6 Bintang EPL Yang Memberontak Menuntut Perpindahan Keluar Dari Kelab Mereka

Kisah Diego Costa yang enggan kembali ke Chelsea kerana ingin meninggalkan kelab tersebut bukanlah pertama kali terjadi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tindakan sebegini dianggap tidak profesional. Ia adalah satu pemberontakan dan melanggar kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.

Sebelum ini kami menampilkan senarai pemain yang menghantar permohonan berpindah melalui artikel ‘5 Permohonan Berpindah Yang Pernah Mengegarkan EPL’.

Kali ini kami menyenaraikan 6 pemain yang bukan sekadar ingin berpindah, malah memberontak dengan majikan masing-masing untuk memaksa perpindahan.

Siapakah 6 pemain yang pernah memberontak untuk memaksa perpindahan di kalangan kelab-kelab di EPL ?

1. Pierre van Hooijdonk  (Nottingham Forest)

Selepas kejohanan Piala Dunia 1998, bintang Nottingham Forest ini membuat protes setelah pihak pengurusan kelab mengambil keputusan untuk menjual kapten pasukan Colin Cooper dan juga Kevin Campbell.

Van Hooijdonk turut menyerahkan permohonan berpindah namun permohonan beliau ditolak oleh pengurusan Nottingham Forest pada ketika itu.

Ini menyebabkan Van Hooidonk menghilangkan diri dari skuad Nottingham Forest sehingga November musim 1998/99.

Mandatory Credit: Ross Kinnaird/Allsport

Pada masa yang sama Van Hooijdonk menyertai latihan di NAC Breda untuk memastikan beliau sentiasa cergas dan akhirnya akur untuk kembali menyertai Forest pada separuh musim kedua 1998/99.

Pierre van Hooidonk menjaringkan gol ketika menentang Derby County, dan meraikan jaringannya secara sendirian apabila rakan-rakan sepasukan yang lain jelas tidak peduli akan kehadirannya lagi.

Pemain dari Belanda itu mengakui bahawa beliau sepatutnya menangani isu itu dengan lebih baik sebelum ini. Tamat musim 1998/99, Van Hooijdonk dijual kepada Vitesse Arnhem di Belanda.

2. Dimitri Payet – West Ham

Dimitri Payet enggan beraksi untuk West Ham sejak pertengahan Januari sehinggalah perpindahan beliau ke Maeseille diselesaikan.

Payet berkata bahawa beliau tidak akan menyepak bola lagi untuk West Ham, kenyataan yang turut mengundang kemarahan semua pihak di kelab berkenaan.

(Photo by Arfa Griffiths/West Ham United via Getty Images)

West Ham bergelut dengan prestasi dan berusaha untuk kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim tersebut.

Pemilik kelab, David Sullivan dan juga David Gold berusaha untuk meyakinkan perancang tengah dari Perancis tersebut untuk kekal di West Ham.

Akhirnya mereka terpaksa akur melepaskan Payet ke bekas kelabnya, Marseille dengan nilai perpindahan £25 juta.

3. Raheem Sterling – Liverpool

Raheem Sterling memberitahu pengurusan Liverpool bahawa dia sangat tidak sihat untuk menyertai jelajah pra musim kelab Anfield tersebut di Asia.

Alasan Sterling tiba pada ketika khabar angin Manchester City berminat untuk mendapatkan pemain sayap Liverpool itu mulai diperkatakan di media.

Menyedari minat daripada Manchester City, Liverpool cuba mengekalkan Sterling dengan tawaran kontrak baharu. Namun ia tidak cukup untuk meyakinkan Sterling untuk kekal di Anfield.

(Photo by Ben Radford/Corbis via Getty Images)

Sebaliknya Sterling memberitahu wartawan BBC dalam satu temu ramah bahawa beliau bukan pemain berusia 20 tahun yang gilakan wang semata-mata.

Manchester City mempunyai dua bidaan masing-masing bernilai £30 juta dan £40 juta ditolak oleh Liverpool.

Perpindahan Raheem Sterling dari Liverpool ke Manchester City akhirnya dimuktamadkan dengan perpindahan yang mencecah nilai £49- rekod baharu perpindahan untuk pemain berbangsa Inggeris.

