5 Pemain Harimau Muda Yang Paling Menyerlah Di Sukan SEA 2017

Malam yang pastinya mahu dilupakan segera oleh para pemain skuad B-22 negara. Tewas tipis di perlawanan akhir hasil jaringan sendiri selepas berjaya mengharungi saingan peringkat kumpulan dan separuh akhir dengan aksi yang penuh inspirasi.

Jika sebelum ini, kami telah gariskan 5 perkara daripada kekalahan Malaysia di tangan Thailand, di sini kami senaraikan 5 pemain paling menyerlah untuk skuad Sukan SEA 2017.

5. Haziq Nadzli

Aksi Haziq Nadzli ketika menentang Indonesia. Foto: BERNAMA

Lupakan seketika kesilapan beliau dalam malam final, kerana sebelum itu, Haziq Nadzli antara pemain yang telah konsisten beraksi cemerlang.

Tiada tempat untuknya di liga namun aksinya tampak lebih meyakinkan berbanding Ifwat Akmal yang merupakan penjaga gawang utama untuk Kedah di liga. Hanya tiga penampilannya bersama JDT sepanjang musim ini.

Sebagai penjaga gawang ketiga, beliau terpaksa bersaing dengan dua penjaga gawang terbaik negara di JDT iaitu Farizal Marlias dan Izham Tarmizi. Pada musim 2016, Haziq adalah penjaga gawang utama PDRM.

Beliau juga tiada dalam skuad yang beraksi di kelayakan Kejohanan AFC B-23, bulan lalu dan tidak beraksi dalam perlawanan pertama kumpulan A menentang Brunei.

Namun, bermula di perlawanan kedua Sukan SEA 2017 menentang Singapura, Haziq telah mempamerkan beliau adalah benteng akhir terbaik buat skuad OKS. Ia juga dipamerkan ketika menentang Myanmar dan Indonesia.

Aksi kurang meyakinkan Ifwat dalam perlawanan pertama membuka peluang buatnya. Tiada perbezaan ketara antara kedua-dua pemain, cuma decision making Haziq dalam sesetengah situasi boleh gol melebihi Ifwat.

Produk kelab Frenz United ini telah merekodkan tiga bolos daripada 5 aksi. Jika tidak kerana gol sendiri di perlawanan akhir tersebut, pasti tiada kritikan buatnya akan kedengaran.

4. Syamer Kutty Abba

Aksi Syamer Kutty Abba ketika menentang Singapura. Foto: Facebook FAM

Memiliki kawalan bola yang baik, mampu mencuri bola daripada lawan serta sifatnya yang lebih defensif mengawal jentera tengah, membuatkan OKS sentiasa mendahulukan Syamer untuk berada kesebelasan utama.

Amirul Hisyam Awang Kechik adalah antara calon hangat untuk berada dalam kesebelasan utama, namun sebaliknya berlaku. Gandingannya bersama Nor Azam Azih dilihat kian kukuh dan serasi.

Digelar ‘Pogba Penang’ dikalangan penyokong Pulau Pinang, aksi kentalnya di jentera tengah bermula sebagai pemain gantian dalam aksi menentang Brunei, telah menghadirkan pilihan baru buat Kim Swee.

Disaat Nor Azam Azih merencana gerakan serangan ke kubu lawan, Syamer akan kekal melindungi kawasan tengah skuad negara. Susuk tubuhnya yang besar membantunya dalam persaingan dengan pemain lawan.

3. Nor Azam Azih

Tonggak penting yang telah menghidupkan jentera tengah bersama Syamer Kutty Abba. Jika Syamer mampu memberikan perlindungan ketika bola berada di tengah, Azam adalah pemain yang akan merencanakan gerakan selepas itu.

Bermula sedikit goyah dalam aksi pertama, namun ianya telah berjaya ditebus oleh beliau dengan aksi yang memberansangkan ketika bertembung dengan musuh Seberang Tambak, Singapura dan juga Myanmar.

