Dari UAE Ke Malaysia, Keita Mandjou Cipta Nama Sebagai Peledak Berbisa Di Perak

Keita Mandjou

Keita Mandjou, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak negara. Keita yang pernah menabur bakti bersama Perak dan Kelantan, lebih menikmati karier bola sepak yang gemilang ketika bersama Perak.

Beliau mula menyertai Perak pada September 2004 (penghujung musim) dan terus berjaya melakukan sumbangan bermakna apabila turut menghasilkan satu jaringan pada penampilan sulung bersama Perak ketika perlawanan separuh akhir Piala FA ke-2 bertemu PKNS FC.

Pada perlawanan tersebut Keita berjaya menghasilkan jaringan kedua pada minit akhir permainan bagi mengesahkan kemenangan 2-0 Perak dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu.

Tidak pernah mengetahui tentang Liga Malaysia sebelum beraksi bersama Perak

Mengulas mengenai kedatangannya ke Perak, Keita Mandjou sebenarnya tidak mempunyai sebarang informasi mengenai Liga Malaysia ketika itu.

”Sewaktu saya bermain di Emiriah Arab Bersatu (UAE), seorang ejen telah menemui saya dan memberikan saranan supaya beraksi di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa terdapat sebuah pasukan yang bagus buat saya di Malaysia, sedangkan saya tidak tahu menahu tentang bola sepak di Malaysia.”

”Saya berbincang bersama beliau dan akhirnya membuat keputusan untuk ke Malaysia berseorangan diri.” Jelas Keita yang dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

”Saya datang ke Malaysia dan beraksi dalam satu perlawanan persahabatan bersama sebuah pasukan dari Korea Selatan, kemudiannya diberikan kontrak jangka masa pendek. Itu merupakan detik indah kerana saya menikmati 3 setengah musim yang hebat di Perak.”

Nikmati karier yang hebat ketika bersama Perak

Antara perkara yang masih tidak dapat dilupakan peminat bola sepak Perak  mengenai Keita Mandjou sudah tentunya 5 jaringan yang dihasilkan beliau ketika aksi saingan Liga Super 2007 ketika bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat.

Ketika itu Perak memerlukan kemenangan besar bagi menghambat Kedah yang menghuni tangga teratas.

Kemenangan besar yang dicari menjelma apabila Perak berjaya membelasah Melaka dengan keputusan 9-0 bagi kembali berada di tangga teratas liga berkelebihan jaringan Namun, akhirnya Kedah berjaya menjuarai Liga Super 2007 selepas Perak keciciran mata pada saat akhir.

Lebih menarik mengenai pemain kelahiran Republik Guinea ini adalah keupayaan beliau menghasilkan jaringan pada 3 perlawanan sulung buat Perak dalam 3 musim yang berbeza.

Musim 2005 beliau berjaya menghasilkan 2 jaringan dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang menyaksikan Perak berjaya menjuarai piala tersebut menerusi penentuan sepakan penalti ketika bertemu Perlis.

Musim berikutnya Keita Mandjou turut menghasilkan 2 jaringan juga dalam aksi Piala Sumbangsih 2005/2006 setelah berjaya menundukkan Selangor dengan keputusan 4-1 ketika itu.

Bagi tahun 2006/2007 pula Keita sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila menyumbangkan satu gol dalam perlawanan Liga Super ketika menang 2-1 menentang Sarawak.

Kehadiran permata Afrika ini juga turut membantu Perak menjadi pasukan yang memperoleh jaringan terbanyak dalam saingan liga dengan menghasilkan 32 jaringan pada musim 2005/2006 dan 58 gol di musim berikutnya.

Ternyata kehadiran beliau berjaya menjadikan Perak sebagai sebuah pasukan yang sangat berbahaya dihadapan gol ketika itu.

Keita Mandjou
Keita Mandjou bersama rakan sepasukan di Perak.

Koleksi jaringan yang terbaik buat Keita

Sebanyak 49 jaringan dihasilkan oleh beliau hanya dalam saingan Liga Super bermula musim 2005 hingga 2006/2007.

Musim 2005/2006 dan 2006/2007 membuktikan ketajaman Keita Mandjou dihadapan gol apabila dua musim tersebut beliau dinobatkan selaku penjaring terbanyak Liga Super dengan 17 dan 21 gol.

Manakala bagi musim 2005 pula beliau berjaya menghasilkan 11 jaringan dalam saingan liga.

Keupayaan Keita menghasilkan jaringan telah membuktikan bahawa beliau merupakan seorang penyerang yang prolifik. Ini belum termasuk jumlah jaringan yang dihasilkan dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia sepanjang 3 setengah bersama Perak.

Perak sebagai rumah kedua saya – Keita Mandjou

Tanpa berselindung, beliau yang kini berada di negara kelahirannya baru sahaja memperoleh lesen kejurulatihan dan memfokuskan pada perkembangan pemain di usia muda mengakui cukup gembira apabila berada bersama Perak.

” Terlalu banyak kenangan saya bersama Perak. Kalau nak diceritakan memang takkan habis. Saya juga beruntung kerana dikelilingi jurulatih dan juga pemain tempatan dan import yang begitu baik.”

” Tidak keterlaluan untuk mengatakan Perak adalah rumah kedua buat saya dan keluarga. Saya ramai rakan-rakan disana (Perak). Mereka menganggap saya sebagai anak, abang dan juga kawan. Penyokong Perak adalah yang terbaik di Malaysia.”

Kata-kata buat penyokong Perak

” Teruskan menyokong pasukan Perak apa jua keputusan dalam setiap perlawanan. Kalian semua merupakan penyokong yang terbaik di Malaysia. Jadikan sorakan anda itu perkara yang sangat ditakuti pasukan lain. Saya penyokong nombor satu buat Perak. Yob selamanya!

Kredit foto : yob4ever.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN