Jika anda mengikuti siaran secara langsung perlawanan di antara Liverpool dan Arsenal pada minggu lalu melalui siaran berbayar Sky Sport, anda pasti melihat bagaimana terujanya salah seorang penganalisa ‘Sky Live showdown’, Gary Neville cuba mengilustrasikan corak pantas serangan pasukan Liverpool.
Neville menggambarkan corak permainan Liverpool dalam perlawanan tersebut sebagai menakjubkan, mengambil kira corak serangan pantas anak buah Juergen Klopp yang mempunyai ‘fluidity’ yang hampir sempurna dalam perlawanan tersebut.
Jurgen Klopp mendedahkan bahawa beliau mahukan lebih kepantasan di dalam skuad sedia ada di Anfield. Klopp pantas menyambar Mohamad Salah dan kemudian yang terbaru, Alex Oxlade-Chamberlain, dari pasukan yang mereka belasah 4-0 pada minggu ke-3 saingan EPL.
Bayangkan: Pemain antarabangsa Mesir, Salah mengegarkan gawang Arsenal hanya selepas 12 saat sepakan penjuru yang diambil oleh Arsenal di hujung padang yang satu lagi.
Opta merekodkan kepantasan jaringan tersebut pada kelajuan 9.9 meter per saat, menjadikan ia gerakan terpantas yang menghasilkan gol pada musim 2017/18 EPL setakat ini.
Ini bukan satu kebetulan dari pasukan Liverpool. Anak buah Klopp telah menghasilkan 4 jaringan daripada 20 jaringan hasil gerakan terpantas di EPL pada musim ini.
Bagaimanakah kepantasan dan gerakan gol ini diambil kira?
Kajian baharu Opta
Data ini adalah hasil analisis terbaru daripada Opta. Analisis ini melibatkan jumlah hantaran dan kepantasan langsung setiap pasukan untuk menggerakkan bola ke arah pintu gol lawan.
Dalam rumus analisis ini, jumlah hantaran didefinisikan sebagai gerakan sesebuah pasukan melalui proses hantaran sehingga ianya berakhir oleh tindakan pertahanan lawan, permainan dihentikan oleh pengadil atau kerana bola keluar, atau kerana percubaan yang dilakukan oleh pemain daripada pasukan yang menyerang.
Kepantasan langsung pula bererti jumlah jarak yang dimainkan oleh pasukan yang menyerang, dibahagikan dengan masa yang diambil sehingga bola itu dihentikan daripada permainan.
Mungkin ada di kalangan pembaca yang sukar untuk memahami rumus yang diperkenalkan oleh Opta ini. Penulis sendiri sukar untuk menghuraikan formula ini pada mulanya.
Mari kita perhatikan tujuan analisis dan graf yang dipaparkan.
Hasil kiraan daripada formula yang diperkenalkan Opta ini akan menunjukkan kepada kita perbezaan corak permainan pasukan yang bertanding di saingan EPL pada musim ini.
Walaupun saingan EPL 2017/18 baharu sahaja berusia 3 perlawanan, graf hasil kajian Opta ini sudah menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi gaya permainan setiap pasukan.
Terjemahan graf Opta
Berdasarkan graff Opta yang dipaparkan, Stoke dan Leicester City adalah 2 pasukan terpantas yang menggerakkan bola ke arah gawang lawan, pada kepantasan 1.99 meter per saat.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan menggunakan jumlah hantaran yang rendah untuk gerakan tersebut.
Secara purata, Stoke dan Leicester masing-masing mencatat 2.48 dan 2.54 hantaran dalam setiap gerakan mereka ketika menyerang.
Corak permainan Leicester ini sering menjadi perdebatan ketika kelab tersebut berjaya merangkul kejuaraan liga pada musim 2015/16 dalam sistem 4-4-2 klasik Claudio Ranieri.
Berbanding dengan Arsenal, kelab London ini berada di dalam senarai 5 pasukan teratas dari segi kepantasan dengan catatan masa 1.79 m/s dan secara purata merekodkan 4.38 hantaran dalam setiap serangan yang mereka lancarkan ke kubu lawan.
Walaupun corak ini agak baik, di manakah silapnya untuk Arsenal? Tidak seperti pasukan EPL yang lain, corak hantaran menyerang Arsenal di kawasan ‘final third’ (kawasan menyerang) adalah pantas tetapi rumit sehingga menyukarkan diri sendiri.
Ini menyebabkan serangan pasukan Arsenal mudah dipatahkan lawan, walaupun tampak mengancam.
Arsenal juga merupakan antara pasukan yang paling kurang menggunakan hantaran bola tinggi di kalangan pasukan-pasukan lain di EPL pada musim ini. Sehingga 3 perlawanan, hanya 48 hantaran tinggi direkodkan oleh Opta untuk pasukan Arsene Wenger.
Liverpool merekodkan kepantasan 1.72 m/s dengan purata hantaran 3.49 hantaran sehingga 3 perlawanan pada musim ini.
Tottenham Hotspur merekodkan jumlah hantaran yang hampir sama dengan seteru London mereka Arsenal pada kadar 4.48 hantaran, tetapi agak perlahan dalam gerakan mereka ketika melakukan serangan dengan catatan masa 1.34 m/s.
Walaupun mempunyai purata jumlah hantaran kedua tertinggi selepas 3 perlawanan, corak serangan Tottenham Hotspur adalah 33% lebih perlahan daripada Arsenal.
Everton (1.04 m/s) dan West Ham (1.05 m/s) adalah dua pasukan yang paling perlahan dalam melakukan gerakan serangan. Namun demikian West Ham mempunyai jumlah purata hantaran bola yang sama dengan Burnley dan Crystal Palace.
Rumusan
Selamat datang ke era bola sepak moden di mana analisa terperinci menjadi sebahagian daripada komponen utama persiapan pasukan menjelang perlawanan.
Analisis yang dilakukan melalui 3 perlawanan mungkin memberikan sampel yang kecil untuk tujuan kajian. Bagaimanapun, Opta telah berjaya menunjukkan kepada kita corak menyerang setiap pasukan yang bertanding di EPL pada musim ini.
Sekurang-kurangya ia mendedahkan kelemahan yang perlu diperbaiki oleh setiap pasukan dan jenis persediaan yang perlu dilakukan sebelum perlawanan-perlawanan berikutnya.
Pada pendapat anda, apakah yang diperlukan oleh pasukan yang anda ikuti untuk terus mencabar saingan EPL pada musim ini?
Lebih banyak kepantasan? Atau lebihkan kekerapan hantaran?
Sumber:
1. Peter Smith, Sky Sport (2017): Lightning Liverpool and Premier League playing styles; http://www.skysports.com/football/news/11095/11020390/lightning-liverpool-pl-styles