Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan perlantikan Alfredo Carlos Gonzales sebagai Pengarah Teknikal KAFA yang baharu.
Dalam sidang media yang diadakan di Kota Bahru semalam, Penasihat KAFA itu turut mengumumkan pemain import baharu dari Gambia, Sanna Nyasi.
Nyasi akan menyertai pasukan bimbingan Zahasmi Ismail menggantikan Alessandro Celin yang mengalami kecederaan jangka panjang.
Pengumuman Tan Sri Annuar Musa dianggap satu langkah yang mengejutkan oleh ramai pihak.
KAFA sering dikaitkan dengan beberapa rentetan kegagalan membayar gaji pemain dan bekas ketua jurulatih yang sebelum ini.
Beberapa hari yang lalu, bekas ketua jurulatih Kelantan, Velizar Popov meluahkan rasa tidak puas hati beliau di laman media sosial twitter kerana keculasan KAFA untuk membayar hutang.
Sebelum ini, seorang lagi bekas pemain import Kelantan, Jonny McKain turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana isu yang sama.
Selamat datang Alfredo Gonzales dan Sanna Nyasi
Pengarah Teknikal KAFA, Alfredo Carlos Gonzales, adalah bekas penyerang kelahiran Uruguay.
Perlantikan jawatan Pengarah Teknikal di dalam KAFA adalah satu langkah proaktif untuk memperkasakan skuad The Red Warriors dalam baki saingan Liga Super 2017.
Menurut Tan Sri Annuar Musa, usaha memperkasakan TRW itu dibuat berpandukan kepada permintaan yang dibuat oleh pengendali pasukan Zahasmi Ismail dalam perjumpaan bersama beliau sebelum ini.
“Zahasmi akan meneruskan tugasan sebagai pengendali pasukan dan Gonzales akan bergandingan dengannya untuk mengembalikan semula TRW ke landasan sebenar.”
“Pemilihan Gonzales ini dibuat berdasarkan kepada pengalaman dan rekodnya sebagai jurulatih di peringkat antarabangsa,” katanya
Tamat pusingan pertama Liga Super 2017, pasukan Kelantan menduduki tangga ke-5 di belakang pasukan seperti JDT, Pahang, Kedah dan Perak.
Pencapaian ini dianggap sebagai memberangsangkan jika kemelut kewangan yang melanda pasukan dari pantai timur ini diambil kira.
Pemain import dari Gambia, Sanna Nyasi berusia 28 tahun juga hadir dengan reputasi hebat.
Bekas penyerang San Jose Earthquakes dan Chicago Fires dalam Major League Soccer (MLS) ini turut membuat 9 penampilan bersama pasukan kebangsaan Gambia.
Sanna Nyasi juga turut pernah membantu kelab Montreal Impact menjulang Kejohanan Bola Sepak Kanada pada musim 2013 dan 2014.
Baca juga: Analisis Taktikal: 4-4-1-1 Kedah Membuahkan Hasil Untuk Tewaskan Terengganu