4. Carlos Tevez – Manchester City

Pada September 2011, Carlos Tevez disenaraikan sebagai pemain simpanan dalam pertandingan Champions League menentang Bayern Munich.

Ketika Roberto Mancini ingin melakukan pertukaran pemain, Tevez enggan mengambil bahagian untuk sesi memanaskan badan.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Tevez digantung selama 2 minggu dan didenda £500,000 atas sikap tidak profesionalnya itu. Tevez kembali ke Argentina dan hanya kembali di Etihad pada Mac.

Sekembalinya ke Manchester City, Tevez menjaringkan sejumlah 4 gol dalam beberapa perlawanan menuju ke penghujung musim, membantu Manchester City menafikan Manchester United, dan muncul juara EPL pada hari terakhir EPL musim 2011–12 yang penuh dramatik.

Carlos Tevez akhirnya menyertai Juventus pada jendela perpindahan Januari musim berikutnya.

5. Dimitar Berbatov – Tottenham

Seperti Tevez, Dimitar Berbatov enggan beraksi dari bangku pemain simpanan dalam perlawanan menentang Newcastle pada Oktober 2007. Berbatov diarahkan berbuat demikian sebanyak 3 kali oleh Martin Jol.

Namun demikian, Berbatov masih tampil dalam perlawanan tersebut dan Tottenham tewas 3-1. Keputusan tersebut juga merupakan salah satu sebab yang diambil kira oleh hierarki di Tottenham untuk memecat pengurus berbangsa Belanda, Martin Jol pada penghujung Oktober.

(Photo by Nick Potts – PA Images/PA Images via Getty Images)

Perkhabaran Manchester United dan minat dari Sir Alex Ferguson dikatakan telah mendorong sikap sedemikian oleh Berbatov.

Namun demikian, Berbatov hanya dilepaskan ke Old Trafford pada musim berikutnya.

Daniel Levy jelas menyukarkan proses rundingan bersama Manchester United untuk melepaskan Berbatov. Pemergian Berbatov hanya disahkan pada jam terakhir jendela perpindahan musim panas musim 2008/09 dengan tanda harga £30.75 juta.

Dimitar Berbatov memenangi 2 gelaran Liga Perdana Inggeris ketika bersama Manchester United.

6. William Gallas – Chelsea

Bekas pemain pertahanan tengah Perancis ini terdesak untuk meninggalkan Chelsea pada 2006.

William Gallas enggan beraksi dalam perlawanan peringkat separuh akhir Piala FA Inggeris pada 2006 dan tidak menghadiri latihan pra musim kelab berkenaan yang diadakan di Amerika.

(Photo by Ben Radford/Getty Images)

Gallas akhirnya menyertai latihan skuad Chelsea di London untuk mengembalikan kecergasannya. Namun demikian beliau mengugut akan menjaringkan gol sendiri jika diturunkan menentang Manchester City pada perlawanan pembukaan.

William Gallas akhirnya meninggalkan  Stamford Bridge untuk ke Arsenal dalam perjanjian jual beli yang turut membabitkan pertahanan Arsenal, Ashley Cole menuju ke kem yang bertentangan.

Rumusan

Di dalam apa pun jenis perjanjian (kontrak), pelanggaran kepada terma-terma yang sudah tertulis secara hitam putih tetap merupakan satu kesalahan.

Siapakah lagi pemain bola sepak tempatan mahu pun antarabangsa yang anda tahu pernah berhadapan dengan situasi yang sama?

Kongsikan kepada kami!

Sumber:
1. Uche Amako, Express (2017): William Gallas: This is what really happened when I left Chelsea for Arsenal; http://www.express.co.uk/sport/football/777831/Arsenal-News-William-Gallas-Chelsea-Jose-Mourinho-own-goal

2. Guardian (2017): Dimitri Payet: I left West Ham because I was bored with defensive approach; https://www.theguardian.com/football/2017/mar/10/dimitri-payet-west-ham-bored-defensive

3. BBC (2016): Van Hooijdonk – the striking striker; http://www.bbc.com/sport/football/35230746

4. David Hytner, The Guardian (2008): Berbatov fumes as Spurs drag out his move to United; https://www.theguardian.com/football/2008/jul/16/premierleague.tottenhamhotspur

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN