Paolo Di Canio: Kisah Magis, Kehebatan & Kontroversi Yang Pernah Wajahi West Ham

Selepas tewas dengan jaringan 2-0 kepada Watford di Vicarage Road dalam perlawanan pertama mengendalikan West Ham, David Moyes tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap barisan pemainnya, khususnya pemain yang dianggap bintang dan memiliki reputasi hebat di dalam skuad West Ham.

Jika anda menyaksikan perlawanan tersebut pada tengah malam tadi, anda mungkin bersetuju dengan kata-kata Moyes. West Ham beraksi tanpa karakter dan mentaliti yang boleh memberi kejayaan kepada pasukan.

Antara pemain berpengalaman dan pernah beraksi bersama kelab yang lebih besar berada di dalam skuad West Ham kendalian West Ham ialah Andy Carroll, Joe Hart, Pablo Zabaleta, Marko Arnautovic, Manuel Lanzini dan juga Javier Hernandez yang masih tersisih akibat kecederaan.

“Mereka sepatutnya menunjukkan lebih lagi. Mereka harus menunjukkan kenapa mereka mendapat reputasi itu,” ujar Moyes seperti yang dipetik daripada BBC.

Bercakap mengenai karakter, ia mengembalikan ingatan kami kepada bekas bintang West Ham penuh kontroversi, namun sentiasa memberikan kejutan kepada kita dari segi prestasi dan permainan di atas padang.

Pemain yang dimaksudkan ialah Paolo Di Canio yang pernah menyarung jersi ‘The Hammers’ di antara 1999-2003.

Pengenalan

Anda mungkin mengingati Paolo Di Canio sebagai salah seorang pengurus yang pernah mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika bersama Sunderland.

Lebih dari itu, Paolo Di Canio merupakan seorang pemain yang memiliki kebolehan teknikal yang tinggi dan sentiasa menghiburkan sesiapa sahaja yang menonton perlawanan membabitkan beliau.

Di sebalik bakat luar biasa dan kebolehan yang sentiasa memberikan keterujaan di era kegemilagannya, Di Canio sentiasa dipalit insiden kontroversi sepanjang kariernya.

Ada yang bertanggapan segala kontroversi berkenaan telah menyebabkan pemain ini tidak pernah mencapai potensi sebenar yang dimilikinya.

Soalannya: Apakah potensi sebenar Paolo Di Canio di atas padang?

Kali ini kami membawa anda untuk menyingkap seorang pemain yang pernah mewarnai kancah bola sepak Inggeris dan Eropah dengan ‘kepalanya’ yang tersendiri, namun mempuyai karakter yang lebih garang jika dibandingkan dengan pemai yang membarisi West ham pada hari ini.

Adakah karakter seperti Paolo Di Canio yang Moyes dan West Ham perlukan pada hari ini?

Segalanya bermula di Lazio

Paolo Di Canio dilahirkan pada 9 Julai 1968 di bandar Rom dan dibesarkan dalam kalangan keluarga kelas pekerja di daerah Quarticciolo.

Di zaman kanak-kanak, Di Canio merupakan seorang penyokong tegar kelab Lazio. Beliau juga menganggotai kumpulan Irriducibili- sekumpulan ahli yang memberikan nama buruk kepada kumpulan penyokong Ultras Itali.

(Photo by Allsport/Getty Images)

Pada tahun 1985, Paolo Di Canio menandatangani kontrak pertamanya bersama kelab kesayangannya, Lazio pada usia 16 tahun.

Paolo Di Canio beraksi bersama Lazio selama 5 tahun sebelum penjualannya ke Juventus pada tahun 1990 telah mengejutkan ramai pihak.

Selepas kejayaan menjulang Piala UEFA bersama Juventus pada tahun 1993, Di Canio dikatakan bersengketa dengan pengendali kelab Turin tersebut pada masa itu, Giovanni Trapattoni.

