Di sebalik kemenangan 3-1 Malaysia ke atas Myanmar dalam perlawanan peringkat Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA semalam, terdapat insiden yang boleh kita anggap memalukan imej negara.
Beberapa penyokong Myanmar yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut, diserang secara fizikal sehingga mengakibatkan kecederaan oleh segelintir penyokong Malaysia.
Salah seorang pembaca kami, Saudara Shah Rafi sudi berkongsi pengalaman dan pendapat beliau berkenaan kejadian tersebut:
Setelah sunyi sekian lama, semalam stadium kembali dipenuhi penyokong Harimau Malaya. Satu atmosfera yang lama dirindui.
Tidak kurang 70,000 penyokong berada di stadium dan jutaan menyaksikan perlawanan secara langsung di kaca tv.
Kita menang dan sudah layak ke separuh akhir dengan berbaki satu perlawanan. Bersorak sorailah penyokong seluruhnya. Semuanya okay!
Hinggalah berlaku satu kejadian memukul yang entah akal manusia mana mampu terima. Sekurang-kurangnya dua penyokong Myanmar telah dibelasah. Dikhabarkan seorang darinya dah lembik nyawa-nyawa ikan dan dibawa ke hospital oleh seorang penyokong Malaysia.
Manakala aku melihat sendiri dengan mata aku seorang lagi penyokong Myanmar yang berlumuran darah di kepala terbaring dibantu penyokong Malaysia. Dia keseorangan masa tu. Dibantu penyokong kita dalam 20-30 orang.
Aku marah dan geram dengan emosi yang bercampur aduk. Sedih melihat manusia berperangai binatang.
Selepas beberapa jam, dapat berita yang mereka ini dipukul oleh sekumpulan penyokong Malaysia yang entah apa tujuan tak pasti.
Ada kata kerana nak merompak. Bayangkan 30 orang kejar empat orang dan dua orang dipukul tanpa belas? Allahu, kau ingat ni benda biasa-biasa ke?
Menurut kawan aku, salah seorang yang dibelasah teruk tu datang dengan seorang perempuan (mungkin isteri), depan mata dia isteri meraung-raung minta bantuan.
Sedih. Sebagai penyokong bola sepak aku terfikir sejenak, ini boleh terjadi kepada sesiapa. Tak aku, kau, atau mereka, tidak kira masa tempat atau hari. Haruskah kita diamkan kekejaman ini berlaku dek kerana hanya sebiji bola?
Ada seorang lagi kawan aku melihat dengan mata sendiri. Sekumpulan penyokong Malaysia saja-saja mencari pasal (melakukan provokasi) dengan penyokong Myanmar semasa perjalanan keluar dari stadium.
Kenapa ada orang-orang macam ini yang dilahirkan ke muka bumi? Adakah Tuhan sengaja menguji kita dengan manusia sebegini?
https://twitter.com/Ghaoz01/status/899662992807149568
Logiknya takkan lah penyokong Myanmar ni tak mampu berfikir nak mengejek penyokong kita dulu. Masuk rumah orang ni, mereka pun tahu nak jaga diri.
“Ala brader, dekat Eropah sana diorang ada hooligan, biasalah tu”
Ehh brader, kau nak ikut orang Eropah tu kenapa? Kau tu agama pun Islam, warna kulit pun coklat kadang-kadang hitam. Tak sama langsung. Negatif orang Eropah laju kau nak ikut. Positif orang Eropah habis kau bungkus-bungkus buang dalam jamban rumah kau!
Orang Eropah tengok bola, duduk tempat masing-masing. Kau tak nak ikut pula. Sibuk bersidai sana-sini, duduk dekat tangga menyusahkan pergerakan orang lain. Hal ni kau ikut siapa?
Orang Eropah tengok bola tak pula terkinja-kinja nak masuk padang lepas perlawanan, kau tak nak ikut pula? Jangan cakap hal sampah lagi, kulit kuaci kau tu. Asap rokok belum cerita lagi. Ikut Eropah apa begitu?
https://twitter.com/kuettt/status/899688865383858176
“Padan muka, tulah buat lagi Rohingya” komen netizen prihatin di Facebook.”
“Kakakaka mampuslah kau” kata si kaki troll pula.
Ni aku nak tanya, apa beza mereka yang pukul penyokong Myanmar semalam dengan Junta? Tiada tuan-tuan.
Sama jahat, sama bangsat. Belasah orang lemah yang tak mampu melawan. Lagi bangsat di sini mungkin kerana negara ini bukan negara yang berteraskan kekejaman. Siapakah sifatnya yang serupa Junta?
Kenapa sampai nak pukul fans Myanmar semalam? Aku bersyukur dulu 2 minggu kat Myanmar, diaorang sikit pun tak usik fans Malaysia. Memalukan!
— Afiq Zubir (@AfiqNinos) August 21, 2017
Implikasi kejadian ini biasanya bukan kena kepada mereka yang melakukannya. Tetapi orang lain. Dimasa hadapan, ia akan menjadikan penyokong Malaysia yang ke luar negara rasa tidak selamat.
Mereka yang buat hal ini duduk mengangkang di hadapan kaca tv sambil update status facebook sama ada memaki atau memuji pasukan negara pada masa tu.
Kalau tak cerita hal menyokong bola, rakyat Malaysia yang bercuti di Myanmar juga akan menerima kesan dan akibat segelintir penyokong kita yang otaknya terletak di tapak kaki.
Ya benar yang melakukan semalam mungkin tak sampai 1% pun dari mereka yang berada di stadium. Tapi mereka inilah yang menjadi masalah kepada majoriti.
Ibarat kanser, jika tidak dirawat diperingkat awal ia akan merebak dan membunuh seluruhnya. Jahat, sama jahat macam kanser cuma dalam kes ini akibatnya bukan ditanggung mereka. Tetapi orang lain.
Pelik bila dengar warga Myanmar kne pukul kt stadium . Agak2 la , menang pon nak pukul jgak ? Buat malu org Malaysia je .
— Fadil (@fadilforce) August 21, 2017
Menjadi matlamat Sukan SEA untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara negara anggota. Malangnya lain pula yang berlaku dalam dua tiga hari ni. Apa susah sangat ke pergi stadium, tengok bola, sokong, sorak, menang atau kalah balik dan teruskan kehidupan seperti biasa?
Sukan adalah ejen penyatuan, bukan perpecahan. Mungkin golongan samseng ni tak mampu menghayati mesej sebenar dalam sukan.
Ya, orang-orang macam ni eloknya jangan tengok atau menyokong pasukan dalam apa-apa jenis sukan. Tinggal sahaja di hutan, bergaduh dengan beruang untuk berebut madu.
Masa tu baru lah tahu siapa paling kuat. Nak suruh gaduh ngan harimau macam tak sama level pula.
Menjadi lumrah manusia yang hitam itu akan dilihat terlebih dahulu. Jangan nafikan.
Macam tu juga dengan kejadian semalam. Tentu akan menjadi isu di media-media Myanmar. Tidak kurang juga di kalangan penyokong-penyokong Myanmar. Ia akan bersemarak untuk seketika.
Persoalannya sampai bila mentaliti ini akan berterusan?
Sampai bila penyokong ‘setia’ Malaysia nak merendahkan martabat dan mentaliti mereka sendiri?
Nota editor: Artikel ini merupakan hasil tulisan Saudara Shah Rafi. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .