Jika Pemain Terlaju Di Dunia Berlumba 100m Dengan Khairul Hafiz Jantan, Siapa Akan Menang?

Malam 22 Ogos 2017 menjadi saksi anak Malaysia, Khairul Hafiz ‘The Speedy’ Jantan menjadi Raja Pecut Asia Tenggara. Dengan masa 10.38 saat, Khairul Hafiz tidak perlu mencapai prestasi terbaiknya pun untuk merangkul pingat emas acara pecut 100 meter.

Sebagai peminat tegar bola sepak, kami (dan mungkin anda juga) tertanya-tanya – jika 18 pemain terlaju di dunia berlumba 100 meter dengan The Speedy Jantan, siapa akan menang?

Pelari pecut: kelebihan genetik atau boleh dilatih?

Saintis sehingga hari ini masih berdebat sama ada semua orang boleh dilatih menjadi pelari pecut atau hanya sesetengah orang yang boleh menjadi pelari pecut.

Bolehkah kita menjadi pelari pecut yang bagus jika diberi latihan dan motivasi secukupnya? Atau adakah kita perlu dilahirkan dengan kelebihan genetik tertentu untuk menjadi pelari pecut yang bagus?

(Photo by Mark Kerton/Action Plus via Getty Images)

Rasmus Ankersen, penulis (dan presiden kelab Denmark, FC Midtjylland) pernah menulis dalam bukunya, The Gold Mine Effect, tentang debat ini:

“Terdapat satu pengajaran penting untuk pengurus, jurulatih dan guru yang mahu mengenalpasti bakat dalam apa-apa sukan: genetik tidak boleh menentukan siapa akan menjadi pemenang pingat Olimpik. Genetik hanya boleh menentukan siapa yang takkan menang pingat.”

Ankersen memberitahu ‘Usain Bolt dilahirkan dengan fiber otot IIb. Manakala Haile Gebrselassie dilahirkan dengan fiber otot I.’

Fiber otot IIb adalah fiber otot ‘sentap laju’ (fast twitch). Fiber jenis ini bekerja secara anaerobik (tanpa oksigen), diaktifkan dengan pantas – tetapi cepat penat.

Pelari pecut dan haiwan yang pantas (seperti harimau bintang, singa, rusa dsb) mempunyai lebih banyak fiber otot IIb di kaki mereka. Mereka boleh memecut dengan laju dalam jarak dekat. Tetapi cepat penat apabila berlari dalam jarak jauh.

Fiber otot I pula adalah fiber otot ‘sentap perlahan’ (slow twitch). Fiber jenis ini bekerja secara aerobik (dengan oksigen), lambat aktif – tetapi boleh digunakan dengan lebih lama tanpa penat.

Pelari maraton dan jarak jauh mempunyai lebih banyak fiber otot I di kaki mereka berbanding pelari pecut.

Jadi daripada fakta ini, kita mengetahui profil genetik juga mempengaruhi persembahan atlet. Tetapi Ankersen menegaskan, kelebihan genetik yang dimiliki oleh Bolt dan Gebrselassie tidak menjamin mereka akan menjadi pemegang rekod dunia.

Sebaliknya kelebihan genetik ini hanya memberi mereka ‘raw material’ untuk menjadi atlet yang sederhana (average). Faktor lain seperti kualiti jurulatih, kualiti latihan dan motivasi adalah antara faktor lain yang membolehkan mereka menjadi atlet bertaraf dunia.

“Untuk menjadi atlet terbaik di dunia, anda tak perlu menjadi superhuman dari segi genetik. Tetapi pada masa yang sama, anda tak boleh ada kekurangan genetik,” tulis Ankersen.

Bolehkah pemain bola sepak berlari selaju pelari pecut?

Sekarang kita dah tahu kelebihan genetik yang dimiliki oleh pelari pecut yang membolehkan mereka memecut lebih pantas daripada kita.

Kelebihan ini menjelaskan mengapa S. Kunanlan boleh memecut laju berbanding – contohnya – Fadhli Shas, walaupun kedua-dua pemain ini mendapat latihan sama di JDT.

Tetapi seperti hipotesis yang diutarakan Rasmus Ankersen dalam The Gold Mine Effect, faktor lain seperti kualiti jurulatih, kualiti latihan dan motivasi juga memainkan peranan.

Pemain bola sepak dan pelari pecut mempunyai latihan dan motivasi yang berbeza.

Bagi pemain bola sepak, kebolehan memecut dalam jarak 100 meter adalah satu kelebihan yang tidak diperlukan sangat (panjang dimensi standard padang pun hanya 105 meter). Oleh sebab itulah, kebolehan pecutan pemain bola sepak diukur dalam jarak hanya 40 meter.

