Dengan pengumuman Alexandre Lacazette sebagai pemegang nombor 9 dalam jersi Arsenal, ramai penyokong Arsenal tertanya-tanya – mampukah beliau mengelak sumpahan nombor 9?
Kepada pembaca yang bukan peminat Arsenal, secara ringkasnya sumpahan nombor 9 Arsenal adalah kepercayaan bahawa – setiap pemain Arsenal yang memakai jersi nombor 9 akan gagal memenuhi potensinya.
Untuk mengkaji sama ada sumpahan ini benar atau tak, kami mengkaji sejarah senarai pemegang jersi nombor 9 di Arsenal.
Era sebelum Arsene Wenger
Walaupun sebelum kedatangan Arsene Wenger ke Arsenal pada 1996, sumpahan nombor 9 telah bermula.
Perlu diingat sebelum musim 1993/1993, pemain kesebelasan utama wajib memakai jersi bernombor 1-11. Bermakna jika anda bermain sebagai penyerang, nombor jersi anda pasti bernombor 9.
Jika pada minggu depan anda bermain sebagai pertahanan tengah, nombor jersi anda akan bertukar kepada 3 atau 4.
Pemain yang tersenarai dalam era sebelum Wenger ini merupakan pemain nombor 9 (penyerang klasik) yang gagal memenuhi potensi penuh mereka.
1. Malcolm Macdonald (1976-1979)
Dibeli dari Newcastle United pada musim 1976/1977 oleh Terry Neill, Malcolm ‘Supermac’ Macdonald merupakan penjaring terbanyak Newcastle United musim sebelumnya.
Di Arsenal, Supermac bermula cemerlang dengan menjadi penjaring terbanyak Arsenal dengan 29 gol – sekaligus merangkul anugerah Golden Boot.
Pada musim berikutnya, Supermac terus konsisten dengan menjaringkan 26 gol semusim pula. Bagaimanapun pada musim berikutnya (1978/1979), Supermac mengalami kecederaan kaki semasa menentang Rotherham dalam aksi League Cup.
Supermac menamatkan musim 1978/1979 dengan hanya 2 gol dalam 5 perlawanan. Ia juga menandakan bermulanya pengakhiran karier beliau di Arsenal. Supermac bersara pada Ogos 1979 ketika umurnya baru 29 tahun.
2. Frank Stapleton (1974-1981)
Dibuang dari akademi Manchester United, Arsenal memberi peluang kedua kepada Frank Stapleton dengan menandatanginya pada usia 16 tahun.
Bergandingan dengan Supermac, Stapleton menyinar hingga pernah membawa Arsenal ke 3 final FA Cup berturut-turut, termasuk menjadi juara edisi 1978/1979 apabila menewaskan Manchester United 3-2.
Pada 1981, Stapleton dibeli semula oleh Manchester United dengan harga £900,000 (£3.5 juta nilai sekarang).
Era Wenger
3. Nicolas Anelka (1997-99)
Nicolas Anelka menyertai Arsenal pada Februari 1997 ketika masih berusia 17 tahun dari PSG.
Kecederaan Ian Wright pada musim 1997/1998 memaksa Anelka untuk bermain dan gol pertamanya datang ketika kemenangan 3-2 menentang Manchester United.
Pada musim berikutnya, Anelka lebih menyerlah. Walaupun Arsenal tidak menang apa-apa piala, Anelka muncul penjaring terbanyak kelab dengan 19 gol dan berjaya menggondol anugerah PFA Young Player of the Year.
Bagaimanapun di England, Anelka banyak mengadu tentang karenah media UK yang menganggu privasi hdiupnya sehingga digelar ‘Le Sulk’.
Selepas hanya 1 musim setengah, Anelka berhijrah ke Real Madrid dengan bayaran £22.3 juta (£36 juta nilai sekarang).
4. Davor Suker (1999-2000)
Apabila Anelka berpindah ke Real Madrid, Davor Suker pula dibawa masuk.
Menyedari peluang bermainnya terhad di Real Madrid, berita perpindahan Suker diterima negatif oleh penyokong Arsenal yang risau melihat Suker hanya menjaringkan 4 gol dalam musim terakhirnya di sana.
Meskipun cemerlang dalam kempen Piala Dunia 1998, Suker hanya mamu menjaringkan 11 gol untuk Arsenal. Paling teruk, nama Suker selalu diingati oleh penyokong Arsenal kerana pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika final UEFA Cup menentang Galasataray.
Suker hanya bertahan semusim di Highbury sebelum berhijrah ke West Ham pada musim 2000/2001.
5. Francis Jeffers (2001-2004)
Setelah kosong tanpa pemilik selama semusim, akhirnya jersi nombor 9 menjumpai pemilik baru – Francis Jeffers.
Dibeli dari Everton dengan harga £8 juta pada musim panas 2001, Jeffers gagal memenuhi potensi ‘fox in the box’ beliau kerana 3 faktor – kecederaan, Sylvian Wiltord dan Thierry Henry.
Kenaikan prestasi Henry pada 1999 membuatkan Jeffers menjadi tak relevan buat Arsenal. Pada musim 2003/2004, Jeffers dipinjamkan ke Everton sebelum dipulangkan semula ke Arsenal oleh David Moyes.
Pada musim panas 2004/2005, Jeffers dijual ke Charlton Atletic dengan harga £2.6 juta sahaja.
