Baru-baru ini, Presiden ASFC (Anak Selangor Fans Club), Faizal Wahid menggesa agar FAS melantik Amri Yahyah sebagai kapten baru skuad gergasi Merah.
Sekaligus menggantikan Razman Roslan yang kini merupakan kapten pasukan Selangor. Razman Roslan dilantik menjadi kapten Selangor musim ini selepas pemergian Shahrom Kalam ke Perak.
Menurut Faizal Wahid:
“Amri adalah lagenda pasukan Selangor yang memiliki aura tersendiri membuatkan beliau dihormati oleh pemain dan penyokong. Malah Amri juga ada sifat kepimpinan yang sangat baik.”
Faizal turut mengkritik prestasi Razman Roslan yang disifatkan beliau agak menurun dan kerap melakukan kesilapan berisiko di dalam perlawanan.
Beliau merasakan pelantikan Amri akan membantu pasukan Selangor meningkatkan aksi mereka.
Penyokong bidas kenyataan ASFC
Pandangan Presiden ASFC ini ternyata kurang disenangi ramai penyokong Selangor. Dengan tajuk keratan akhbar:
“Penyokong desak lilitan ketua pasukan diserah kepada Amri”
Mereka merasakan pandangan Faizal tidak mewakili suara penyokong Selangor secara kolektif. Ia lebih kepada kenyataan peribadi.
Dalam satu laman penyokong Selangor Power Sampai Kiamat, pentadbir laman tersebut membidas kenyataan Faizal dengan memberikan 10 sebab kenapa kenyataan Faizal tidak berasas.
Kenyataan Faizal ini turut sampai ke telinga kapten Razman Roslan. Beliau ternyata tenang dan berseloroh menjawab:
“Penyokong setia Selangor tu, semua nak disuruh tukarnya. Dari presiden, exco, coach, kapten, pejabat, stadium, tempat training, tempat parking bas dan macam-macam lagi.”
“Itu memang minat (hobi) dia sejak dari dulu lagi. Jadi dia berhak untuk bercakap apa sahaja terutama Faizal Wahid ASFC.”
“Jadi, dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, saya rasa benda ini hal kecil sahaja.”
Terbaru, laman peminat ASFC juga menafikan pandangan Faizal mewakili suara ASFC.