Cara masa pecutan mereka direkodkan juga berlainan dengan cara masa pecutan larian olahraga 100m direkodkan.

Pemain Arsenal Theo Walcott memberitahu, “Kami perlu berlari melepasi 2 pintu. Ada laser di pintu pertama (0m) dan pintu kedua (40m).”

Pelari pecut Britain, Craig Pickering mendedahkan cara masa pecutan 40m pemain bola sepak ‘tidak adil’ untuk dibandingkan dengan cara masa pecutan 100m dikira.

(Photo by Alexandre Simoes/Borussia Dortmund/Getty Images)

“Kita tak tahu apa yang pemain bola sepak buat ketika melintasi laser pintu pertama. Besar kemungkinan mereka sudah mencapai halaju optimum ketika melintasi laser pintu pertama.”

“Dalam acara lari pecut 100m, atlet perlu memberi reaksi dari tembakan pistol dan memecut dari halaju sifar untuk sampai ke jarak 40m. Masa reaksi dari tembakan pistol sahaja sudah mengambil 0.15 saat. Jadi pemain bola sepak ada kelebihan.”

Jika betul teori Pickering bahawa pemain bola sepak sudah mencapai halaju optimum ketika melintasi laser pintu pertama, maka tak hairanlah seorang lagi pelari pecut Britain, Richard Kilty berani bertaruh £30,000 beliau boleh menewaskan Hector Bellerin – pemain yang dikatakan paling pantas di Premier League.

Jadi untuk betul-betul membandingkan kebolehan lari pecut 10 pemain bola sepak terlaju di dunia dengan pelari pecut antarabangsa – seperti Khairul Hafiz Jantan – kami beralih kepada matematik.

Kami membandingkan 10 masa pecutan 40m daripada 18 pemain bola sepak terlaju di dunia dan membandingkan dengan 2 masa pecutan 100m dari Khairul Hafiz Jantan (catatan masa peribadi terbaik & catatan masa semasa menang pingat emas Sukan SEA KL2017).

Khairul Hafiz Jantan vs 18 pemain bola sepak terlaju di dunia

Ada dua parameter yang boleh kita gunakan untuk membandingkan kelajuan pelari pecut seperti Khairul Hafiz Jantan dengan 18 pemain bola sepak terlaju di dunia – halaju purata (average speed) dan catatan masa 100 meter mereka.

Memandangkan tiada data sahih yang mencatatkan masa larian 100 meter untuk pemain bola sepak, kami membuat data projection kepada catatan masa larian 40 meter yang boleh didapati dari OPTA.

Tetapi kita perlu berhati-hati. Larian 100 meter berlainan dengan larian 40 meter dari segi dua faktor.

Satu, jaraknya berbeza. Kedua dalam larian 100 meter, pelari perlu bermula dari halaju sifar. Jadi kami menambah 0.5 saat kepada masa 100 meter pemain bola sepak (masa purata yang diperlukan oleh badan untuk mencapai halaju optimum dari halaju sifar).

Dalam data ini, kami mengabaikan faktor keletihan memandangkan ia tak boleh ditentukan kuantiti empirikalnya.

Ranking halaju purata (average speed) Khairul Hafiz Jantan + Usain Bolt + 18 pemain bola sepak terlaju di dunia

Ranking catatan masa larian 100 meter Khairul Hafiz Jantan + Usain Bolt + 18 pemain bola sepak terlaju di dunia

Sumber:

1. Nicole Chia (2017). SEA Games: Sprint king Khairul Hafiz Jantan is toast of Malaysia. New Straits Times. http://www.straitstimes.com/sport/sprint-king-khairul-is-toast-of-malaysia

2. Rasmus Ankersen (2012). The Gold Mine Effect. Icon Books Ltd. ISBN 9781848314238.

3. Steve A. (2011). Fast Twitch vs. Slow Twitch: What Kind of Muscles Do You Want?. Nerd Fitness. https://www.nerdfitness.com/blog/fast-twitch-vs-slow-twitch-what-kind-of-muscles-do-you-want/

4. Elizabeth Cassin (2015). Faster than Usain Bolt?. BBC News http://www.bbc.com/news/magazine-34884849

5. Jaime Candil (2017). Gareth Bale named as fastest footballer on the planet in Top 10 study. AS. https://en.as.com/en/2017/02/14/football/1487065413_871808.html

6. Telegraph Sport (2015). Arsenal’s Theo Walcott and Hector Bellerin challenged to £30,000 race by sprinter Richard Kilty. Telegraph UK. http://www.telegraph.co.uk/sport/football/teams/arsenal/11535779/Arsenals-Theo-Walcott-and-Hector-Bellerin-challenged-to-30000-race-by-sprinter-Richard-Kilty.html

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN