Apa perasaannya bermain di kejohanan berprestij seperti UEFA Champions League (UCL)?
Bagi peminat, ia merupakan satu nikmat yang tak terhingga rasanya apabila bermain di bawah lampu limpah sambil dihiasi dengan lagu rasmi kejohanan yang cukup epik.
Bagi kelab pula, ia merupakan satu daya penarik bagi membawa pemain-pemain utama ke kelab mereka!
Sebelum perlawanan menentang Hoffenheim dalam aksi kelayakan UCL semalam, pengurus Liverpool iaitu Jurgen Klopp menceritakan sebesar mana kepentingan kejohanan itu kepada mana-mana kelab terutamanya Liverpool.
Bagi beliau, ia merupakan satu perkara yang boleh membawa para pemain utama ke kelab mereka.
“Jika kita layak ke saingan Eropah, ia pastinya akan memberikan kesan kepada kelab ketika berbelanja untuk membeli pemain baharu.”
“Semua ini penting terutamanya dalam mencari pemain-pemain yang terbaik di setiap posisi. Jika mereka tahu yang kita main UCL dan ada pengurus yang boleh tahan maka mereka akan pertimbang tawaran itu.”
“Bukan mudah untuk mencari pemain yang terbaik di setiap posisi dan kami sentiasa bekerja keras ke arah itu.”
Klopp juga menceritakan betapa pentingnya bola sepak Eropah kepada pemain-pemain yang mahu melanjutkan kontrak.
“UCL juga penting ketika proses lanjutan kontrak. Pemain pastinya mahukan aksi Eropah.”
Akan tetapi, bagi seorang pengurus seperti Klopp permintaan yang dibuat pemain seperti itu tidak masuk akal.
“Bila pemain kata mereka mahukan bola sepak UCL dalam kontrak baharu mereka, saya kata dalam hati ‘apa jadah mereka ini’?”
“Untuk mara ke UCL adalah hasil kerjasama pihak pengurusan dan juga pemain. Mereka tak boleh suruh pengurusan untuk buat kerja sendiri supaya mereka boleh main UCL.”
Ada betulnya juga. Bola sepak itu adalah sukan yang memerlukan kerjasama.
Sumber:
- Melissa Reddy (2017): Facebook; https://www.facebook.com/MelissaReddyGoal/photos/pcb.1303844283077411/1303843989744107/?type=3&theater