6. Jose Antonio Reyes (2004-2007)
Ditandatangani oleh Arsenal dari Sevilla dengan harga £10.5 juta pada musim sejuk 2003/2004, Jose Antonio Reyes menyertai babak kedua musim Invincibles dengan penuh keyakinan.
Beliau membantu Arsenal mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menjaringkan gol penyamaan menentang Portsmouth dan Fulham, selain menjaringkan gol yang menyingkirkan Chelsea dari FA Cup.
Pada musim berikutnya (2004/2005), Reyes bermula cemerlang apabila menjaringkan 6 gol dalam 6 perlawanan.
Bagaimanapun apabila Wenger memindahkan beliau dari posisi penyerang ke sayap kiri, gol Reyes berkurangan. Beliau hanya menamatkan musim 2004/2005 dengan 12 gol.
Situasi Reyes di Arsenal turut tak dibantu dengan perangai sesetengah pemain senior Arsenal yang suka melakukan prank – sehingga membuatkan Reyes rindu kampung.
Wenger berjaya memujuk beliau kekal di Arsenal apabila Reyes menandatangi kontrak lanjutan selama 6 tahun. Tetapi beliau hanya bertahan selama 1 tahun sebelum dipinjamkan ke Real Madrid dan dijual ke Atletico Madrid pada musim berikutnya.
7. Julio Baptista (2006-2007)
Apabila Reyes berhijrah ke Real Madrid pada Ogos 2006, gergasi Sepanyol itu menawarkan Julio Baptista atas permintaan Wenger.
Meskipun beraksi cemerlang di Champions League dan League Cup, Baptista beraksi teruk dalam saingan liga. Beliau hanya menjaringkan 3 gol dalam 24 penampilan sebelum kembali ke Real Madrid.
8. Eduardo (2007-2010)
Masuk ke Arsenal dari Dinamo Zagreb pada Julai 2007 dengan harga £7.5 juta, karier Eduardo bermula dengan baik.
Meskipun Wenger lebih menggemari gandingan Robin van Persie dan Emmanuel Adebayor, Eduardo tetap menyinar apabila dimasukkan. Terutamanya ketika van Persie cedera. Kecemerlangan beliau di depan gol menaikkan Arsenal hingga ke kedudukan teratas liga pada Februari 2007.
Kemudian sumpahan nombor 9 Arsenal bermula. Pada 23 Februari 2008, terjahan pertahanan Birmingham City Martin Taylor mematahkan kaki Eduardo. Secara langsung, kecederaan Eduardo juga menyebabkan prestasi Arsenal merudum.
Eduardo mengambil masa setahun untuk pulih. Dan apabila pulih, Eduardo bukan lagi pemain sama. Akhirnya ada musim panas 2010, Eduardo dijual ke Shakhtar Donetsk dengan harga £6 juta.
9. Park Chu-Young (2011-2014)
Dilaporkan sedang menjalani ujian perubatan dengan Lille, Park Chu-Young menghilangkan diri dari hotel penginapannya untuk menandatangani kontrak dengan Arsenal.
Beliau membuka akaun golnya ketika aksi League Cup menentang Bolton Wanderers. Tetapi itu sahajalah gol beliau untuk Arsenal. Apabila Lukas Podolski ditandatangani, Chu-Young diberi nombor 30 pula.
Chu-Yong kekal di Arsenal sehingga 2014. Tetapi menghabiskan masanya sebagai pemain pinjaman di Celta Vigo dan Watford sebelum dijual ke kelab Arab Saudi, Al-Shabab pada Oktober 2014.
10. Lukas Podolski (2012-2015)
Tiba dari FC Koln dengan harga £10.9 juta, Lukas Podolski bukan sahaja disayangi penyokong Arsenal. Malah cemerlang di atas padang juga.
Pada musim pertamanya, Podolski menjaringkan 16 gol dan menyumbang 11 assists dalam 42 penampilan. Musim berikutnya, beliau menjaringkan 12 gol dalam 27 perlawanan.
Boleh bermain sebagai pemain sayap dan penyerang, jumlah penampilan Podolski di Arsenal menurun mendadak selepas media melaporkan beliau digugurkan oleh Wenger kerana malas turun bertahan ketika bermain di bahagian sayap.
Podolski cuba mempertahankan dirinya dengan menyeru Wenger supaya memainkannya sebagai penyerang. Tetapi apabila diberi peluang, Podolski gagal menyerlah.
Akhirnya beliau dipinjamkan ke Inter Milan sebelum dijual ke Galatasaray dengan harga £1.8 juta.
11. Lucas Perez (2016-kini)
Selepas digesa penyokong supaya membeli penyerang, akhirnya pada Ogos 2016 Wenger memenuhi hajat mereka dengan membeli Lucas Perez dari Deportivo La Coruna dengan harga £17.1 juta.
Dengan kehadiran Olivier Giroud dan Danny Welbeck, jelas sekali Perez merupakan penyerang pilihan ketiga Wenger. Ia turut tak dibantu dengan masalah kecederaan Perez.
Bagaimapun apabila diberi peluang main, Perez tidak pernah mengecewakan. Beliau pernah menjaringkan hatrik seawal minit 39 ketika aksi Champions League menentang Basel.
Kini dengan ketibaan Alexandre Lacazette yang bermain di posisi penyerang (dan mengambil nombor 9 daripadanya), jelas sekali karier Perez di Arsenal nampak semakin terhad.
Adakah anda merasakan Alexandre Lacazette mampu memecah sumpahan nombor 9 di Arsenal? Beritahu kami di ruangan komen!