Masuk sebagai pemain gantian, Azam berjaya mengubah rentak pasukan yang ketinggalan kepada Singapura. Ledakan golnya mengejutkan Harimau yang sedang tidur seterusnya memenangi ‘Derbi Seberang Tambak’.

Memiliki kualiti hantaran yang baik, Azam telah menyumbang dua bantuan gol dan banyak terlibat dalam gerakan serangan ke kubu lawan. Azam sudah tersenarai untuk bersama skuad kebangsaan namun dilepaskan untuk bersama dengan skuad Sukan SEA 2017.

2. N. Thanabalan

Photo by Mohammad Nur Ridzuan / www.asiana.my

Siapa mampu menafikan sumbangan pemain ini? Thanabalan hadir dengan reputasi yang kurang berbanding rakan sepasukan yang lain seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Jafri Firdaus Chew.

Beraksi di liga paling bawah dalam hierarki bolasepak Malaysia iaitu Felcra FC, Thanabalan sebaliknya muncul sebagai senjata paling berbahaya buat Kim Swee di jentera serangan dalam Sukan SEA 2017.

Empat gol peribadi menobatkannya antara penjaring terbanyak temasya. Tidak dianugerahkan dengan kemampuan kawalan bola yang baik namun, beliau rajin dan bijak mencari ruang dan peluang untuk merobek gawang lawan.

Sekiranya beliau berjaya menyumbang sesuatu dalam aksi final, sudah pasti pemilik jersi nombor 12 skuad ini akan menjadi pilihan kami untuk berada di kedudukan pertama senarai ini.

Gelaran Thana-Inzhagi, Thunder-Balan dan sebagainya menceritakan impak yang telah ditinggalkannya.

1. Adam Nor Azlin

Tonggak pertahanan negara, Adam Nor Azlin.

Jika ada anugerah khas untuk pemain paling menyerlah dan melebihi jangkaan, Adam Nor Azlin adalah orangnya. Pemain versatil ini diturunkan di bek sayap.

Terdapat keraguan ke aras kemampuan beliau untuk menjadi pemain utama di posisi pertahanan untuk kejohanan besar. Namun Sukan SEA 2017 adalah ‘highlight’ terbaik karier Adam Nor Azlin secara individu setakat ini.

Walaupun Adib Zainudin adalah kapten buat skuad Sukan SEA 2017, namun Adam Nor Azlin yang dilihat lebih menyerlah dan menunjukkan sikap serta karekter seperti seorang ketua di dalam padang.

Aksi kental dan agresifnya ketika mempertahankan kubu negara daripada perlawanan pertama, terutamanya dalam perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir pastinya akan sentiasa di ingatan para penyokong.

Ketika perlawanan akhir, tiga percubaan boleh gol Thailand dihadangnya persis gaya seorang penjaga gol. Bentesan dan teknik bertahan Adam tidak boleh dinafikan banyak membantu benteng terakhir skuad negara.

Kualiti yang dipamerkannya melebihi semua pertahanan lain di dalam skuad ini. Dia menunjukkan kepimpinan dengan mempamerkan aksi kentalnya di dalam padang. ‘Kepimpinan melalui teladan’.

Untuk Sukan SEA 2017, pemain serba boleh ini telah menyumbang satu gol iaitu ketika menewaskan Brunei dalam aksi kumpulan.

Kesimpulan

Semua pemain yang dipilih untuk mewakili skuad negara dalam Sukan SEA kali ini telah memainkan peranan dan memberikan sumbangan bermakna untuk skuad B-22 kebangsaan.

Malaysia kembali beraksi di pentas final selepas gagal pada edisi yang lalu, di Singapura. Dalam temasya tersebut, Malaysia telah ditunjukkan jalan keluar awal iaitu ketika dalam peringkat kumpulan.

5 pemain ini yang telah menarik minat kami di Semuanya BOLA. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan pastinya anda juga ada pilihan masing-masing. Siapa pula pilihan anda? Kongsikan bersama kepada kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN