Juara dua kali African Nations Championship, DR Congo gagal mara ke kejohanan itu pada tahun hadapan. Maka, negara lain akan menjulang trofi kejohanan itu di bumi Kenya.
Format pusingan kelayakan ini diadakan dengan mengasingkan negara Afrika mengikut zon. Zon-zon yang disebutkan ialah Utara, Barat, Timur, Tengah dan Selatan. Oleh kerana Zon Barat terlalu banyak ahli, ia dipecahkan sekali lagi kepada dua kumpulan berasingan.
Pusingan kelayakan ini berformat kalah mati sahaja. Maksudnya tiada pusingan kumpulan seperti kelayakan AFCON.
Siapa layak
Zon Utara menyaksikan Maghribi dan Libya layak. Maghribi telah menewaskan Mesir melalui agregat 4-2 dalam perlawanan timbal balik. Libya pula menewaskan jiran mereka, Algeria 3-2. Tunisia pula tidak bertanding dalam kelayakan kali ini.
Nigeria, Ivory Coast dan Burkina Faso turut mara ke kejohanan ini. Bersama Mauritania, mereka mewakili cabaran Zon Barat. Zon Barat menawarkan 5 slot untuk kejohanan ini.
Cameroon turut mara
Cameroon yang berada dalam Zon Tengah turut layak bersama Equatorial Guinea dan Congo. Cameroon tumbangkan Sao Tome dan Principe. Congo menewaskan seteru lama mereka, DR Congo 1-1 melalui peraturan gol di tempat lawan.
Equatorial Guinea layak automatik kerana Gabon yang dijadualkan menentang mereka telah menarik diri.
Zon Timur pula menyaksikan Sudan, Uganda turut layak. Kenya selaku tuan rumah layak secara automatik meskipun mereka diletakkan dalam Zon Timur.
Angola, Zambia dan Namibia melakar nama dengan muncul sebagai wakil Zon Selatan.
Info penting
Undian akan dilakukan sebelum kejohanan diadakan tetapi tarikh masih belum diumumkan. Kejohanan ini akan dilangsungkan pada 11 Januari hingga 2 Februari 2018.
4 stadium bakal digunakan untuk menganjurkan kejohanan kedua berprestij di benua Afrika ini.
Sumber:
- CAFOnline (2017): http://www.cafonline.com/en-us/newscenter/news.aspx