Kelantan FA akan tampil di Stadium Shah Alam pada malam ini untuk satu perlawanan amal menentang pasukan PKNS FC.
Bukanlah perkara yang asing untuk melihat pasukan di dalam Liga Malaysia mengadakan perlawanan persahabatan sesama sendiri andai tiada perlawanan dalam saingan liga.
Perlawanan persahabatan sering digunakan untuk setiap pasukan memperkemaskan barisan masing-masing dalam merencakan saingan seterusnya.
Tetapi ada satu perkara yang menarik perhatian kami untuk perlawanan amal membabitkan kedua-dua buah pasukan pada malam ini.
Sebelum ini Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa telah mengumumkan perlantikan Alfredo Gonzalez dan pemain import baharu dari Gambia, Sanna Nyassi (gambar bawah).
Langkah Penasihat KAFA ini turut dikecam sesetengah pihak kerana umum mengetahui KAFA mempunyai hutang tertunggak membabitkan gaji pemain.
Bagaimanapun, bukanlah menghairankan jika perlawanan sebegini akan digunakan oleh Zahasmi Ismail untuk menguji Nyassi dan membantu beliau mencari keserasian bersama rakan sepasukan yang baharu.
Dalam satu entri di laman sosial Facebook, Tan Sri Annuar musa menyatakan akan ada seorang lagi pemain asing daripada Afrika akan membuat penampilan dalam perlawanan amal tersebut.
Pemain yang dimaksudkan oleh beliau ialah pemain antarabangsa Uganda, Tony Mawejje.
Kelibat penyerang Uganda, Tony Mawejje akan menjadi persoalan di kalangan penyokong The Red Warrior dan juga pemerhati bola sepak tanah air.
Tony Mawejje, 26 tahun pernah beraksi di Liga Tippeligaen Norway iaitu Haugesund pada musim 2014. Tony juga telah tampil sebanyak 65 kali bersama skuad kebangsaan Uganda dan menjaringkan 8 gol antarabangsa sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, Tan Sri Annuar Musa tidak menyatakan dengan pasukan manakah Tony Mawejje akan beraksi. Beliau juga tidak melakukan sebarang pengesahan sama ada KAFA berminat untuk mendapatkan khidmat Tony Mawejje.
Buat masa ini pasukan Kelantan FA masih mendaftarkan F.Danso, M.Gomis, Alesandro Celin dan Mohamad Ghaddar sebagai pemain import pasukan pantai timur itu.
Beberapa hari yang lalu, Penasihat KAFA tersebut turut menzahirkan kemungkinan Kelantan FA akan menarik diri dari kancah Liga Super musim ini.