Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan kekalahan memalukan kepada Liverpool sebagai satu malapetaka namun meminta penyokong The Gunners untuk terus setia berada di belakang pasukan tersebut.
Arsenal gagal membuat sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan tersebut dan corak permainan kelab London itu mengundang kritikan dari penyokong dan juga penganalisa bola sepak.
“Jika ada pihak memikirkan bahawa saya merupakan masalah Arsenal, maka saya meminta maaf kerana itu. Tetapi kami mahukan penyokong berada di belakang pasukan walaupun dengan kekalahan sebegini.”
“Satu-satunya perkara yang boleh dilakukan sekarang ialah untuk kembali dengan permainan yang lebih baik.”
Arsene Wenger menandatangani kontrak baharu selama 2 tahun untuk kekal di Emirates walaupun terdapat segelintir penyokong yang mahukan pengendali Perancis itu untuk pergi pada musim lalu.
Arsenal juga menamatkan cabaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu di tangga ke-5, menyebabkan mereka terlepas slot untuk aksi di UEFA Champions League.
Kegagalan melayakkan diri ke UEL adalah yang pertama kali buat kelab London itu sejak Wenger mengambil alih Arsenal 21 tahun yang lalu.
Di sebalik prestasi yang tidak menentu, Arsenal adalah juara Piala FA dalam kempen sebelum ini.
Wenger memulakan perlawanan menentang Liverpool denngan Alexandre Lacazette berada di bangku pemain simpanan dan memberikan Alexis Sanchez perlawanan kompetitif pertama untuk musim ini.
Namun demikian, Arsenal gagal menghalang kerakusan anak buah Juergen Klopp yang menyaksikan Roberto Firmino, Sadio Mane, Mohamed Salah dan Daniel Sturridge mencetak nama sebagai penjaring dalam kemenangan 4-0.
Ketika ditanya wartawan di mana silapnya Arsenal dalam perlawanan ini oleh wartawan, Wenger menjawab:
“Semuanya silap. Kami tidak berada di tahap sebenar sejak dari wisel permulaan. Secara fizikal, teknikal dan mental, kami gagal semuanya dan kami dihukum kerana itu,” jelas pengendali berbangsa Perancis itu.
“Hari ini persembahan kami tidak boleh diterima. Adalah benar kami adalah lawan yang mudah buat Liverpool pada hari ini.”
“Corak permainan kami adalah malapetaka. Saya tidak beremosi. Kami perlu melihat kembali dan mengkaji sebab kepada prestasi buruk sebegini. Pemain akan pergi untuk perlawanan antarabangsa. Tetapi kami perlu menanggung akibat atas prestasi buruk ini.”
Kekalahan 4-0 menentang Liverpool adalah kekalahan kedua pasukan dari London itu pada musim ini. Bahagian pertahanan adalah antara bahagian yang perlu diberikan perhatian oleh Arsene Wenger dan anak buahnya selepas melepaskan 8 gol dari 3 perlawanan.
Satu-satunya kemenangan Arsenal ialah ketika menang 4-3 ke atas Leicester City pada perlawanan pembukaan EPL 2 minggu yang lalu.
Walaupun musim 2017/18 baru berusia 3 perlawanan, penyokong Arsenal pasti tidak gemar melihat pasukan mereka berada di kedudukan 16 liga.
Apa lagi alasan Arsene Wenger selepas ini?
Sumber:
1. BBC Sport (2017): Arsene Wenger: Arsenal boss asks fans to keep faith after ‘disastrous’ Liverpool loss; http://www.bbc.com/sport/football/41069081