Buat julung kalinya dalam sejarah bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengajak ahli gabungan, kelab dan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia untuk duduk semeja.
Tujuan mesyuarat yang diadakan pada petang tadi ialah untuk berbincang dan memberi pendapat mengenai pertandingan yang melibatkan pasukan kebangsaan.
Presiden FAM, DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ), melakukan pendekatan dengan mengambil kira pendapat ahli gabungan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa perubahan dan pertukaran mengenai jadual atau isu pemilihan pemain.
Ini adalah satu langkah untuk mengambil kira kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia dan juga skuad kebangsaan.
Pendekatan mengadakan perjumpaan sebegini adalah sesuatu yang janggal kerana ia tidak pernah dilakukan oleh badan induk bola sepak negara itu pada masa lalu.
Mengambil kira kepentingan bola sepak negara dan skuad kebangsaan pada masa kini, ia adalah satu langkah bijak daripada Presiden FAM yang baru sahaja menduduki Wisma FAM pada 25hb Mac yang lalu.
Pepatah Inggeris ada menyatakan: many brains is better than one.
Tidak rugi untuk berkongsi idea. Jelas tindakan TMJ ini adalah satu langkah bijak dan inovatif dalam merevolusikan bola sepak negara.
Baginda membuktikan bahawa Baginda mempunyai ciri kepimpinan yang unik dan tersendiri dalam membangkitkan kembali kancah bola sepak negara yang tenat.
Sebelum ini penyertaan pemain yang beraksi di kancah Liga Malaysia sering menjadi isu apabila dipanggil menyertai persiapan skuad kebangsaan.
Konflik kelab/persatuan dan skuad kebangsaan adalah perkara yang lazim berlaku di mana-mana pasukan di dunia.
Namun peraturan FIFA jelas menyatakan bahawa setiap pemain harus dibenarkan menyertai skuad negara masing-masing pada jumlah hari-hari tertentu seperti yang telah ditetapkan oleh badan induk dunia itu.
Sebelum ini pasukan Johor Darul Ta’zim pernah menarik pemain mereka daripada kem persiapan skuad kebangsaan kerana tidak bersetuju dengan kaedah panggilan badan induk kebangsaan tersebut.
Semoga perjumpaan sebegini membolehkan FAM mendapatkan formula terbaik dalam membuat panggilan terhadap pemain yang akan menyertai skuad kebangsaan.
Apapun hasil perjumpaan ini, kita mengharapkan semua pihak boleh fokus dan bersatu hati.
Agar pemain yang dipanggil untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya boleh memberikan yang terbaik tanpa diganggu oleh perkara remeh dan tidak relevan.