Inter Milan Paling Rugi Jika Perpindahan Philippe Coutinho Ke Barcelona Menjadi Kenyataan

Inter Milan akan menjadi pihak yang paling rugi jika perpindahan Philippe Coutinho dari Liverpool ke Barcelona menjadi kenyataan. Demikianlah kenyataan yang dipetik dari sumber ESPN FC.

Sumber tersebut mengesahkan Inter Milan tidak memasukkan klausa penjualan ketika mereka membenarkan perpindahan Coutinho dari Liverpool pada Januari 2013.

Perancang antarabangsa Brazil itu sedang cuba untuk menjadikan perpindahan ke Barcelona satu kenyataan apabila menghantar permohonan berpindah kepada pihak pengurusan Liverpool pada Jumaat yang lalu.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Permohonan tersebut dilakukan oleh Coutinho selepas 2 bidaan daripada Barcelona masing-masing bernilai £72 juta dan £90 juta ditolak oleh kelab Anfield itu.

Inter Milan sebenarnya percaya bahawa mereka akan menerima sebahagian daripada yuran perpindahan yang akan dibayar oleh Barcelona untuk Coutinho, sesuai dengan perundangan dan peraturan oleh FIFA.

Artikel 21 dalam buku peraturan FIFA berkenaan status dan perpindahan pemain menyatakan: “Jika seorang pemain profesional berpindah sebelum tempoh kontraknya tamat, mana-mana kelab yang bertanggungjawab akan perihal pembangunan dan latihan pemain tersebut akan menerima sebahagian bayaran sebagai bayaran pampasan kepada bekas kelab/pasukan.”

Bayaran pampasan berkenaan turut dikenali sebagai ‘bayaran solidariti’, bernilai 5% daripada nilai perpindahan yang dipersetujui.

(Photo by Claudio Villa/Getty Images)

Kelab pembeli (dalam kes ini ialah Barcelona), adalah kelab yang bertanggungjawab dalam tugas pengagihan bayaran solidariti berkenaan.

Bagi kes Coutinho, umum akan merujuk Inter Milan dan juga Vasco da Gama sebagai penerima bayaran tersebut. Ini bermakna €6 juta akan diperuntukkan untuk tujuan bayaran solidariti jika nilai perpindahan €120 juta Coutinho seperti yang dilaporkan bakal dipersetujui.

Jumlah €6 juta itu sepatutnya diagihkan secara sama rata di antara kedua-dua kelab tersebut.

Peraturan di dalam buku FIFA juga menyebut: “Bayaran solidariti hendaklah dibayar berdasarkan bilangan tahun [dikira secara pro rata jika ia kurang dari setahun] pemain tersebut didaftarkan sebagai pemain di kelab berkenaan, pada ketika usia pemain tersebut pada harijadinya yang ke-12 sehinggalah yang ke-23 tahun.”

Peraturan itu juga menyebut bahawasanya jika terdapat perpindahan pemain dalam jangka masa umur tersebut, maka kelab terakhir adalah yang paling layak untuk menerima bayaran solidariti berkenaan.

(Photo by Boris Streubel/Getty Images)

Coutinho memulakan karier bola sepaknya di Brazil bersama Vasco da Gama sebelum menjadi pemain Inter Milan pada usia 16 tahun. Pada usia 20 tahun, Philippe Coutinho berpindah ke Anfield ketika era Brendan Rodgers.

Jika perpindahan Coutinho ke Barcelona menjadi kenyataan, jumlah 5% bayaran solidariti berkenaan tidak akan dibahagikan di antara Inter Milan dan Vasco da Gama. Ini disebabkan Liverpool memiliki hak ke atas pemain tersebut di antara umur 20 sehingga 23 tahun.

“Secara realiti, bayaran 5% tersebut sering diabaikan. Dalam kes ini Liverpool akan menerima bahagian itu,” kata seorang peguam di dalam bidang sukan, Dan Chapman kepada ESPN FC.

“Di dalam perjanjian perpindahan, kelab-kelab (jika mereka ingin) boleh berbincang dan mempersetujui siapakah yang layak untuk mendapat bahagian (jumlah peratusan) dalam bayaran tersebut. Maka bayaran 5% itu tidak akan ditahan, tetapi diagihkan pada kadar kiraan yang adil.”

(Photo by AMA/Corbis via Getty Images)

“Atau pun kelab pembeli boleh menahan jumlah 5% tersebut, lalu menentukan kaedah yang adil untuk jumlah bayaran dengan cara mereka sendiri. Jika punyai baki, maka jumlah baki akan diserahkan kepada kelab yang menjual.”

“Saya percaya ada banyak kelab di England, Scotland dan Ireland yang tidak sedar akan peraturan ini. Jumlahnya tidak berapa besar. Namun wang berkenaan masih boleh membantu mereka,” ujar Chapman lagi.

“Mereka tidak sedar mereka punyai tuntutan sedemikian. Sistem sedia ada tidak memastikan mereka mendapat pampasan sebegini.”

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

“Peraturan yang sama juga boleh menghasilkan output yang pelik. Seperti kes Paul Pogba misalnya. Tidak ada sesiapa yang membincangkan pembayaran pampasan kerana pembelinya adalah Manchester United” tambah Chapman.

Pada Januari lalu, Pengarah Sukan Inter Milan, Piero Ausilio memberitahu ESPN FC bahawa penjualan Coutinho ke Liverpool pada harga  £8.5 juta adalah penyesalan terbesarnya dalam tempoh 20 tahun sejak terlibat dalam sukan bola sepak.

Sumber:

1. Glenn Price, ESPN FC (2017): Inter Milan to miss out financially if Barcelona sign Coutinho – source; http://www.espn.co.uk/football/soccer-transfers/story/3181918/inter-milan-to-miss-out-financially-if-barcelona-sign-philippe-coutinho-source

2. Football Association of Ireland: FIFA Solidarity and Compensation Payments; http://www.fai.ie/domestic/governance/fifa-solidarity-and-compensation-payments

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN