Neymar sudah pun selamat menjadi pemain Paris Saint-Germain (PSG), namun masih lagi ada perkara yang berbangkit.
Pemain Brazil itu dikatakan akan melakukan aduan kepada FIFA mengenai ketidakmahuan Barcelona untuk membayar tunggakan bonus kepada pihaknya.
Tunggakan bonus sebanyak £23 juta itu adalah bonus dari pihak Barcelona untuk bapa Neymar sewaktu pemain itu menandtangani kontrak baharu dengan kelab tersebut pada musim lalu.
Menurut sumber, pihak Neymar menerusi peguamnya sedang menyediakan kertas kerja untuk membawa hal tersebut ke pemerhatian pihak FIFA.
Akan tetapi, Neymar masih lagi menimbangkan untuk membawa perkara itu ke FIFA dan belum lagi ada kata putus mengenainya.
Sehingga kini, pihak FIFA belum lagi memberikan sebarang respon mengenainya tetapi pihak Barcelona sudah menyatakan pendirian mereka.
Menurut Barcelona, mereka tidak akan membayar bonus yang dituntut oleh kapten Brazil itu walau macam mana sekalipun.
Hal ini kerana, Barcelona menyatakan Neymar tidak menepati 3 syarat untuk membolehkan bonus itu dibayar.
“Kami tidak akan bayar bonus kepada Neymar kerana 3 sebab.”
“Syarat pertama, Neymar sepatutnya tak boleh berurusan dengan kelab lain pada bulan terakhir sebelum bonus itu dibayar. Syarat kedua, beliau sepatutnya menunjukkan kesungguhan untuk menghabiskan kontraknya bersama kami. Ketiga, kami tak akan bayar bonus sehingga tarikh 1 September 2017 kerana kami nak tunggu jendela perpindahan tutup dahulu.”
Sumber:
- Sky Sports (2017): Neymar considering FIFA complaint against Barcelona, say Sky sources; http://www.skysports.com/football/news/11820/10979383/neymar-considering-fifa-complaint-against-barcelona-say-sky-sources