Sukan adalah salah satu instrumen untuk aktiviti riadah. Ada pelbagai sebab untuk kita bersukan. Selain daripada untuk tujuan kesihatan, sukan juga merupakan instrumen terbaik untuk mengeratkan hubungan dan menambah kenalan.
Anda mungkin bersukan untuk mengisi masa lapang atau pun jika anda benar-benar serius, sukan adalah lapangan untuk menjana pendapatan dan mengharumkan nama negara.
Seperti mana rakyat mahraen seperti anda dan saya, orang-orang kenamaan turut tidak terkecuali untuk melibatkan diri di dalam bidang sukan.
Bola sepak adalah sukan No.1 dunia. Tetapi anda juga pasti punyai sukan lain yang diminati dan ceburi. Artikel kali ini sedikit istimewa, menampilkan kepada anda beberapa orang kenamaan yang aktif bersukan.
1. Sultan Mizan Zainal Abidin (Equestrian)
Minat yang mendalam di dalam sukan berkuda menyaksikan Sultan Mizan Zainal Abidin menyertai pelbagai acara sukan berkuda di dalam dan juga di luar negara
Sultan Mizan Zainal Abidin sudah pun mencipta sejarah dalam sejarah sukan tanah air apabila membantu pasukan negara memenangi 2 emas pada temasya Sukan SEA ke-29.
Baginda berjaya memenangi kategori individu dan juga berpasukan bagi acara perlumbaan 80KM Equestrian Endurance yang diadakan di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong.
Baginda juga merupakan Sultan pertama yang menyertai temasya dwi tahunan ini. Ini antara gambar ikonik yang menyentuh jutaan hati rakyat Malaysia yang bangga dengan Tuanku Mizan.
2. Faiq Bolkiah (Bola Sepak)
Sebagai salah seorang ahli kerabat Diraja Brunei, Faiq Bolkiah boleh diberikan pelepasan untuk tanggungjawab di istana.
Tidak ramai pemain bola sepak di dunia yang membuat debut di peringkat antarabangsa dan menjadi kapten pasukan pada usia 18 tahun, namun Faiq Bolkiah adalah salah seorang daripadanya.
Produk akademi Chelsea yang kemudiannya menyertai Leicester ini melakukan kedua-duanya sekali. Untuk rekod, Faiq Bolkiah merupakan pemain bola sepak termuda yang pernah menjadi kapten pasukan kebangsaan di serata dunia.
Di Sukan SEA ke-29, Brunei cuba memberi tentangan kepada Malaysia pada perlawanan pertama sebelum tewas 1-2. Selepas 3 kekalahan, Brunei sudah pun tersingkir untuk ke peringkat separuh akhir.
3. Emmanuel Macron (Bola Sepak)
Siapa sangka Presiden Perancis ini mempunyai bakat di dalam sukan bola sepak. Macron tidak tampil secara kompetitif sebagaimana Faiq Bolkiah. Namun beraksi untuk kelab yang disokongnya Marseille, pasti membuatkan penduduk bandaraya Perancis itu teruja.
Pemimpin tersebut sedang bercuti di Marseille bersama dengan isterinya Bridgitte dan terserempak dengan skuad Olympique Marseille di kawasan resort penginapannya.
Une fierté d'avoir pu rencontrer Monsieur le Président @emmanuelmacron et un plaisir d'avoir échanger quelques ballons avec vous ! pic.twitter.com/hmrMZob4xe
— Florian Thauvin (@FlorianThauvin) August 15, 2017
Pemain sayap Perancis, Florian Thauvin meluahkan rasa bangga dan gembiranya untuk beraksi bersama pemimpin negaranya itu di laman sosial.
Laporan akhbar AS melaporkan Macron beraksi sebagai bek kiri bersama sebuah kelab Divisyen 3 Perancis kira-kira 10 tahun yang lalu.
4. Justin Trudeau (Tinju)
Perdana Menteri Canada ini adalah seorang individu dan pemimpin yang serba boleh. Sebelum bergelar peguam pada 2008, Trudeau pernah bergelar seorang pendidik, jurutera dan jurulatih sukan bungee-jump!
Namun demikian, karier yang paling mendapat perhatian yang pernah diceburi oleh Trudeau ialah sebagai seorang peninju.
Pada 2012, Trudeau tampil di gelanggang untuk satu acara tinju dengan seorang senator berhaluan Konservatif, Patrick Brazeau dalam satu perlawanan amal.
Brazeau adalah seorang bekas askar yang digelar sebagai ‘Brass Knuckles’ (penumbuk tembaga) di kalangan ahli bekas platunnya.
Trudeau menang dalam 3 pusingan, tatkala pengadil terpaksa memeriksa Brazeau berulang kali sebelum mengesahkan kemenangan 3-1 memihak kepada Perdana Menteri Kanada itu.
Kita harapkan tidak ada perlawanan tinju di kalangan ahli politik kita walaupun untuk tujuan amal!
5. Vladimir Putin (Hoki Ais)
Pada Mei lalu, Vladimir Putin menghadiri jemputan satu perlawanan persahabatan hoki ais di Bolshoy Ice Dom di Sochi, Rusia.
Presiden Rusia ini memang terkenal gemar melakukan aktiviti sukan terutamanya hoki ais. Sudah tentu anda boleh menjangkakan kawalan keselamatan yang ketat di mana sahaja Putin berada.
Presiden Rusia ini menjaringkan 6 gol dan menghasilkan 5 bantuan gol dalam kemenangan 17-6 pasukannya. Lawan pasukan Putin juga bukan calang-calang pemain.
Mereka terdiri daripada pemain skuad olimpik Rusia dan juga bekas juara dunia hoki ais!
Putin beraksi cemerlang sepanjang perlawanan tersebut walaupun sudah mencecah usia 64 tahun dan kelihatan lebih cergas daripada pemain lawan yang semuda usia 24 tahun.
Persoalannya, Siapakah di antara pemain lawan kepada pasukan Vladimir Putin berani melakukan hadangan terhadap Presiden Rusia itu?
6. Tunku Mahkota Johor (Polo dan bola sepak)
TMJ adalah seorang putera raja yang sangat minat dengan sukan. Baginda seorang yang aktif bermain bola sepak.
Pernah berkongsi kisahnya dalam wawancara Obviously Harith, TMJ memberitahu baginda sering bermain dalam pasukan JMF. Baginda pernah berseloroh:
“Ketika saya melakukan bentesan ke atas seorang pemain, ia adalah jelas kesalah kad merah terus (straight red), dan saya melihat pengadil, pengadil melihat saya dan dia kata ‘play-on’. Sejak hari itu, saya rasa saya tak sesuai main bola sepak.”
Selain daripada bola sepak, Presiden FAM dan pemilik JDT ini adalah pemain polo yang ber’handicap’ 3. Ia adalah handicap tertinggi di negara kita untuk sukan Polo.
Baginda seringkali bermain dalam kejohanan polo antarabangsa dan pernah memuatnaik video baginda sedang bermain polo. Ternyata baginda sangat mahir dan kuda yang baginda gunakan itu ‘berdesup’ lajunya.
Baginda pernah bermain besama-sama dengan pemain polo terbaik dunia dengan handicap 10 seperti Polito Pieres, Baginda bermain untuk kelab polo Johor Ellerstina.
Menjadi pemain polo pertama dari Malaysia yang bermain dalam kejohanan Polo Jockey Club di Argentina.
7. Khairi Jamaludin vs Putera Abdul Mateen Bolkiah (Polo)
Berbicara mengenai sukan dan orang kenamaan, sukar untuk tidak mengaitkan acara polo yang memulakan aksinya semalam dalam temasya Sukan SEA ke-29.
Semalam tumpuan peminat sukan turut tertumpu kepada acara Polo yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya.
Anda mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk hadir menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan Malaysia dan Brunei, tetapi tumpuan kita pastinya terarah kepada barisan kehormat (VIP) yang mewakili kedua-dua buah negara.
Antara pasukan yang mewakili skuad Polo Brunei ialah Putera Abdul Mateen Bolkiah, 26; Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah, 33; Pengiran Muda Bahar Bolkiah, 36; dan juga Pengiran Muda Abdul Qawi, 43.
Putera Abdul Mateen Bolkiah adalah putera yang berada pada hierarki ke-6 untuk ditabalkan sebagai Sultan Brunei Darulsalam, manakala nama-nama lain merupakan kerabat Diraja Kesultanan Brunei.
Malaysia tidak kurang hebatnya. Pasukan negara diwakili oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin bersama 6 lagi pemain polo terbaik tanah air iaitu Shaik Reismann Mohamed Ismail, Muhammad Faizal Abu Bakar, Abdul Rashid Hasnan, Amran Selamat, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman dan Mohd Zulhelmi Nadzar.
Brunei memberikan tentangan dalam perlawanan tersebut dan Khairy diberikan tugasan taktikal untuk mengawal Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah.
Perlawanan yang dimenangi oleh pasukan Malaysia 12-4 itu turut dihadiri oleh selebriti terkenal, Sultan Brunei dan juga Sultan Selangor. Potensi emas untuk negara? Sangat tinggi!
Tumpuan peminat sukan polo yang hadir semalam semestinya turut tertumpu kepada Putera Abdul Mateen Bolkiah yang dikatakan mempunyai perwatakan yang kacak.
‘Tall, dark and handsome?’ Siapa yang lebih hebat?
Rumusan
Apapun darjat dan pangkat mereka, mereka masih lagi manusia seperti yang lainnya. Memiliki minat mereka sendiri sama ada untuk hobi mahupun untuk kejohanan kompetitif.
Golongan-golongan elit ini menjadikan sesuatu temasya menjadi unik kerana mereka boleh sahaja duduk di istana ataupun rumah agam tanpa perlu berpanas berhujan.
Sumber:
1. BBC (2014): Out of office: When world leaders do sports; http://www.bbc.co.uk/bbcthree/item/2390dc7d-8e5d-4230-895f-dc6b90d6e962
2. Fox Sports (2016): World Leaders Playing Sports; http://www.foxsports.com/nhl/gallery/barack-obama-ronald-reagan-vladimir-putin-other-world-leaders-playing-sports-gallery-112911
3. Sumisha Naidu, Channel News Asia (2017): SEA Games: Malaysia victorious in VIP polo battle against Brunei; http://www.channelnewsasia.com/news/sport/sea-games-malaysia-victorious-in-vip-polo-battle-against-brunei-9147798