Perlawanan akhir Perisai Komuniti 2017 pada malam ini akan menemukan dua kelab dari London, Arsenal dan juga Chelsea sebagai tanda bermulanya musim baharu bola sepak Liga Inggeris.
Arsene Wenger akan menentukan sama ada Alexis Sanchez akan beraksi dalam perlawanan akhir Perisai Komuniti menentang Chelsea pada malam ini.
Sanchez kembali menyertai latihan pada Selasa lalu selepas cedera dan diberikan tempoh rehat yang lebih panjang selepas penyertaan beliau di kejohanan Piala Konfederasi di Chile.
Penyerang Chelsea, Diego Costa tidak akan bersama skuad Chelsea selepas dimaklumkan boleh meninggalkan Stamford Bridge oleh Antonio Conte.
Eden Hazard dan Tiemoue Bakayoko juga dilaporkan belum cergas sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan untuk Chelsea pada malam ini.
Malah kedua-duanya dilaporkan juga dijangka tidak akan diturunkan untuk perlawanan minggu pertama Liga Perdana Inggeris menentang Burnley minggu hadapan.
Hazard menjalani pembedahan pada buku lali manakala Bakayoko yang merupakan rekrut bernilai £40 juta musim panas ini juga masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut.
Alvaro Morata dan Michy Batshuayi mungkin akan digandingkan, manakala Pedro dijangka akan menggunakan topeng sebagai perlindungan kepada kecederaan kepala yang dialaminya.
Pemain pertahanan The Gunners, Laurent Koscielny dan pemain sayap Chelsea Victor Moses, kedua-duanya dibenarkan untuk beraksi walaupun masih menjalani penggantungan perlawanan.
Pemain baharu Arsenal, Alexandre Lacazette dan juga Sead Kolasinac dijangka akan mengambil bahagian dalam perancangan Wenger. Francis Coquelin (buku lali), Gabriel (lutut) dan Jack Wilsehere (kaki) akan disisihkan akibat kecederaan.
Sanchez, 28 tahun memasuki tahun terakhirnya kontraknya di Emirates, dan di sebalik segala laporan perpindahan melibatkan bintang Chile itu, Arsene Wenger tetap bertenang.
“Dia akan kekal dan Sanchez akan menghormati kontrak beliau,” jelas Wenger baru-baru ini.
Selain daripada Alexis Sanchez, Shkodran Mustafi merupakan seorang lagi pemain yang mungkin tidak diturunkan oleh Arsene Wenger pada malam ini kerana penglibatan di Piala Konfederasi.
Perlawanan tradisi sebagai tanda pembuka tirai musim baru Liga Inggeris pada tahun ini adalah bagaikan ulangan kepada perlawanan akhir Piala FA musim lalu.
Arsenal muncul juara Piala FA musim 2016/17 selepas menewaskan juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea dengan jaringan 2-1 di Wembley pada Mei lalu.