FIFA Manager: Musuh Tradisi Football Manager Yang Kini Pupus

Dalam arena permainan video pengurusan bola sepak turut mengalami perseteruan antara 2 jenama permainan video.

Jika dalam permainan video bola sepak yang biasa, FIFA akan bersaing hebat dengan Pro Evolution Soccer (PES) saban tahun untuk menjadi juara permainan video bola sepak yang terbaik.

Tetapi, satu masa dahulu cabang permainan video pengurusan bola sepak juga punya permusuhan mereka tersendiri.

Permusuhan tersebut melibatkan FIFA Manager menentang Football Manager.

Evolusi

FIFA Manager (FIFAM) merupakan permainan pengurusan bola sepak yang pernah dihasilkan oleh EA Sports menerusi pembangunnya (developer) iaitu Bright Future GmbH yang berasal dari Jerman.

Apa yang menariknya mengenai FIFAM, ia merupakan permainan yang bukan sahaja dimain di PC namun di konsol juga seperti di Xbox dan juga PlayStation di awal kemunculannya.

Permainan ini mempunyai beberapa kali evolusi terutamanya dari segi nama sejak kemunculannya buat kali pertama pada 1997.

Pada 1997, FIFA Soccer Manager terhasil dengan menjadikan Bobby Robson sebagai penghias kulit bagi permainan tersebut.

FIFA Soccer Manager 1997

Namun pada 1998, EA mengubah nama permainan ini kepada The FA Premier League bermula dari tahun tersebut hingga ke edisi 2002.

Namun begitu, ia akan sukar untuk menandingi permainan Football Manager atau Championship Manager ketika itu yang cukup popular.

Ia mendorong EA Sports untuk menggunakan model permainan pengurusan bola sepak bernama Anstoss yang dikeluarkan khas di Jerman sahaja.

Ia merupakan permainan pengurusan bola sepak yang sedikit pelik. Hal ini kerana pasukan bola sepak anda boleh diberikan dengan beberapa tonik tambahan seperti dadah peningkat prestasi dan kuasa makhluk asing!

Perjalanan untuk memastikan permainan ini terus hidup diteruskan apabila EA Sports mengenakan nama Total Club Manager (TCM) pada 2003 dengan menjadikan pengurus Celtic ketika itu Martin O’Neill sebagai muka depan kulit permainan tersebut.

Permainan TCM ini pada mulanya sedikit goyah apabila interface permainan sering dikecam para peminat serta berlaku masalah kehilangan data ketika bermain.

Namun tahun demi tahun TCM mula menstabilkan diri dan pada 2006, nama FIFA Manager digunakan pakai.

FIFA Manager dan penamat legasi

Siri TCM diubah menggunakan nama FIFA Manager untuk edisi 2006.

Untuk rekod, dengan nama FIFA Manager lah permainan ini dapat bertahan lama kerana nama tersebut digunakan dari 2006 sehingga keluaran terakhirnya pada 2014.

Apa yang menarik mengenai permainan ini pemain dibenarkan untuk membina stadium dengan kapasit mega yang boleh mencecah bilangan kepada 300 ribu tempat duduk!

Permainan ini diibaratkan merangkumi segalanya-galanya. Hal ini kerana para pemerhati permainan video merasakan yang permainan ini seperti “gaya hidup berbanding sebuah permainan biasa.”

Kata mereka, FIFAM merupakan ibarat permainan yang memerlukan 1 musim di dunia sebenar untuk dihabiskan!

Apa yang menarik mengenai permainan ini adalah ia pernah dihasilkan di peranti Xbox dan juga Playstation sewaktu diawal kemunculannya sebelum beralih sepenuhnya ke Windows.

Namun begitu, EA Sports menamatkan pengeluaran permainan ini selepas mengeluarkan FIFA Manager 14 selepas mengumumkan yang edisi 2014 merupakan edisi terakhir.

Tapi adakah anda tahu kenapa ia berakhir?

Mereka menamatkan siri ini selepas akhirnya mereka mengangkat bendera putih kepada musuh tradisi mereka iaitu Football Manager keluaran Sports Interactive dan juga SEGA.

Ketua pelakar FIFAM iaitu Gerald Köhler meluahkan segalanya di laman blog beliau mengakui kekalahan FIFAM di tangan FM.

“Permainan pengurusan bola sepak ini merupakan permainan yang cukup digemari di England dan juga Jerman.”

“Jelas sekali setiap tahun, hanya ada satu sahaja permainan yang mendominasi pasaran (Football Manager).”

“Teknologi permainan yang ada dalam permainan FM telah memberikan lebih banyak kuasa kepada mereka untuk terus menguasai pasaran. Dengan kemajuan yang ada pada mereka, ia memaksa kami untuk meniupkan wisel penamat.”

Walaupun mengalah, pihak FIFAM tetap mengajak para pemain FIFAM untuk terus memberikan sokongan kepada musuh tradisi mereka itu.

“Kami berharap anda semua terus menyokong dan bermain FM selama mana anda mampu.”

“Kepada anda semua yang bertahun-tahun menyokong permainan FIFA Manager, terima kasih kami ucapkan kepada anda.”

Baca juga: Bekas Pemain Bola Sepak Iraq Berkongsi Kisah ‘Didera’ Anak Saddam Hussein

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN