Media di UK melaporkan bahawa Alexis Sanchez dan juga Philippe Coutinho akan menyerahkan permohonan berpindah untuk memaksa diri mereka dijual kepada kelab baharu masing-masing pada jendela perpindahan ini.
Sejauh mana kesungguhan kedua-dua pemain untuk bertindak sedemikian, belum boleh dipastikan kebenarannya.
Adakah ia tindakan yang wajar?
Adakalanya permohonan sebegitu adalah percubaan terakhir untuk pemain memaksa penjualan untuk dilakukan. Adakalanya, ia adalah langkah untuk mendapatkan kontrak yang lebih lumayan.
Bagi penyokong kelab, ia adalah tindakan ‘tikam belakang’ dan tidak wajar terjadi. Kami bawakan 5 permohonan perpindahan paling kontroversi di dalam EPL.
1. Wayne Rooney
Satu-satunya perkara yang boleh membuatkan penyokong United agak skeptikal untuk mengangkat nama Wayne Rooney setaraf legenda yang lain di Old Trafford adalah kerana permohonan perpindahan yang dibuat oleh pemain tersebut.
Musim 2009/10 adalah musim terbaik Rooney di EPL. Sebagai rekod, beliau menjaringka 34 gol dalam 44 perlawanan pada musim tersebut.
Walaupun melalui kempen Piala Dunia yang suram pada musim panas 2010, Rooney tetap menjadi sandaran United menuju musim 2010/11.
Sebaliknya yang berlaku. Rooney tidak sependapat dengan pengurus, Sir Alex Ferguson mengenai kecederaan buku lali yang dialaminya. Rooney juga menyifatkan pihak kelab tidak mempunyai cita-cita dan sasaran tinggi sebagaimana yang dimilikinya.
Untuk berkomentar secara adil, apa yang dikatakan Rooney mungkin benar.
Menuju musim 2010/11, Manchester United menandatangani pemain seperti Javier Hernandez, Chris Smalling dan juga Bebe.
Tidak ada pemain berprofil tinggi yang tiba di Old Trafford untuk mengantikan gandingan Rooney sebelum ini, Cristiano Ronaldo dan juga Carlos Tevez.
Mempersoalkan tindakan Sir Alex dan Manchester United diibaratkan tindakan tikam belakang oleh penyokong-penyokong Manchester United.
Apatah lagi khabar angin dan laporan tabloid di Britain mengaitkan Wayne Rooney akan berpindah ke Manchester City, pada ketika itu sedang asyik berbelanja besar untuk menjadi kelab terbesar di Manchester.
Di sebalik ketegangan hubungan di antara Wayne Rooney dan Manchester United, bintang England tersebut membuat pusingan U untuk tidak meninggalkan Old Trafford.
Semuanya diselesaikan dengan kontrak mewah berjumlah £250k seminggu.
Rooney kemudiannya menjaringkan gol yang menakjubkan menentang City. Tetapi hubungannya dengan penyokong Manchester United tidak sama seperti sebelumnya.
2. Fernando Torres
Menyertai Liverpool pada musim panas 2007, Torres segera menjadi bintang dan penyerang yang amat digeruni, lantas dianggap wira di Anfield.
Torres menjaringkan 33 gol pada musim pertamanya bersama Liverpool. Dan bermain pada era pemain seperti Steven Gerrard dan Jamie Carragher, status legenda Anfield adalah gelaran yang munasabah untuk penyerang berasal dari Sepanyol ini.
Segalanya berubah pada musim 2010/11. Kedatangan Roy Hodgson sebagai pengurus baharu Liverppol lantas memberi persoalanan kepada kedudukan Torres.
Tidak ada berita, tidak ada khabar akan status Torres yang ingin meninggalkan Anfield sebelum itu. Namun Torres kelihatan sukar untuk menampilkan penyudah berbisa yang kerap dilakukannya sebelum ini, termasuk bergelut dengan isu kecergasan.
Menjelang jendela perpindahan Januari 2011, Torres jelas bukan watak yang sama seperti musim sebelumnya.
Pada hari-hari terakhir Januari, Chelsea menawarkan £40 juta kepada Liverpool untuk membawa Torres ke Stamford Bridge. Tawaran tersebut segera ditolak oleh Liverpool.
Namun Torres tampil mengejutkan ramai pihak di Anfield dengan menyerahkan permohonan perpindahan dari Liverpool. Liverpool turut menafikan permohonan tersebut.
Mereka percaya Torres harus akur dan menghormati kontrak bersama kelab Merseyside itu.
Chelsea tidak menunggu lama. Selang beberapa hari kemudian, mereka tampil dengan tawaran bernilai £50 juta. Liverpool sedar akan kemahuan Torres dan tidak punyai banyak pilihan selain untuk melepaskannya.
3. John Stones
Apabila pemain pertahanan Everton, John Stones menyerahkan permohonan berpindah pada musim panas 2015 berikutan minat dari Chelsea untuk pemain tersebut, ia adalah perkara yang berbeza dari kelaziman.
Stones bertindak secara profesional dalam mengendalikan keseluruhan isu itu, dan pengurus serta penyokong kelab juga seperti tidak mengendahkan permohonan tersebut.
