Tan Sri Annuar Musa meminta agar Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk tidak berang dan bertenang dalam isu yang melibatkan persatuan tersebut.
Menurut kemas kini beliau yang terkini di Facebook, Annuar mengatakan yang beliau pada awalnya tidak mengetahui mengenai sekatan perpindahan yang dikenakan kepada pasukan Kelantan pada mulanya.
“Ketika saya menerima kiriman SMS yang mengatakan hasil jualan Mohammed Ghaddar yang cukup besar itu membolehkan Kelantan membeli pemain lain, saya tidak tahu yang Kelantan sudah pun disekat dari mendaftar pemain baharu.”
Menurut Annuar, KAFA kini terbeban dengan isu terpaksa mengeluarkan wang perbelanjaan yang lebih kerana terpaksa membayar gaji pemain import yang tidak dapat didaftarkan.
Hal ini kerana, pada mulanya KAFA ingin menamatkan kontrak Alessandro Celin dan digantikan dengan pemain baharu iaitu Seydi L’Imam.
Akan tetapi, Annuar mengatakan yang FMLLP pada mulanya telah mengeluarkan nama Celin dari pasukan telah memasukkan semula nama pemain itu.
Ia telah menyebabkan KAFA tidak boleh mendaftarkan L’Imam.
“Rancangan asal kami adalah ingin menamatkan kontrak pemain import yang cedera dan tidak beraksi baik dengan notis penamatan kontrak telah pun diberikan pada bulan April lagi.”
“Apa yang jadi pelik adalah apabila FMLLP telah membatalkan pendaftaran pemain tersebut dan kami mahu Seydi L’Imam pula didaftarkan, mereka mendaftar semula nama pemain yang sebelum ini.”
“Ini telah menyebabkan kami terpaksa menanggung gaji kedua-dua pemain dan bermain dengan pemain yang semua sudah tahu tidak berprestasi baik.”
Annuar sekali lagi meminta agar FMLLP tidak menjadikan Kelantan sebagai ‘anak tiri’ dalam bola sepak Malaysia.
“FMLLP perlulah menimbang semula hal ini dan jangalah aniaya kami yang telah membantu Liga Malaysia.”
“Kenapa mesti Kelantan dilayan tidak elok oleh FMLLP dan FAM? Kami sudah banyak menyumbang kepada individu dan FAM.”
“Kami tak minta banyak, cukuplah keadilan dan keputusan yang tertib serta adil dan saksama.”