Langkah Barcelona mendapatkan pemain tengah Brazil, Paulinho dari Guangzhou Evergrande mungkin mendapat tentangan dari banyak pihak berkenaan kredibiliti pemain berusia 29 tahun itu tetapi tidak bagi legenda Brazil, Pele.
Pele berpendapat pemain bernilai £36.4 juta itu akan membuktikan kekuatan dan karakter yang dimiliki untuk mengejutkan banyak pihak yang mengkritik perpindahan berkenaan.
Paulinho kembali merasai saingan di pentas bola sepak Eropah setelah 2 tahun berkelana ke China untuk berada di bawah bimbingan Luiz Felipe Scolari.
Beliau yang selesa berperanan sebagai pemain tengah ‘box to box’ berjaya menjaringkan 26 gol dan mencipta 8 bantuan gol buat pasukan juara Liga Super China tersebut.
”Saya fikir Barcelona akan mengalami beberapa perubahan musim ini tetapi Paulinho akan mengejutkan banyak pihak dengan kekuatan dan karakter yang dimilikinya,” kata Pele kepada Marca.
“Sebelum dia datang ke Barcelona, dia bermain di China tetapi banyak pasukan mahukan khidmatnya di Jerman dan Itali.”
Paulinho membuat penampilan pertama bersama Barcelona dalam saingan La Liga pada 27 Ogos lalu ketika Barcelona menewaskan Deportivo Alaves dengan keputusan 2-0.
Namun Paulinho hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-88 bagi menggantikan Andres Iniesta dan kini beliau bersama skuad Brazil menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Di Guangzhou Evergrande, Paulinho berjaya membantu kelab tersebut memenangi kejuaraan liga 2 tahun berturut-turut dengan membuat 90 penampilan. Apa yang dilalui bersama Guangzhou Evergrande lebih baik berbanding ketika di Liga Perdana Inggeris bersama Tottenham Hotspur.
Prestasi baik yang dipamerkan di China juga membolehkannya kembali membarisi skuad Brazil dan pemain berusia 29 tahun itu dijangka memainkan peranan penting pada Piala Dunia tahun depan di Rusia.
Sumber :