Ketua pasukan Southampton, Virgil Van Dijk kelihatan berlatih bersendirian dan mengatakan beliau mahu meninggalkan kelab tersebut. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh pengurus kelab, Mauricio Pellegrino.
Pellegrino mengarahkan Van Dijk supaya berlatih berasingan dari pemain lain kerana beranggapan mental pemain antarabangsa Belanda itu tidak 100% baik untuk bersama rakan sepasukan yang lain.
Pemain berusia 26 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool pada musim panas ini, walaupun kelab Anfield itu mengatakan mereka telah menamatkan minat terhadap pemain ini pada bulan lalu.
Southampton bagaimanapun bertegas tidak akan menjual pemain terbabit.
Bercakap kepada BBC Radio Solent, pengurus dari Argentina itu menambah: “Apabila saya bercakap dengannya, dia hanya berkata bahawa dia tidak boleh bermain kerana dia mahu pergi dari sini.
“Saya perlu bekerjasama dengan pemain yang 100% komited untuk mempertahankan Southampton.
“Inilah keputusan saya dan saya perlu berkata: ‘Baiklah, jika anda tidak mahu terlibat kerana anda tidak ok, anda perlu berlatih sendiri sehingga tempoh ini.”
Namun, Pellegrino menegaskan bahawa hubungan beliau bersama Van Dijk adalah sangat baik dan mengharapkan ketua pasukannya itu memikirkan kembali pendiriannya.
“Saya berharap Virgil boleh bermuhasabah diri, kerana anda tahu bahawa pemain hari ini adalah perniagaan besar – bukan hanya pemain tetapi di belakangnya ada banyak kepentingan yang diperlukan.
“Saya mahu membantu pasukan ini, saya ingin membantu Virgil tetapi kita memerlukan pemain, saya ulangi, pemain yang terlibat dalam setiap sesi latihan, terlibat bukan hanya dengan badan tetapi dengan minda di padang bersama pemain lain.”
Sumber :
BBC (2017) – Virgil van Dijk: Southampton defender training alone & wants move http://www.bbc.com/sport/football/40682751