9 Barang-Barang Sejarah Bola Sepak Yang Paling Mahal Di Dunia

Daripada jersi, trofi sehinggalah kepada buku, kami senaraikan 9 barang-barang sejarah bola sepak (memorabilia) bola sepak yang perlu anda dapatkan jika anda kaya.

9. Bola jaringan ke-1,000 Pele

Nilai (anggaran): USD40,000 – USD60,000 (RM160,584 – RM240,876)

Pada 19 November 1969 di Stadium Maracanã, Pele yang pada ketika itu bermain untuk Santos menjaringkan gol ke-1,000 dalam karier profesionalnya ketika menentang Vasco da Gama.

Ketika perlawanan berbaki 12 minit, Pele dijatuhkan oleh pemain Vasco da Gama dan dianugerahkan sepakan penalti.

“Buat kali pertamanya dalam karier saya, saya rasa sangat gementar,” kata Pele ketika mengimbas perasaannya sebelum mengambil sepakan penalti tersebut. Tetapi Pele berjaya mengatasi rasa gementarnya untuk menjaringkan gol ke-1,000.

Selepas menjaringkan gol, Pele segera berlari mendapatkan bola tersebut. Dan pada musim panas 2016 nanti, bola tersebut akan dilelong oleh Julien’s Auctions untuk dijadikan dana sumbangan kepada Pequeno Príncipe Childrens Hospital and Research Institute di Brazil.

Menurut Julien’s Auctions, mereka menganggarkan bola tersebut akan dijual pada harga sekitar RM160,584 hingga RM240,876.

8. Pingat juara Piala Dunia 1966 milik Gordon Banks

Nilai: £124,750 (RM709,795)

Seorang pembeli misteri memiliki pingat juara Piala Dunia 1966 milik penjaga gol England, Gordon Banks pada harga £124,750 (RM709,795) selepas dilelong pada tahun 2001.

Ketika ditanya oleh media mengapa beliau mahu menjual pingat tersebut, Banks terus-terang memberitahu beliau memerlukan duit tersebut untuk belanja keluarganya.

7. Jersi final Piala Dunia 1970 milik Pele

Nilai: £157,750 (RM897,021)

Setelah tamat perlawanan final Piala Dunia 1970 menentang Brazil, pertahanan Itali Roberto Rosato berlari pantas untuk mendapatkan jersi kuning Brazil milik Pele.

Dalam perlawanan tersebut, Itali dibelasah Brazil 1-4.

32 tahun kemudian, Rosato membuktikan keputusannya berlari mendapatkan jersi Pele membuahkan hasil lumayan apabila harga lelongan jersi Pele tersebut mencapai harga £157,750 (RM897,021).

Jersi kuning yang lengkap dengan kotoran rumput berwarna hijau itu diragui keasliannya di Brazil selepas rakan sepasukan Pele, Mario Zagallo mendedahkan beliau memiliki jersi separuh masa pertama Pele dalam perlawanan tersebut.

Jurulatih kecergasan Brazil, Admilo Chirol pula memiliki jersi separuh masa kedua Pele.

Tetapi wakil pelelong menekankan kenyataan Zagallo tidak benar dan memberitahu jersi Pele yang dilelong oleh mereka adalah yang asli selepas disahkan oleh Pele sendiri dan panel penguji kualiti.

6. Pingat juara Piala Dunia 1966 milik Nobby Stiles

Nilai: £184,000 (RM1,046,288)

Pada tahun 2007, pemenang Piala Dunia edisi 1966 bersama skuad England, Nobby Stiles menjual pingat kejuaraannya kepada Manchester United dengan harga £184,000 (RM1,046,288).

Nobby Stiles yang juga merupakan bekas pemain Manchester United merupakan antara pemain kesebelasan utama England semasa menjuarai Piala Dunia 1966.

Beraksi di posisi defensive midfielder, Stiles pernah ditugaskan untuk melakukan man marking kepada penyerang tersohor, Eusebio, semasa England menentang Portugal dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1966.

Persembahan cemerlangnya membuatkan Eusebio ‘tidak hidup’ sepanjang perlawanan. Semasa final, Stiles membantu pasukannya menewaskan Jerman Barat 4-2 untuk muncul juara Piala Dunia 1966.

Ketika ditanya wartawan mengapa beliau menjual pingat tersebut, Stiles memberitahu:

“Saya mahu tinggalkan sedikit harta untuk anak cucu saya.”

5. Replika trofi Jules Rimet

Nilai: £254,500 (RM1,447,176)

Trofi yang dijual ini hanyalah merupakan replika yang digunakan FIFA untuk acara pertunjukan selepas dua kali dicuri pada 1966 dan 1983. Trofi yang sebenar telah dicairkan menjadi bar emas selepas dicuri di Brazil pada 1983.

Pada 1997, replika trofi ini telah dilelong. Walaupun hanya bernilai £20,000 hingga £30,000 (RM113,727-170,590) sahaja, lelongan ini berjaya mencapai harga jualan sebanyak £254,500 (RM1,447,176) – 10 kali ganda daripada harga asal.

Siapa pembelinya? FIFA.

Harga lelongan yang melambung tinggi ini menimbulkan spekulasi di media kononnya trofi yang dilelong ini sebenarnya merupakan trofi sebenar.

Tetapi selepas menguji keaslian trofi tersebut, FIFA mendedahkan trofi yang dibeli tersebut hanyalah merupakan jenis replika sahaja.

4. Trofi Juliet Rimet edisi khas Pele

Nilai (anggaran): USD400,000 – USD600,000 (RM1,605,840 – RM2,408,760)

Juga bakal dilelong oleh Julien’s Auctions pada musim panas 2016 nanti, trofi ini diberikan oleh FIFA dan kerajaan Mexico kepada Pele selepas beliau mengetuai Brazil menjuarai Piala Dunia buat kali ketiga pada tahun 1970.

Pada trofi tersebut, ia terukir 3 rekod kemenangan Brazil dalam Piala Dunia yang disertai oleh Pele.

Memandangkan trofi ini sangat unik, Julien’s Auctions memberi kenyataan bahawa piala ini mampu mencapai harga USD1 juta (RM4,014,600).

Bayangkan, harga katalog untuk acara lelongan trofi ini sahaja sudah berharga USD300 (RM1,204).

3. Piala FA England

Nilai: £478,400 (RM2,720,349)

Piala FA yang dihasilkan pada 1896 ini merupakan piala asli untuk kejohanan bola sepak tertua di dunia.

Ia sebenarnya merupakan salah satu daripada 4 piala FA asli yang dihasilkan sebagai pengganti kepada trofi asal yang dicuri. 3 trofi asli yang lain masih berada di bawah simpanan England FA.

Pada tahun 2005, piala ini dijual dalam satu lelongan pada harga £478,400 (RM2,720,349). Pembelinya? David Gold, pemilik bersama kelab West Ham United.

2. Buku peraturan bola sepak Sheffield 1858

Nilai: £881,250 (RM5,011,095)

Buku peraturan bola sepak Sheffield yang ditulis dengan tulisan tangan pada 1858 ini merupakan buku asli tentang peraturan bola sepak yang paling tertua di dunia.

Buku ini mempunyai signifikan yang sangat tinggi kerana penghasilan buku peraturan inilah yang bertanggungjawab mencipta (dan memisahkan) sukan bola sepak dan sukan ragbi moden.

Antara kandungan buku tersebut yang masih digunakan dalam sukan bola sepak sehingga kini adalah peraturan sepakan sudut, sepakan percuma, sepakan gol, balingan ke dalam dan larangan menggunakan tangan.

Buku yang dilelong oleh Sheffield FC pada harga £881,250 (RM5,011,095) dan merupakan satu-satunya salinan buku peraturan bola sepak paling tua yang masih wujud sehingga kini.

Ia dijual oleh Sheffield FC pada 2011 selepas kelab tersebut mengalami masalah kewangan.

1. Jersi final Piala Dunia 1966 milik Geoff Hurst

Nilai: £2.3 juta (RM13.08 juta)

Jersi merah lengan panjang ini pada mulanya dijual oleh Geoff Hurst dalam satu lelongan pada tahun 2000 dengan harga £91,750 (RM521,722).

Pada ketika itu, Hurst turut menyertakan topi perlawanan dan trofi pemain terbaik perlawanan dalam lelongan jersi tersebut.

10 tahun selepas jersi ini dijual, ia dilelong sekali lagi. Kali ini jersi tersebut sahaja sudah mencecah harga £2.3 juta (RM13.08 juta).

Dikhabarkan pemiliknya turut membayar £1 juta hanya untuk menginsurankan jersi tersebut.

Jersi tersebut dipakai oleh Hurst ketika menjaringkan hatrik dalam final Piala Dunia 1966 untuk memberikan satu-satunya kejuaraan Piala Dunia untuk England sehingga kini.

Malah Hurst juga kekal sebagai satu-satunya pemain yang menjaringkan hatrik dalam final Piala Dunia sehingga kini.

Tak hairanlah harga jersi ini boleh mencapai nilai juta!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN