Aksi Laos VS Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2017 bagi acara bola sepak lelaki boleh dikatakan acara pelengkap jadual bagi kedua-dua pasukan.
Laos sudah pun tersingkir dari saingan manakala pasukan negara sudah layak ke separuh akhir.
Aksi perlawanan berlangsung dalam tempo yang perlahan di 15 minit pertama perlawanan.
Kesunyian perlawanan ini dipecahkan menerusi Jafri Chew yang menjaringkan gol selepas menolak bola dari jarak dekat untuk meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-26.
Tidak lama kemudian, Laos kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menerusi Phanthavong Thanin pada minit ke-31.
Ia terhasil selepas pemain negara menjatuhkan pemain Laos betul-betul dihadapan kotak penalti Malaysia.
Malaysia hampir menjaringkan gol kedua menerusi Syafiq Ahmad hasil satu rembatan yang deras ke pintu gol Laos, namun ia singgah tepat ke penjaga gol lawan.
Pasukan negara berjaya kembali mendahului selepas sepakan Adib Zainudin berjaya menerjah jaring dengan bantuan sedikit pantulan dari pertahanan Laos. Hantaran Adib itu bertukar menjadi jaringan!
Separuh masa kedua menyaksikan tempo permainan masih lagi sama seperti separuh masa pertama.
Akan tetapi, permainan lebih terbuka. Jika di separuh masa pertama, Malaysia lebih banyak menguasai permainan tetapi di separuh masa kedua menyaksikan Laos telah lebih berani untuk menyerang ke kubu pasukan negara.
Ia terhasil menerusi beberapa siri serangan dan juga permainan tukaran hantara antara pemain Laos dihadapan pintu gol Malaysia namun penyudah itu tidak ada pada mereka.
10 minit terakhir permainan menyaksikan pasukan negara kembali menguasai permainan dengan banyak gerakan bahaya diciptakan untuk memperoleh gol ketiga.
Akhirnya gol berjaya dicari selepas Jafri Chew menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Syafiq Ahmad!
Secara keseluruhannya, Malaysia beraksi di dengan kadar permainan yang tidak terlalu laju namun mereka berjaya juga memperoleh keputusan yang dimahukan.
Tahniah kepada skuad negara, ayuh ke separuh akhir!
Keputusan penuh, Laos 1-3 Malaysia.
Kesebelasan utama
Laos: Paseuth Saymanolinh (penjaga gol), Somphoupheth Santi, Sonthanalay Khampanh, Phapphakdy Anouwath (Champathong Khitsakhone), Sipasong Bounthavy (ketua pasukan), Phanthavong Thanin, Phommathep Phathana, Lounlasy Lathasay, Kongmathilath Phitack (Vannaxay Sonesavanh), Khochalern Phoutthasay, Natphasouk Soukchinda
Malaysia: Ifwat Akmal (penjaga gol), Syazwan Bahari, Adib Zainudin (ketua pasukan), Syahmi Safari, Ariff Farhan (Syazwan Andik), Irfan Zakaria (Adam Nor Azlin), Amirul Hisyam, Daniel Amier, Syafiq Ahmad, N. Thanabalan (Akhyar Rashid), Jafri Chew