Mandatory Credit: Ben Radford /Allsport

Persengketaan tersebut menyebabkan Di Canio menyertai Napoli secara pinjaman pada musim 1993/94.

Semusim di Naples, Marcelo Lippi menyifatkan Di Canio sebagai pemain terbaik di Serie A pada masa itu.

Malangnya dua musim berikutnya ketika bersama AC Milan, Di Canio sukar mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama dengan Ruud Gullit menjadi pilihan utama Fabio Capello di posisi No.10.

Di Canio sekali lagi berbalah dengan pengurus di Milan dan ini menyebabkan beliau menyertai Celtic pada tahun 1996.

Menakluk Liga Perdana Inggeris

Dengan 15 gol dari 37 penampilan di Scotland, kebolehan Di Canio mulai mendapat perhatian kelab Inggeris. Paolo Di Canio akhirnya menyertai Sheffield Wednesday pada tahun 1997.

Percaturan Sheffield Wednesday untuk mempercayai Di Canio nyata membuahkan hasil. Pada musim pertamanya di Liga Inggeris, Di Canio menjaringkan sejumlah 14 gol, tampil sebagai penjaring terbanyak Wednesday pada musim tersebut.

Restrictions: Strictly Editorial Use Only.

Tetapi kehadiran Di Canio di sesebuah kelab sememangnya sebentar sahaja.

Beliau kemudiannya menyertai West Ham pada jendela perpindahan Januari 1999. Sekali lagi nama Paolo Di Canio menjadi idola dan kali ini di Uptown Park.

Sepanjang tempoh di Upton Park, kehadiran Paolo Di Canio telah membantu West Ham untuk layak ke saingan Piala UEFA, menjaringkan 48 gol di dalam 118 penampilan untuk kelab London tersebut.

Hidupnya bagaikan sunyi tanpa kontroversi. Sekali lagi insiden di luar padang mengubah arah karier Di Canio. Pertikaman lidah secara umum dengan pengurus Glenn Roeder pada 2003 menyebabkan haluannya berpindah ke Charlton Athletic.

(Photo by Tony O’Brien/EMPICS via Getty Images)

Walaupun telah menyambung kontrak untuk terus kekal bersama Charlton, Di Canio tidak mampu untuk menolak tawaran untuk menyertai kembali kelab kesayangannya Lazio.

Selepas 7 tahun di Liga Perdana Inggeris, Di Canio sanggup menerima potongan gaji sebanyak 75% semata-mata untuk kembali menyertai kelab yang disokongnya sejak zaman kanak-kanak itu.

Kembali ke Lazio

Paolo Di Canio mungkin mendapat perpindahan yang beliau impikan. Untuk kembali ke Lazio. Namun demikian, kepulangan dirinya ke Lazio bukanlah seperti mimpi yang dirinya harapkan.

Di Canio mempunyai sejarah dan hubungan yang erat dengan kumpulan Ultras kelab tersebut. Kepulangan Di Canio ke Lazio menyebabkan pengaruh kumpulan Ultras semakin ketara di dalam kelab. Ini memberikan publisiti negatif terhadap kelab.

(Photo credit should read CARLO BARONCINI/AFP/Getty Images)

Paolo Di Canio juga dilaporkan mempunyai masalah dengan rakan sepasukan dan sekali lagi bersengketa dengan jurulatih pasukan.

Skrip lama seakan berulang. Akhirnya Di Canio dilepaskan pada musim panas 2006, sebelum menyertai Cisco Roma, sebuah kjelab C2 di divisyen ke-4 bola sepak Itali.

Kontroversi

Di Canio merupakan seorang pemain yang gemar menongkah arus dan melanggar peraturan yang ditetapkan. Beliau juga tidak pernah berfikir dua kali untuk meluahkan pendapat dan pandangan, menyebabkan Di Canio dilabel sebagai seorang pemain yang sukar diurus.

