Setiap Jun, di Itali, jurulatih akan berkumpul beramai-ramai di Coverciano, Florence untuk menamatkan sijil kejurulatihan mereka.
Biasanya fasa ini adalah fasa yang terakhir dalam pendidikan kejurulatihan setiap tahun.
Kebanyakan peserta adalah daripada bekas pemain yang sudah bersara. Mereka sudah dibekalkan dengan ilmu kejurulatihan yang sangat baik.
Namun kini mereka sudah bersedia untuk berada di tahap lebih tinggi. Di sinilah mereka menamatkan UEFA Pro License. Bagi jurulatih yang ada lesen pro ini, mereka akan dipanggil Il Master.
Kualiti mereka memiliki testimoni yang sangat kuat adalah dengan kejayaan Antonio Conte dan Claudio Ranieri menjuarai EPL dalam 2 musim berturut-turut.
Musim ini juga, graduan Coverciano menjuarai EPL iaitu Antonio Conte. Carlo Ancelotti pula menawan Bundesliga.
Allegri memastikan Serie A kekal milik beliau. Manakala bekas pembantu Antonio Conte iaitu Massimo Carrera berjaya membantu Spartak Moscow menjadi juara Russia sejak pertama kali selepas 2001.
Massimiliano Allegri turut berpeluang untuk menjuarai UCL beberapa minggu lagi.
Pusat akademi jurulatih mereka tidaklah mewah berbanding dengan Jerman dan England. Namun hasil daripada graduan mereka, sangat luar biasa.
Pengarah Scuola Allenatori, Renzo Ulivieri berkata:
“Kami sedang membina satu prospektif untuk pengurus. Kami menyusun dan merancang subjek berkaitan dengan taktikal, dan komunikasi.”
“Setiap calon pengurus perlu menyediakan tesis ataupun penulisan ilmiah berkaitan dengan bidang taktikal.”
“Mereka perlu mempertahankan hujah yang telah mereka tulis di dalam bahan kajian mereka. Calon lain akan diberi peluang mempertikaikan isi mereka.”
“Sepanjang kursus atau apa sahaja pembentangan hujah, atau ketika bercakap, mereka dilarang untuk menggunakan 2 ayat ini.”
“Pertama “ai miei tempi” (pada masa/zaman saya dahulu). Kedua adalah “il mio calcio” (bola sepak saya). 2 perkataan ini sangat-sangat dilarang.”
“Jika ada yang terkeluar ayat seperti itu? Minta maaf, mereka akan gagal secara automatik.”
Cara pembelajaran adalah formal tetapi budaya mencelah ketika orang lain tengah bercakap atau berhujah adalah dibenarkan.
“Setiap pelajar wajib ada buku nota dengan mereka setiap masa. Ini untuk memudahkan mereka mencatitkan apa sahaja sepanjang proses pembelajaran mereka.”
“Kami sangat percaya bahawa mereka perlu sentiasa bertukar-tukar pandangan di dalam kejurulatihan.”
Tempat tersebut telah beroperasi selama 60 tahun. Cara pengurusannya tetap sama. Mereka mungkin agak ketinggalan dan tradisional dari segi teknologi namun falsafah kejurulatihan mereka adalah sangat kuat.
Di sinilah juga mereka melahirkan nama-nama seperti Arrigo Sacchi, Marcello Lippi, Giovanni Trapattoni dan ramai lagi.
Mereka tidak mahu dikaitkan dengan isu mencipta Italian Style dalam pengurusan dan kejurulatihan. Sebab itu mereka sangat membenci falsafah ini bola sepak saya.
Apa yang mereka cuba wujudkan adalah falsafah universal yang boleh menghimpunkan 20 pemain dalam satu pasukan.
Di Coverciano, mereka ada jabatan pemantau bakat, penganalisis video, pengarah teknikal dan juga pengadil.
Mereka juga ada perpustakaan yang ada buku-buku taktikal dari seluruh dunia. Lebih penting tesis daripada bekas pelajar mereka sendiri.
Uliveieri mengakui cabaran mereka adalah, buku-buku taktikal ini berhadapan dengan cabaran zaman. Bola sepak bergerak dengan sangat pantas.
Oleh itu, mereka cuba untuk memastikan bekalan buku-buku baru ini berterusan di dalam pustaka mereka.
Mereka tidak mahu jurulatih yang keluar dari akademi mereka sudah ketinggalan zaman dan tidak mampu menampung tuntutan bola sepak moden.
Mereka turut mengambil beberapa kaedah dari kelab elit seperti Borussia Dortmund, Inter Milan, Juventus dan juga kelab yang berdekatan iaitu Perugia.
Tenaga pengajar mereka juga banyak menonton perlawanan bola sepak. Mereka akan memberitahu pelajar mereka tentang teori taktikal yang mereka dapat.
Mereka akan membentangkan video kepada pelajar. Misalnya, selepas 15 minit pertama, pelajar akan ditanya, apa akan berlaku selepas ini.
Pelajar akan memberikan teori mereka dan ramalan perkara yang akan berlaku. Begitulah juga dalam 15 minit seterusnya.
Kaedah ini bukan untuk meneka apa yang cuba dilakukan jurulatih di dalam perlawanan tersebut. Tetapi mahu mendengar apa solusi jurulatih dalam akademi mereka.
Banyak persoalan akan dibincangkan. Contohnya, bila masa penyerang ini akan turun, bagaimana kita mahu memusnahkan kekuatan pasukan lawan.