Perlawanan ke-13 pada malam ini turut menyaksikan pertemuan di antara Perak dan Sarawak di Ipoh. Pusingan pertama yang diadakan di Kuching, menyaksikan kedua-dua buah pasukan terikat dengan jaringan 3-3.
Kedua-dua pasukan hadir ke perlawanan ini untuk mengutip 3 mata. Pasukan pelawat, Sarawak tampil dengan dua pemain import baru, Sahil Suhaimi dan Milos Raickovic Rai.
Manakala Perak hanya mempunyai Thiago Junio dan Yashir Pinto sebagai pemain import untuk diturunkan pada malam ini.
Perak memulakan perlawanan di kedudukan ke-5. Sarawak pula dalam misi survivor, berusaha untuk memperbaiki kedudukan keluar dari zon penyingkiran.
Separuh Masa Pertama
Perak melakukan sepak mula pada separuh masa pertama. Hujan lebat ketika perlawanan menyukarkan gerakan kedua-dua pasukan untuk beraksi.
Perak lebih cepat menyesuaikan diri dengan keadaan padang licin. Yashir Pinto hampir meletakkan pasukan Perak di hadapan, tetapi tandukannya pada minit ke-7 ditepis keluar oleh penjaga gol Sarawak, Mohd Shahril Sa’ari.
Percubaan pertama pasukan Sarawak hanya hadir pada minit ke-17. Mateo Roskam membuat pusingan badan cantik sebelum melepaskan satu rembatan dari luar kotak penalti, namun percubaan beliau agak tinggi.
Keadaan padang yang bertakung air menyebabkan kedua-dua pasukan cenderung untuk bermain bola lambung. Sharil Sa’ari sekali lagi menjadi wira Bujang Senang apabila menyelamatkan percubaan melencong Ahmad Khairil.
Perlawanan dihentikan oleh pengadil perlawanan pada minit ke-31 apabila salah satu lampu limpah di Stadium Perak terpadam. Perlawanan diteruskan oleh pengadil perlawanan selepas 7 minit masa berlalu.
Sayap kanan Sarawak, Abdul Rahim Abd Razak sering menarik perhatian dengan beberapa gerakan dan larian menarik dalam perlawanan ini. Ini termasuklah kebijaksaan beliau melepasi dua pertahanan Perak pada mini ke-41, namun rembatannya tinggi.
Tamat 45 minit masa sebenar, pengadil memberikan 8 minit masa tambahan. Gerakan menyerang pasukan Perak menyaksikan Yashir Pinto terus menyukarkan pertahanan Sarawak.
Ronny Harun dilayangkan kad kuning pertama perlawanan setelah menjatuhkan penyerang import dari Palestine itu. Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan jaringan 0-0.
Separuh Masa Kedua
Sarawak bermula garang pada separuh masa kedua. Hantaran cantik Roskam pada minit ke-51 disambar oleh Sahil Suhaimi dengan rembatan, namun diselamatkan oleh penjaga gol Perak, Muhamad Hafizul Hakim.
Minit ke-55, Ahmad Khairil sekali lagi mencuba gawang Bujang Senang dari luar kotak penalti, namun lencongannya sudah dibaca oleh Shahril Sa’ari.
Keadaan padang yang licin menyaksikan perlawanan sering dihentikan akibat kecederaan. Pergelutan dalam kotak penalti Sarawak pada minit ke-61 menyaksikan Ahmad Khairil dijatuhkan oleh Awang Kamaruddin namun pengadil memberikan isyarat supaya perlawanan untuk diteruskan.
Hantaran cantik Hafiz Kamal pada minit ke-69 juga gagal dimanfaatkan oleh Yashir Pinto dan Mohd Zaquan Adha. Thiago Junio mengalamai pendarahan di bahagian atas mata setelah pertembungan dengan Milos Raickovic pada minit ke-74.
Bagaimanapun, Thiago meneruskan perlawanan setelah mendapatkan rawatan.
Kedua-dua jurulatih, Mehmet Durokovic dan David Usop turut melakukan beberapa pertukaran untuk menggantikan pemain yang keletihan.
Zaquan Adha yang dimasukkan pada separuh masa kedua sekali sekala menyukarkan pertahanan kiri pasukan Bujang Senang.
Demerson menjadi pemain Sarawak kedua yang dilayangkan kad kuning setelah terjahan tidak kemasnya menjatuhkan Hafiz Kamal di luar kotak penalti Sarawak.
Sepakan percuma susulan dari Thiago disia-siakan apabila rembatan liarnya keluar di sebelah kiri gol Sarawak.
Minit-minit akhir perlawanan, menyaksikan Perak terus mengasak untuk mencuri 3 mata. Bagaimanapun, kecemerlangan Shahril Sa’ari dalam perlawanan ini jelas mengecewakan skuad Seladang.
Yashir Pinto turut dilayangkan kad kuning pada minit akhir perlawanan kerana kedudukkan kakinya yang agak tinggi dan terkena kepala Rames Lai.
Rumusan
Pegawai perlawanan akhirnya meniupkan wisel penamat, untuk mengesahkan perlawanan terikat 0-0.
Sarawak naik satu anak tangga ke tangga ke-10 Liga Super dengan 11 mata manakala Perak berada di kedudukan ke-4 sebelum Liga Super Malaysia berehat untuk memberi ruang kepada bulan Ramadhan.
Perlawanan ini turut menyaksikan aksi menarik pemain muda seperti Ahmad Khairil Anuar (Perak) dan Abd Rahim Abd Razak (Sarawak).
Kepada penyokong-penyokong Perak Darul Ridzuan!
Anda boleh mendapatkan jersi Perak 2017 yang asli (player issue) secara online di laman e-dagang Semuanya BOLA. Klik link di bawah untuk mula membeli:
SBX – Perak 2017
SBX – Perak 2017
SBX – Perak 2017
Dapatkannya cepat-cepat! Ini kerana stok cepat habis!
Mulakan gaya hidup aktif anda bersama SBX, laman e-dagang Semuanya BOLA.