Jika ada satu tema yang menggambarkan kehidupan Shahrel Fikri sebagai pemain bola sepak profesional, tema ‘bangkit dari bawah’ mungkin paling tepat baginya.
Pernah disisihkan dari skuad kebangsaan bawah-23 kerana mempunyai masalah jantung, beliau bangkit untuk membantu PKNP FC memburu slot Liga Super 2018 pada musim ini dengan siri persembahan cemerlang di depan gol sehingga dipilih memasuki skuad kebangsaan.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga bangkit dari kegagalan memenangi anugerah pemain terbaik bulanan PFAM-Asiana.my untuk Liga Premier sebanyak dua kali (Februari 2017 dan April 2017) untuk merangkulnya buat pertama kali pada Julai 2017.
Dalam majlis penyampaian anugerah tersebut yang disampaikan oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Nelo Vingada di Hatten Hotel, Melaka semalam, Shahrel berkata:
“Alhamdulillah dengan kemenangan ini akan menjadi pemangkit semangat untuk saya berusaha dengan lebih kuat untuk pasukan yang saya wakili”.
“Ucapan terima kasih saya ucapkan kepada PFA Malaysia yang menganjurkan anugerah ini dan tidak lupa juga kepada rakan sepasukan saya di PKNP FC serta para penyokong yang mengundi saya. Terima kasih dan teruskan menyokong saingan Liga Malaysia.” tambah Shahrel.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Presiden PFA Malaysia, Rezal Zambery Yahya dan Exco PFA Malaysia, Rudie Ramli, Shahrom Abdul Kalam dan Mohd Fairuz Abdul Aziz serta Ketua Pengawai Eksekutif PFA Malaysia, Izham Ismail.
Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – asiana.my ini dikelolakan oleh Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (asiana.my).
Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada pemain-pemain bola sepak profesional daripada PFAM.
Anugerah ini mendapat sokongan dan tajaan dari 139associates, MVP Sports Agency, Kobert, Ideasia dan Adeqsue sebagai penaja rasmi.
Sesi pemilihan dibuat melalui panel pemilih PFAM – Asiana.my yang terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan dan undian akan dibuka kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia.
Shahrel menerima undian tertinggi sebanyak 52.32% (1,103 Undi) mengalahkan empat calon lain iaitu Tchétché Kipré dari Terengganu FA (41.98% – 885 Undi), Paulo Josue dari Kuala Lumpur FA (2.47% – 52 Undi), Guilherme de Paula dari Kuala Lumpur FA (2.37% – 50 Undi) dan Akanni Sunday dari UiTM FC (0.85% – 18 Undi).
Beliau menerima wang tunai berjumlah RM500 sumbangan 139associates dan MVP Sports Agency, trofi sumbangan Ideasia, baucer barangan sukan bernilai RM500 sumbangan Kobert dan gambar pemain beserta bingkai sumbangan Asiana.my
Para pengundi membuat undian melalui desktop, laptop, telefon pintar, atau tablet dan boleh menggunakan semua jenis pelayar (browser) melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my dan juga www.asiana.my
Undian ini dibuka selama sepuluh hari untuk peminat-peminat bolasepak mengundi calon kegemaran mereka. Semoga anugerah ini dapat menjadi pendorong kepada pemain untuk lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi mereka.