Perayaan Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan adalah dua perayaan yang sinonim dengan budaya dan masyarakat di kepulauan Borneo.
Di Sabah, Pesta Kaamatan disambut pada 30 dan 31 Mei setiap tahun. Manakala di Sarawak, Perayaan Gawai Dayak diraikan pada setiap 1 dan 2 Jun saban tahun.
Ikuti video ucapan Selamat Hari Gawai Dayak dan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Ketua Editor Semuanya BOLA, saudara Ahmad Muzammil.
Kenali Gawai Dayak Dan Kaamatan
Di Semenanjung Malaysia, suasana kedua-dua perayaan ini tidaklah begitu dirasai. Ini adalah kerana majoriti masyarakat Dayak dan Kadazan serta Dusun berasal daripada kepulauan Borneo iaitu dari negeri Sarawak dan Sabah.
Walaupun kini sudah ramai di kalangan mereka merantau ke Semenanjung untuk mencari rezeki, kebanyakkan mereka akan kembali ke kampung halaman masing-masing untuk merayakan perayaan tersebut bersama sanak keluarga.
Pada zaman dahulu, kebanyakkan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak berasal daripada golongan petani. Menanam padi adalah sumber utama pendapatan di kampung.
Kaamatan dan Gawai Dayak diraikan pada penghujung Mei dan permulaan Jun kerana itulah masanya musim menuai selesai dilaksanakan.
Gawai dan Kaamatan adalah perayaan untuk meraikan hasil titik peluh dan kerja keras selepas semusim membanting tulang di sawah padi.
Pada zaman adat dan kepercayaan nenek moyang masih kuat di kalangan masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak satu masa dahulu, upacara sembahyang secara tradisi adalah amalan sebagai tanda ucapan syukur.
Masyarakat Dayak dengan upacara ‘miring’ (pemujaan roh nenek moyang), manakala suku kaum Kadazan turut mempunyai upacara mereka tersendiri untuk menghormati “Bambazon”(ahli sihir wanita).
Kedua-dua upacara adalah untuk menghormati semangat padi supaya hasil yang lebih lumayan diperolehi pada musim bertani akan datang.
Pada hari ini, majoriti masyarakat Dayak dan Kadazan sudah menganut agama Kristian dan Islam. Oleh itu, upacara kesyukuran diadakan mengikut landas dan hukum agama masing-masing.
Bagaimanapun, sambutan Gawai dan Kaamatan tetap meriah dengan cara tersendiri.
Sambutan Gawai Dan Kaamatan
Tinjauan kami di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) beberapa hari yang lalu mendapati ia sesak dengan penumpang yang akan terbang ke destinasi seperti Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Tawau, dan Sandakan.
Hasil semakan kami dengan pusat jualan syarikat tambang murah Air Asia turut mengesahkan 90% tempat duduk telah terjual ke semua destinasi di kedua-dua buah negeri itu.
Air Asia turut menyatakan pihak mereka terpaksa menambah beberapa penerbangan tambahan ke beberapa destinasi di dua negeri tersebut berdasarkan permintaan menjelang perayaan.
Ini bukanlah perkara yang menghairankan. Sepertimana suku kaum yang lain di Semenanjung Malaysia, masyarakat Sabah dan Sarawak juga mempunyai nilai dan sentimen kekeluargaan yang kuat.
Selama setahun mereka keluar dari kampung halaman untuk mencari rezeki, perayaan Gawai dan Kaamatan adalah masa untuk mereka kembali meraikan hasil yang mereka perolehi bersama keluarga.
Pada hari perayaan, pelbagai aktiviti telah dirancang oleh jawatankuasa yang dibentuk di setiap kampung. Sudah pasti, pekit kumang atau unduk ngadau, iaitu pertandingan ratu cantik menjadi perhatian ramai.
Mungkin anda tertanya-tanya akan istilah ini. Kumang adalah watak di dalam mitos suku kaum Iban. Mitos menyatakan Kumang mempunyai wajah dan susuk seperti bidadari.
Unduk Ngadau pula merujuk kepada semangat Huminodun, korban Kinoingan. Semangat Huminodun inilah yang dipercayai mengajar Bobohizan mantera yang digunakan sehingga hari ini.
Kecantikkan rupa paras Kumang dan Unduk Ngadau dijadikan inspirasi untuk pertandingan ratu cantik ini. Peserta perlu memakai set pakaian tradisi yang lengkap serta memenuhi syarat-syarat lain untuk menyertainya.
Bola Sepak Dan Borneo
Kota Kinabalu, Sandakan, Miri dan Kuching kini sedang sibuk. Penduduk-penduk tempatan sedang giat membeli belah untuk persiapan meyambut perayaan Gawai dan Kaamatan.
Suasana Gawai pada kali ini agak unik. Ini adalah kerana ia bertembung dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang disambut oleh umat Islam.
Di sini, kita boleh melihat kesatuan rakyat Sarawak yang sememangnya terkenal dengan toleransi di antara agama dan suku kaum.
Ketika kami menyusuri bandaraya Kuching, penulis terkenang kembali era kegemilangan bola sepak skuad Bujang Senang.
Tidak dapat dinafikan, Sarawak, Sabah dan malah Brunei pernah muncul sebagai gergasi bola sepak tanah air pada lewat 80an sehingga pengakhiran 90an.
Hari ini Brunei membawa haluan sendiri. Sarawak sedang bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Super. Sabah bersaing dalam 100 Plus Liga Perdana Malaysia. Masing-masing seperti tercari-cari gemilang yang lalu.
Satu perkara yang pasti ialah penyokong bola sepak di kedua-dua buah negeri pasti merindui zaman kehebatan Matlan Marjan, Scott Ollerenshaw, John Hunter dan Zapri Manai.
Rumusan
Semangat Gawai dan Kaamatan wajar diterap ke dalam dua pasukan dari Borneo, Sabah dan Sarawak yang masih bersaing dalam Liga Malaysia.
Moral dan mesejnya jelas. Sesungguhnya tuaian di akhir musim tidak akan lumayan tanpa kerja keras dan usaha dari semua pihak.
Persatuan negeri, pemain, penyokong malah syarikat-syarikat koporat harus mengambil peranan masing-masing untuk mengembalikan pasukan masing-masing ke era gemilang yang sepatutnya.
Kegemilangan lalu tidak akan datang begitu sahaja. Ia memerlukan usaha keras daripada semua pihak. Sekadar meluahkan perasaan di media sosial juga tidak akan membawa kedua-dua pasukan kemana-mana.
Sebagai penyokong, langkah turun ke stadium adalah salah satu cara pelaburan dan pengorbanan mudah yang boleh diamalkan. Siapakah lagi kalau bukan kita?
Akhir sekali, kami di Semuanya BOLA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan:
Selamat Hari Gawai Dayak, Gayu Guru Gerai Nyamai kepada masyarakat Dayak di Sarawak dan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan 2017 buat masyarakat Kadazan Dusun di Sabah.