Di antara Myanmar dan Malaysia, ini adalah perlawanan untuk menentukan siapakah yang lebih berhak untuk menduduki tangga teratas Kumpulan A bagi acara bola sepak lelaki Sukan SEA edisi ke-29 ini.
Di atas kertas, perlawanan ini merupakan yang terakhir buat Myanmar di peringkat kumpulan dan sudah pun melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Malaysia punyai 1 lagi baki perlawanan menentang Laos.
Bagi skuad negara, 1 lagi mata diperlukan. Berdasarkan barisan kesebelasan utama yang menjadi sandaran Datuk Ong Kim Swee, 3 mata pasti menjadi sasaran dengan maruah negara sekali lagi menjadi taruhan.
Berada di dalam kesebelasan utama, Nor Azam Azih dan juga S. Kumaahran berada di dalam kesebelasan utama selepas kemasukkan kedua pemain itu pada separuh masa kedua ketika menentang Singapura berjaya mengubah rentak perlawanan.
Mengunakan formasi 5-3-2, Haziq Nadzli terus diberikan kepercayaan untuk berada di hadapan gawang.
Gerg Zeise bersama dengan anak buahnya juga hadir dengan satu matlamat. Semestinya Myanmar hadir dengan misi untuk mencalar maruah pasukan negara.
Hadir dengan barisan terkuat walaupun sudah menempah slot ke pusingan seterusnya, misi memburu jaringan terus disandarkan kepada Aung Thu dan Aung Sithu sebagai kapten pasukan dalam formasi 4-4-2 Myanmar.
Pengadil perlawanan, WK Lakmal Weerakkody daripada Sri Lanka meniupkan wisel sepak mula perlawanan.
Separuh Masa Pertama
5 minit pertama perlawanan menyaksikan Malaysia dan Myanmar rancak mengatur gerakan dalam usaha kedua-dua pasukan untuk mengawal perlawanan.
Malaysia hampir dihukum pada minit ke-18 apabila Aung Thu dibenarkan bebas bergerak di dalam kawasan penalti ketika sepakan penjuru diambil oleh pasukan Myanmar. Namun demikian, tandukan pemain No.9 itu tersasar di sebelah kanan gawang skuad negara.
Tindakan bijak Kumaahran membuat pressing memaksa pertahanan Myanmar untuk menjatuhkannya di luar kotak penalti Myanmar. Sepakan percuma cantik oleh Irfan Zakaria bagaimanapun berjaya ditepis sebelum bola terkena tiang gol dan keluar.
Minit ke-34, N. Thanabalan meletakkan Malaysia di hadapan selepas situasi kelam kabut di hadapan gol terbias menewaskan penjaga gol Myanmar. Gol tersebut berpunca dari hantaran lintang Safawi Rasid sebelum bola dirembat oleh Matthew Davies yang terkena pada Thanabalan.
Harimau Malaya terus berselera selepas itu apabila seminit selepas itu, hantaran lintang Kumaahran ditanduk masuk oleh Safawi Rasid pada minit ke-35 perlawanan.
Minit ke-39 Aung Thu sekali lagi mencemaskan pertahanan Malaysia apabila lolos dengan bola di sebelah kiri, namun rembatannya ditampan oleh Haziq Nadzli sebelum bola disepak keluar oleh pertahanan Malaysia.
Kedua-dua pasukan cuba mengatur beberapa gerakan merbahaya selepas itu namun gagal menghasilkan sebarang gol. Perlawanan separuh masa pertama tamat, Malaysia 2-0 Myanmar.
Separuh Masa Kedua
Separuh masa kedua bermula dan kedua-dua pasukan menyambung kembali tempo pantas perlawanan pada separuh masa pertama.
Azam Azih menjadi pemain pertama mendapat layangan kad kuning dalam perlawanan ini selepas terjahan liarnya ke atas pemain Mynamar.
Sedikit insiden di antara Safawi Rasid dan Htike Aung pada minit ke-53 perlawanan namun pengadil bijak menangani situasi tersebut.
Myanmar mulai menguasai perlawanan selepas itu dengan beberapa larian dan gerakan set pieces namun pertahanan Malaysia kekal utuh.
Minit ke-59, giliran S. Kumaahran menguji penjaga gol Myanmar dengan satu rembatan deras dari luar kotak penalti. Namun tindakan susulan Matthew Davies selepas itu turut tidak membuahkan hasil.
Minit ke-75 perlawanan Haziq Nadzli bijak mengawal keadaan apabila berhadapan situasi satu lawan satu dengan 2 pemain Myanmar, menerjah untuk menangkap bola untuk penyokong skuad Harimau Malaya yang hadir menarik nafas lega.
N. Thanabalan sekali lagi menggamatkan Stadium Shah Alam dengan jaringan ke-3 perlawanan, menyambut hantaran lintang cantik Jafri Firdaus Chew dengan tandukan terbang untuk menewaskan penjaga gol Myanmar.
Kesilapan pertahanan Malaysia kehilangan bola pada minit ke-85 perlawanan membawa padah apabila dihukum oleh Than Paing, mudah menolak masuk hantaran pendek kapten pasukan Sithu Aung menewaskan penjaga gol negara dari jarak dekat.
6 minit masa kecederaan yang diberikan pengadil menyaksikan Myanmar tidak berputus asa mengasak pertahanan negara.
Bagaimanapun keptusan kekal dengan kemenangan 3-1 buat Malaysia. 3 mata berharga dan slot ke separuh akhir milik Malaysia.
Malaysia akan bertemu Laos dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada Rabu, 23 Ogos 2017.
Malaysia: Haziq Nadzli (PG) , Adib Zainudin (K), Irfan Zakaria, Adam Nor Azlin, Matthew Davies, Azam Azih (Danial Amier), Syamer Kutty, Syazwan Andik , N. Thanabalan, S. Kumaahran (Jafri Firdaus Chew), Safawi Rasid (Akhyar Rashid)
Myanmar: Satt Naing (PG), Wai Min, Htike Aung, Htet Aung, Nanda Kyaw, Yint Tun(Shwe Ko), Aung Thu, Sithu Aung (K), Maung Lwin, Naing Oo, Kaung Mann