Sarawak menamatkan pusingan pertama Liga Super Malaysia 2017 tanpa sebarang kemenangan di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 menentang Kelantan.
Bagi Sarawak, ini adalah perlawanan yang tidak mampu untuk mereka tewas setelah tersingkir daripada saingan Piala FA.
Kelantan pasti melihat kunjungan ke Sarawak sebagai satu lagi peluang untuk menambah mata dan memperbaiki kedudukan di dalam liga.
Kelantan datang dengan reputasi hebat apabila menang kesemua 4 aksi terakhir di tempat lawan. Pendahulu senarai penjaring Liga Super dengan 16 gol, Mohamad Ghaddar juga sedang berada di puncak prestasi.
Kedua-dua jurulatih menurunkan kesebelasan utama dengan hanya dua pemain import di dalam pasukan masing-masing.
David Usop menurunkan Hairol Mokhtar untuk bergandingan dengan Ronny Harun di bahagian pertahanan.
Demerson yang acap kali bermain di bahagian pertahanan pada musim ini digandingkan dengan Awang Kamaruddin untuk menggerakkan jentera tengah.
Mateo Roskam terus diberi kepercayaan untuk mengetuai jentera serangan Sarawak bersama Shreen Tambi.
Zahasmi Ismail pula menurunkan skuad yang hampir sama ketika Kelantan mencatat kemenangan 5-1 ke atas Pulau Pinang pada 15 April yang lalu. Bezanya, Faizul Nazlin Sayuti diturunkan untuk menggantikan tonggak import Morgaro Gomis.
Gandingan Mohamad Ghaddar dan Danial Ashraf terus ditagih oleh ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail untuk memburu gol.
Sarawak lebih cepat mendapat rentak di separuh masa pertama. Gandingan Demerson dan Awang Kamaruddin di bahagian tengah berjaya menguasai bahagian tengah berbanding gandingan Badhri Radzi dan Indra Putera.
Kehadiran Demerson di bahagian tengah Sarawak nyata satu percaturan bijak daripada David Usop apabila beliau sering mematikan hantaran-hantaran merbahaya pasukan Kelantan di kawasan Zon 14 Sarawak.
Ronny Harun diberikan tugas untuk merantai Ghaddar.
Sarawak sering memulakan serangan dengan dari bahagian sayap. Abdul Rahim Abd. Razak dan Tommy Mawat sering membolosi pertahanan kiri dan kanan Kelantan untuk melakukan hantaran silang.
Percubaan pemain Sarawak sama ada tersasar, atau terus kepada dakapan penjaga gol, Mohd. Ramdhan Abd. Hamid yang turut menampilkan aksi yang meyakinkan.
Minit ke-29, menyaksikan Shreen Tambi menanduk tinggi peluang yang terhidang dan sekali lagi peluang satu lawan satu dengan penjaga gol disia-siakan oleh pemain ini.
Separuh masa kedua bermula, giliran Mateo Roskam mensia-siakan peluang keemasan yang terhidang. Rembatan Tommy Mawat terkena tiang pada minit ke-53 tetapi cubaan susulan Roskam lemah, mudah diselamatkan Mohd. Ramdhan.
Mark Hartmann dimasukkan untuk menggantikan Shreen Tambi pada suku terakhir perlawanan. Kehadiran penyerang dari Filipina itu tidak mengubah apa-apa keputusan selain rembatan liar yang melepasi palang.
Kelantan mengubah corak serangan mereka pada separuh masa kedua. Serangan-serangan pantas di bahagian sayap hampir menghukum pasukan Sarawak. Kelekaan petahanan Sarawak di minit-minit akhir perlawanan hampir dihukum oleh gandingan Ghaddar dan penyerang muda Kelantan, Danial Asyraf.
Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan menunjukkan corak permainan menarik dengan tempo yang pantas.
Bagaimanapun, jentera serangan kedua-dua pasukan gagal memburu jaringan kemenangan sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil untuk perlawanan tamat 0-0.