“Stones sebenarnya tidah benar-benar bermaksud untuk menyerahkan permohonan tersebut,” ujar Roberto Martinez pada ketika itu.
Situasi pada masa itu berbeza. Everton jelas enggan melepaskan Stones, pemain tersebut juga seperti kurang yakin akan perpindahan ke Chelsea dan penyokong turut bergembira dengan perkhabaran itu.
Penyokong Everton tidak memanggil Stones sebagai pembelot atau ‘Judas’, malah mengejek Chelsea dengan laungan ‘duit anda tidak boleh membeli Stones’.
Malang bagi penyokong Toffees, tidak semua dakwaan mereka benar. Walaupun berjaya mengendahkan tawaran Chelsea, nilai £47.5 juta yang ditawarkan oleh Manchester City pada musim panas 2016 mengubah segalanya.
John Stones tidak perlu menyerahkan permohonan berpindah kepada pengurusan Everton. Nilai £47.5 juta membuktikan kelab boleh membelikan mana-mana pemain dengan wang, jika betul nilainya.
4. Jermain Defoe
West Ham tersingkir daripada EPL pada musim 2002/2003 dan pasukan ini dibarisi oleh ramai pemain muda berpotensi pada ketika itu.
Jermain Defoe, Paolo Di Canio, David James, Micahel Carrick dan Joe Cole juga merupakan antara barisan yang ada di West Ham pada pengakhiran musim tersebut.
Penyokong di West Ham mungkin sudah menjangkakan pemergian kebanyakkan bintang dari kelab tersebut. Apa yang mereka tidak jangkakan ialah tindakan Jermain Defoe menyerakan permohonan perpindahan, kurang 24 jam selepas West Ham disahkan tersingkir!
Tindakan Defoe diibaratkan oleh penyokong West Ham seperti tikus pertama yang melompat keluar untuk menyelamatkan diri dari kapal yang karam.
Pengurus West Ham, Trevor Brooking menuding jari kepada ejen Defoe yang meracuni pemikiran Defoe untuk bertindak sedemikian.
West Ham menolak permintaan untuk berpindah dari Defoe. Namun tiada perubahan pada sikapnya, apabila mulai terlibat dengan masalah disiplin pada permulaan musim berikutnya.
3 kad merah! Defoe kemudiannya dijual kepada Tottenham Hotspur pada Januari 2004.
Defoe menyedari kesilapan atas tindakannya itu dan memohon maaf kepada penyokong West Ham. Beliau dimaafkan oleh kebanyakkan pihak yang terlibat dengan West Ham, namun penyokong tegar kelab tersebut pasti tidak boleh melupakan episod ciptaan Jermain Defoe.
5. Steven Gerrard
Nama Steven Gerrard sangat sinonim dengan Liverpool. Kerana itu, Gerrard turut digelar Mr. Liverpool.
Adalah perkara yang tidak masuk akal untuk mebayangkan Gerrard beraksi untuk pasukan lain selain daripada Liverpool.
Apatah lagi jika Gerrard berniat sedemikian, pada ketika masih segar menjulang piala pada malam yang digelar ‘keajaiban Istanbul’!
Khabar angin mengatakan Gerrard mahu meninggalkan Liverpool mula tersebar pada jendela perpindahan musim panas 2004. Jose Mourinho dan Chelsea dikatakan cuba untuk menggandingkannya bersama rakan sepasukan England, Frank Lampard dan John Terry.
Kemungkinan tersebut menjadi serius pada musim panas 2005 ketika rundingan untuk kontrak baharu bersama Liverpool terbantut, termasuklah tawaran bernilai £100k seminggu turut dlaporkan ditolak oleh Gerrard.
Gerrard dikatakan menghubungi ejen beliau dan mengarahkannya untuk berjumpa dengan wakil Liverpool bersama dengan permohonan bertulis untuk tujuan perpindahan, sekiranya diminta oleh hierarki di Liverpool pada masa itu.
Akhirnya Pegawai Eksekutif Liverpool bertemu dengan Steven Gerrard dan sehari kemudian kapten Liverpool itu menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool.
Gerrard turut menjelaskan bahawa satu trofi yang dimenangi oleh beliau bersama Liverpool jauh lebih bermakna dari sedozen trofi yang mampu dimenangi bersama Chelsea.
Parry menjelaskan segala isu membabitkan Steven Gerrard adalah kerana masalah komunikasi.
Tidak dapat dijelaskan sebab di sebalik tindakan pusingan ‘U’ oleh Gerrard.
Ada yang mengatakan ia adalah disebabkan oleh tindakan samseng yang mengugut Gerrard untuk kekal di Anfield. Tetapi kemungkinan yang lebih tepat adalah Liverpool tunduk kepada permintaan Gerrard untuk memenuhi kontrak yang dipintanya.
Walau apapun sebab Gerrard kekal di Anfield, ia merupakan salah satu permohonan untuk berpindah, antara yang paling dipalit kontroversi di EPL.
Rumusan
Apa pendapat pembaca kami? Wajarkah pemain bertindak sedemikian?