Skuad Datuk Ong Kim Swee memberikan senyuman kepada bola sepak Malaysia hari ini apabila menghadirkan perkhabaran gembira dari Baining Football Training Center Base, Guangzhou.
Pasukan muda kelab kaya raya Guangzhou Evergrande tewas 0-3 di tangan skuad muda B-22 Malaysia.
Sebelum ini skuad muda Malaysia tewas tipis 1-0 di tangan skuad muda China. Datuk Ong Kim Swee menggariskan isu kelekaan pemain pada awal perlawanan sebagai musuh utama mereka.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Malaysia mencipta beberapa peluang namun gagal menyempurnakannya.
Selepas itu, skuad muda B-22 kita terikat dengan skuad muda Guangzhou R&F.
Namun hari ini, skuad Datuk Ong Kim Swee benar-benar bangkit daripada kekalahan tersebut dengan kemenangan bergaya ke atas pasukan simpanan Guangzhou Evergrande.
Ianya tonik berharga untuk skuad muda Malaysia yang kini dalam rangka persiapan terakhir sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Jafri Firdaus Chew pada minit ke-33. Syafiq Ahmad menambah lagi gol pada separuh masa kedua iaitu pada minit ke-79.
Episod cemerlang skuad negara dimuktamadkan oleh prospek beharga, N.Thanabalan yang menjaringkan gol ke-3 sebelum wisel penamat.
Barisan skuad B-22 negara kali ini adalah:
Kesebelasan Utama: 1-Haziq Nadzli (PG); 5-Adib Zainudin (K), 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin; 13-Tommy Mawat Bada, 6-Danial Amier Norhisham, 14-Syamer Kutty Abba, 21-Syazwan Andik Ishak; 23-Syafiq Ahmad, 11-Jafri Firdaus Chew, 15-Sean Eugene Selvaraj.
Simpanan: 2-Ali Imran Alimi, 3-Syazwan Zaipol Bahari, 4-L Kalaiharasan, 7-Amirul Hisyam Awang Kechik, 10-S Kumaahran, 12-N Thanabalan, 16-Safawi Rasid, 18-K Kannan, 19-Ifwat Akmal Chek Kassim (PG), 20-Syahmi Safari, 22-Amierul Hakimi Awang (PG).
Syabas Anak Muda!