Selama ini kita banyak mendengar dari mulut ke mulut tentang hukuman berbentuk penderaan yang dikenakan Iraq kepada atlit mereka pada era Saddam Hussein.
Selain bola sepak, beberapa atlit Iraq dari sukan lain pernah dihukum dengan penderaan oleh kerajaan Iraq. Namun kebanyakan hukuman yang diambil ke atas atlet adalah dari keputusan Uday Hussein.
Antaranya Raed Ahmed, juara Iraq 12 kali dalam sukan angkat berat. Beliau juga pembawa bendera dalam Sukan Olimpik Atlanta.
Nama Raed Ahmed digugurkan serta merta atas arahan Uday hanya kerana Presiden Amerika Syarikat bertepuk tangan ketika melihat aksi Raed mengangkat berat.
Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan Iraq, Shahrar Haydar yang kini menetap di London telah berkongsi kisah beliau dengan ESPN.GO dalam satu penulisan lama beliau. Menurut Haydar:
Pandangan pertama
“Pertama kali saya bertemu dengan Uday Hussein, dia kelihatan seperti seorang yang baik seperti orang Iraq lain.”
“Anda tidak akan terfikir bahawa Uday (gambar) adalah anak kepada seorang diktator. Dia bercakap lembut, suka ketawa dan berbeza sangat perwatakannya dengan ayahnya.”
“Selepas melihat aksi saya ketika mewakili sekolah menengah saya. Pada tahun 1986 Uday terus menghampiri saya dan menawarkan saya peluang beraksi bersama kelab miliknya Al-Rasheed / Al-Rasid.”
“Kelab itu dibarisi ramai pemain kebangsaan Iraq dari setiap peringkat. Uday hanya berusia 21 tahun ketika menguruskan kelab itu.”
Al-Rasheed menjadi kuasa bola sepak dan dibenci
“Ramai rakan saya menasihatkan saya supaya tidak menyertai Al-Rasid kerana Uday masih mentah dalam pengurusan. Tetapi saya meneruskan hasrat saya kerana Uday seorang yang sangat baik.”
“Di hadapan semua orang dan jurulatih, Uday dengan suara tegas berkata: ‘ Tahun depan, pastikan dia ada dalam pasukan utama’.”
“Ketika saya melangkah keluar pejabat dia, Uday menghulurkan 50 dinar kepada saya (kurang dari USD1.00 ketika itu). Tetapi saya masih gembira dan rasakan ia duit penghargaan dari Uday.”
“Kemudian saya merasakan keputusan saya salah. Al-Rasid bertanding dalam liga utama di Iraq, bertanding di peringkat antarabangsa.”
“Untuk memastikan Al-Rasheed menjadi kuasa besar di Iraq, Uday telah men’curi’ pemain-pemain utama dari pesaing kami dan disumbat ke dalam pasukan kami.”
“Ini yang membuatkan kami menjadi pasukan paling dibenci di Iraq. Hampir setiap perlawanan penyokong di dalam stadium ‘menentang’kami.”
“Hampir setiap perlawanan, 40,000-50,000 penyokong dalam stadium akan bersorak membenci kami. Kami tidak selesa keluar dari rumah kerana semua orang memandang kami dengan kebencian. ”
“Jarang sekali orang tidak menyumpah seranah kami di lorong-lorong.”
“Uday memberikan tekanan kepada kami untuk menang. Kami menjadi juara Iraq dan pernah menjadi salah sebuah kelab terbaik di Asia.”
Ke penjara
“Jika kalah, beberapa pemain akan disumbat ke dalam penjara. Ia terletak berdekatan dengan bangunan Kesatuan Olimpik Iraq. Sebab itu kami panggil ia Penjara Olimpik.”
“Ada yang dipenjara beberapa hari dan ada yang dipenjarakan lebih lama. Ia tertakluk kepada Uday.”
“Kali pertama saya dipenjara kerana kalah 1-0 kepada seteru sebandar kami. Saya dipenjara 5 hari dengan beberapa pemain lain dan jurulatih.”
“Waktu petang dia akan benarkan jurulatih keluar sebentar untuk mengendalikan sesi latihan. Selepas itu, masuk balik ke dalam penjara.”
“Sikap keras Uday ini beterusan sehingga ke pasukan kebangsaan. Pada 1993, saya dipenjara lagi selepas pasukan kebangsaan kami tewas 2-0 ke atas Jordan. Kali ini saya bersama 3 pemain lain dipenjara.”
“Namun kali ini kami dipenjarakan di sebuah penjara di kawasan terpencil di Baghdad, di penjara al-Radwaniya bersama-sama dengan banduan awam.”
“Di sana, kami dipukul sepanjang 4 hari, tidur kurang 30 minit di atas lantai, tiada selimut atau bantal. Warden penjara berkelakukan ganas ke atas kami dengan banyak cara.”
“Pagi-pagi buta (menjelang fajar), mereka nak kami bangun dan mengarahkan kami menangkap lalat.”
“Salah seorang rakan saya ketika itu, Habib Jaffar, antara pemai terbaik dalam sejarah bola sepak Iraq dan digeruni serta dihormati lawan dari negara lain. Habib (gambar-baju hitam) berjaya menangkap lalat.”
“Namun mereka berkata: ‘Tangkap lalat jantan sahaja bukan betina’.”
“Kami juga kelaparan di dalam penjara. Saya hanya akan dibebaskan pada hari ke-4 jika saya mampu tangkap lalat yang dilepaskan oleh warden.”
“Uday memang suka mengugut. Pada 1990, dia mengugut untuk meletupkan kapal terbang kami jika tidak menang ke atas Iran.”
“Tapi itu hanyalah mind game dia, kerana tiada apa berlaku. Kami ketakutan sepanjang di dalam pesawat. Kami bertemu dengan dia selepas tiba di Iraq dan menjangkakan akan dipenjara beramai-ramai.”
“Tapi hari itu dia dengan marah berkata: ‘Balik ke rumah dan ingat, perlawanan seterusnya, saya akan perhatikan anda semua’.”
“Uday jarang datang ke stadium, dia hanya menonton di televisyen. Setiap kali rehat separuh masa, dia akan memberikan taklimat menerusi telefon yang disambung dengan pembesar suara.”
“Dia tidak kisah apa pun taktikal jurulatih, yang dia tahu dia nak menang. Saya masih ingat dia menjerit, Jaffar, awak ni son of b****!”
“Dia yang akan memberitahu apa strategi pada separuh masa kedua walaupun dia bukan jurutlatih.”
“Sepanjang saya bersama pasukan kebangsaan, itulah masa di mana saya paling banyak disumpah seranah. Perkara yang tidak pernah saya lalui ketika dibesarkan oleh ibu dan ayah saya.”
Bersara hanya sehari
“Saya mulai letih dan kecewa untuk bermain dengan pasukan kebangsaan. Ianya adalah cita-cita saya dari kecil dan saya sentiasa anggap ia satu kebanggaan untuk bermain demi negara.”
“Saya kemudian memutuskan untuk bersara. Buat apa saya terus bermain untuk negara jika beginilah keadaanya. Hari-hari ketakutan dan dimaki hamun.”
“Hari itu juga, pengawal beliau datang ke rumah saya pada 2.30 pagi. Saya kena ‘kutip’. Hanya kerana saya memutuskan untuk bersara dari bola sepak.”
“Ibu dan ayah saya menangis kerana di Iraq jika anda ‘dikutip’ pada tengah malam (awal pagi), biasanya anda tidak akan kembali ke rumah lagi selamanya.”
“Saya disumbat masuk ke penjara Olimpik. Di sana saya diberikan walkie-talkie dan Uday bertanya kepada saya, kenapa awak tak mahu bermain untuk Iraq?”
“Saya menjawab, saya ada ulser yang teruk dan tidak selesa untuk bermain bola sepak.”
“Uday mengarahkan saya kembali untuk berlatih ke pasukan kebangsaan esok. Kurang 24 jam daripada ‘persaraan’.”
“Dia berkata: Soal awak boleh bermain atau tidak boleh bermain adalah di tangan saya.”
“Hari keesokannya saya dihukum dengan kaki diikat dan dirotan. Dalam arab ia dipanggil falaqa. 20 kali sehari selama 3 hari.”
“Saya tidak diberikan makanan. Hanya minum segelas air sehari dan sepotong roti.”
“Selepas itu saya dihantar ke penjara al-Radwaniya sekali lagi untuk menjalani hukuman 4 hari lagi.”
“Kali ini saya menerima hukuman yang lebih berat daripada yang pernah saya terima. Saya diarahkan untuk membuka baju, kaki diikat dan diseret di atas tar yang panas.”
“Untuk memastikan luka pada badan saya lebih sakit dan dijangkiti kuman, mereka arahkan saya untuk memanjat tangga 15 kaki tingginya. Saya diarahkan melompat berkali-kali ke dalam satu lubang yang penuh dengan darah.”
“Darah itu dari satu paip yang dibuka.”
“Itu yang saya perlu lalui hanya kerana mahu berhenti bermain bola sepak.”
“Uday menjadikan atlit di Iraq sebagai hamba dan harta dia. Pernah sekali rakan saya dikutip dari rumah pada pukul 2 pagi hanya kerana dia menunjuk-nunjuk skil kepada Uday.”
“Uday suka bermain bola sepak. Tetapi dia pemain yang teruk. Hanya kerana rakan saya ‘bergurau’ dengan Uday dengan menggeleceknya di dalam padang, dia pun kena kutip.”
“Jika Uday bermain di dalam padang, kami perlu kelihatan bodoh dan membiarkan dia menggelecek seperti dia pemain yang hebat. Ramai pemain kadangkala berlakon terlepas bola kepada Uday.”
“Jika dia melakukan serangan di dalam padang, anda boleh bertahan dan merampas bola tetapi jangan sesekali melakukan contact ke atas beliau. Atau anda ke penjara.”
“Anda rasa saya malang dipenjara 4 kali? Tidak, saya bernasib baik. Ada ramai yang merasai lebih dari itu. Kali terakhir saya dipenjara adalah pada 1995 selepas Uday mendapat tahu saya mahu melarikan diri ke Hungary.”
“Uday mendapat tahu saya ada memohon visa. Petang itu juga saya ditangkap ketika di pusat latihan. 4 hari jugalah kena.”
“Tapi entah kenapa kali itu saya tidak didera. Uday cuma datang kepada saya dan berkata, ‘jangan ulangi benda ini lagi ya!’,”
Masih rindukan Iraq
“Saya bermain untuk Iraq sehingga 1998. Dan akhirnya saya berjaya melarikan diri ke luar negara. Kini saya menetap di London.”
“Saya bertugas sebagai editor sukan untuk akhbar Bahasa Arab di London. Jauh di sudut hati saya mahu menjadi jurulatih suatu hari nanti.”
“Saya suka duduk di sini. Orang di sini sangat baik dan bertimbang rasa. Di Iraq pun masyarakat kami di sana maju dan bertamadun.”
“Nenek moyang kami adalah pencipta roda, antara benda penting dalam peradaban, dan teknologi manusia sehingga ke hari ini.”
“Kami juga masyarakat yang menyumbang kepada perkembangan matematik.”
“Saya merindui Iraq tetapi Uday membuatkan saya tidak mampu untuk pulang ke ‘rumah’ buat masa ini (artikel ini ditulis Disember 1999).”
“Saya sangat kenal dengan Uday. Dia jenis yang ‘gila’ sama seperti ayahnya dan kebanyakan ahli keluarganya yang lain.”
Baca juga: TSAM Ajak FMLLP Berforum Dan Diskusi Terbuka Isu Pemotongan Mata Pasukan