Persengketaan dengan pengurus dan jurulatih seperti Ron Atkinson, Glenn Roeder, Fabio Capello dan Marcelo Lippi menyebabkan karier Di Canio sering berpindah kelab. Di Canio hanya mampu menyalahkan personaliti luar jangka dan perangainya sendiri untuk ini.

(Photo By Ben Radford/Getty Images)

Bagi yang mengikuti Liga Perdana Inggeris pada tahun 1998, anda pasti ingat insiden Paolo Di Canio menolak pengadil Paul Alcock sehingga terduduk ketika mewakili Sheffield Wednesday menentang Arsenal di Highbury.

Tindakannya itu hanya kerana tidak berpuas hati dengan layangan kad merah Alcock, dan beliau digantung 11 perlawanan serta denda £10,000 kerana perlakuannya itu.

Sepanjang kariernya, sukar untuk kita memahami mengapa Di Canio sukar mengikut arahan dan peraturan mudah yang sebenarnya adalah perkara biasa untuk mana-mana pemain profesional.

(Photo credit should read PAOLO COCCO/AFP/Getty Images)

Disebabkan masalah sikapnya itu, Paolo Di Canio tidak pernah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Itali walaupun menyedari bakat luar biasa yang dimiliki oleh pemain ini.

Kehadiran Di Canio di sesebuah kelab seolah-olah seperti bahana yang hanya menunggu masa untuk meletus.

Pada Januari 2005, Di Canio menjaringkan satu gol cantik dan meraikannya bersama-sama penyokong Lazio dengan kaedah seperti mengagungkan pemimpin fahaman fascist, Benito Mussolini.

Walaupun menafikan perkara ini, tattoo dengan tulisan DVX pada lengannya pasti tidak membantu. Tulisan tersebut adalah kaedah di Latin untuk merujuk kepada Benito Mussolini

Keindahan ciptaan Di Canio

Harry Redknapp menyifatkan Di Canio seperti ini: Di Canio akan mengkagumkan anda ketika bola di kakinya. Pemain lain sanggup untuk membayar, hanya untuk menyaksikan Di Canio menjalani latihan.

Ini menjelaskan satu perkara. Aksi Di Canio akan menghiburkan sesiapa sahaja. Di kemuncak prestasi dan fokus, sukar untuk pemain lain menyamai kepintaran, skill dan teknik yang ada pada Di Canio.

Jaringan volley Di Canio pada 1999 ketika menentang Wimbledon dalam aksi EPL dipilih sebagai penerima anugerah BBC Goal of the Season. Pada musim yang sama, Di Canio turut dipilih sebagai pemain terbaik West Ham oleh penyokong kelab berkenaan.

Tindakan beliau yang menangkap hantaran lintang untuk menghentikan perlawanan ketika penjaga gol Everton sedang kesakitan kerana kecederaan juga merupakan satu tindakan terpuji.

Di Canio boleh sahaja menjaringkan gol untuk pasukannya pada ketika itu. Tindakannya itu menyebabkan Di Canio dianugerahkan anugerah FIFA Fair Play.

Rumusan

Anda boleh memilih untuk mengagumi atau membenci perwatakkan yang dimiliki oleh pemain ini. Apa sahaja pendapat, satu perkara yang pasti ialah Di Canio adalah pemain yang akan memberikan setiap keringat dan upaya ketika berada di atas padang.

Apakah cara terbaik untuk mengungkapkan kualiti yang dimiliki oleh pemain ini? Paolo Di Canio merupakan seorang pemain yang sering menampilkan corak permainan yang mengujakan, penuh dengan magis dan kesungguhan.

Tidak hairanlah watak Di Canio sentiasa menjadi pujaan penyokong dan peminat, tanpa mengira kelab yang diwakilinya termaasuklah di West Ham sehingga ke hari ini.

Jika Paolo Di Canio masih beraksi pada hari ini, kami percaya Moyes tidak mengeluh dalam perlawanan pertama kendaliannya di West Ham.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN