4 Impak Linkin Park (Dan Chester Bennington) Dalam Dunia Bola Sepak

Let’s face it.

Majoriti daripada kita membesar dengan mendengar Linkin Park. Terutamanya yang berumur 25-34 tahun. Di Semuanya BOLA, pembaca berumur 25-34 merangkumi 55% daripada jumlah keseluruhan pembaca. Jadi saya rasa saya mewakili 55% pembaca Semuanya BOLA untuk berkata – kami sedih dan terkejut dengan berita kematian vokalis Linkin Park, Chester Bennington.

Membesar dengan album Hybrid Theory dan Meteora sebagai antara kaset-kaset yang wajib dipasang di Sony Walkman saya ketika zaman sekolah, saya perlu katakan album A Thousand Suns adalah album Linkin Park yang paling dekat dengan hati saya.

Apabila anda membeli CD A Thousand Suns, anda akan dapat satu buku kecil (gambar bawah). Buku kecil tersebut ditulis oleh Chester yang menyampaikan mesej berikut:

“Kami tidak menulis album.”

“Kata-kata [Robert] Oppenheimer masih relevan sehingga kini bukan hanya kerana nilai sejarahnya sahaja. Malah dari segi emosi juga.”

“[Album] A Thousand Suns penuh dengan perasaan bangga, kemusnahan dan penyesalan dalam hidup seseorang. Aturan ini tak semestinya bersifat linear. Dan kadang kala, penyesalan akan menguasai kitaran emosi ini.”

“Harapan akan berputik apabila kita yakin perubahan akan tiba di sebalik saat-saat menakutkan.”

Bagi anda yang tak tahu, A Thousand Suns merupakan interpretasi Linkin Park terhadap kata-kata Robert Oppenheimer (pengerusi Projek Manhattan yang melahirkan bom atom).

Sejurus selepas menyedari ciptaannya bertanggungjawab membunuh ratusan ribu penduduk Hiroshima dan Nagasaki, Oppenheimer menulis:

“If the radiance of a thousand suns
Were to burst at once into the sky
That would be like the splendour of the Mighty One…
I am become Death,
The shatterer of worlds.”

Entah mengapa, nuansa muzik dalam album ini memberi saya pengalaman sonik yang lebih berkesan berbanding album-album Linkin Park lain. Ia mempengaruhi cara saya melihat kekecewaan dalam hidup.

Dan sebagai penyokong Arsenal dan Perak, percayalah jika saya cakap – kekecewaan bukan sesuatu yang asing bagi saya (jangan troll lebih-lebih, please). Bak kata Chester dalam album ini:

“Harapan akan berputik apabila kita yakin perubahan akan tiba di sebalik saat-saat menakutkan.”

Bagaimana Linkin Park mempengaruhi dunia bola sepak

Linkin Park bukan sahaja (pernah) mempengaruhi hidup gen Y di Malaysia, malah turut mewarnai hidup komuniti bola sepak dunia.

Siapa boleh lupa apabila lagu Numb dari album Meteora menjadi ‘lagu kebangsaan’ Malta selama 0.7 saat sebelum perlawanan persahabatan antara Malta dengan Slovakia bermula pada 2014?

Linkin Park turut pernah mempamerkan penghargaan kepada peminat mereka di Perancis pada 2014 dengan bermain dalam perlawanan persahabatan bola sepak. Dalam perlawanan tersebut, Chester turun padang bersama Mike Shinoda dan Dave ‘Phoenix’ Farrell.

Chester dan Mike taklah pandai sangat bermain jika dibandingkan dengan Phoenix (yang bermain sebagai penjaga gol).

Tetapi dalam bola sepak, semangat inklusif itu yang penting. Pandai main atau tidak, belakang cerita. Yang penting anda seronok dan tiada siapa tercedera.

Anda boleh sedar walaupun Chester tidak pandai bermain bola sepak, beliau sendiri fanatik terhadap bola sepak dan tahu menghargai peminat-peminatnya yang fanatik dengan bola sepak.

Akhbar UK melaporkan bapa Chester, Lee Bennington merupakan peminat tegar Ipswich Town dan secara langsung, menjadikan Chester sendiri sebagai penyokong Ipswich Town.

Kredit: Evening Star UK

Berita kematian Chester turut mendapat respons sedih daripada Ipswich Town seperti yang ditulis mereka di Twitter.

Kemudian, ketika Bayern Munich menjulang trofi Bundesliga buat kali ke-5 berturut-turut, Chester (dan Phoenix) adalah antara anggota Linkin Park pertama yang mengucapkan tahniah kepada mereka.

https://twitter.com/iMiaSanMia/status/865679167538548736

Belasungkawa buat Chester

(Photo by Burak Cingi/Redferns)

Sebagai peminat Linkin Park, kematian Chester Bennington – walaupun menyedihkan – mestilah diakhiri dengan memori indah. Sekurang-kurangnya di kotak fikiran peminat masing-masing.

Saya sudah pastinya akan mengaitkan memori Chester dengan pengalaman dapat membeli kaset Meteora yang berharga RM29.90 di Terminal One Seremban pada tahun 2003. Perasaan membuka plastik kaset, memasukkan kaset tersebut ke Sony Walkman dan mendengarnya buat kali pertama – what an experience.

Apa pula memori indah anda dengan Chester Bennington? Kongsikan bersama kami di ruangan komen!

When my time comes,
Forget the wrong that I’ve done.
Help me leave behind some reasons to be missed
And don’t resent me
And when you’re feeling empty,
Keep me in your memory
Leave out all the rest

Sumber:

1. East Anglian Daily Times (2017). New manager, now new world-famous fan for Town. http://www.eadt.co.uk/news/new-manager-now-new-world-famous-fan-for-town-1-171739

2. Christopher Hooton (2014). Malta’s national anthem replaced with Linkin Park’s Numb at Slovakia match. Independent UK. http://www.independent.co.uk/sport/football/international/maltas-national-anthem-replaced-with-linkin-parks-numb-at-slovakia-match-9713849.html

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN