang lalu, kombinasi pemain berpengalaman dan muda perlu dibentuk untuk memberikan keseimbangan di dalam padang dalam setiap perlawanan.
“Walaupun anda memiliki ramai pemain muda berbakat sekalipun, anda tetap memerlukan pemain yang berpengalaman, yang memahami situasi perlawanan tersebut, kerana mereka pernah berada dalam situasi itu dan sudah masak untuk berdepan dengannya,” kata Mourinho.
Oleh itu, tindakan Vingada memanggil beberapa pemain muda untuk bersama skuad kebangsaan wajar diberikan kredit. Kini, tugasnya adalah membentuk keserasian dikalangan pemain-pemain tersebut dan memberikan peluang untuk pemain muda turun beraksi.
Vingada tidak perlu teragak-agak dalam memberikan peluang kepada mereka. Dalam aksi kompetitif sebegini, barisan pemain muda yang berpotensi sudah boleh disulam dan diadun dengan pemain-pemain senior.
Pengurus Celtic, Brendan Rodgers dipetik berkata sebelum perlawanan menentang PSG baru-baru ini, pemain-pemain muda perlu diberikan peluang untuk menimba pengalaman dalam perlawanan-perlawanan besar untuk pembangunan bakat mereka.
Malaysia akan berdepan Hong Kong dalam aksi ketiga kelayakan Piala Asia 2019. Malaysia ketika ini berada di dasar Kumpulan B dengan hanya mengumpul satu mata apabila terikat dengan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, 5 September lalu.