Sistem VAR Jadi Kenyataan Di Malaysia, Bakal Dilaksana Di Liga Super Bermula 2018

Kurang sebulan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi Presiden FAM, sudah ada banyak perubahan yang baginda mulakan. Salah satunya adalah hasrat baginda yang ingin membawa teknologi Video Assistant Referee (VAR) dan mewujudkan pengadil bola sepak profesional dalam liga bola sepak Malaysia.

Dalam liga yang pernah menyaksikan beberapa keputusan pengadil tempatan kita mengundang kemarahan penyokong, sistem VAR dan pengadil profesional nampak seperti jalan penyelesaian paling jelas.

Tetapi adakah ia betul-betul akan menjamin liga kita akan bebas dari keputusan pengadil yang berkontroversi? Adakah liga kita bersedia? Adakah pengadil kita bersedia?

Wakil kami telah berkunjung ke Johor Bharu untuk mendapatkan jawapannya daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, En. Subkhiddin Salleh.

VAR akan mula dilaksanakan tahun 2018

Ketika sidang media petang tadi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin memberitahu FAM akan melaksanakan VAR dan memprofesionalkan beberapa pengadil pada musim Liga Super 2018 nanti.

“Walaupun mula dilaksanakan pada tahun depan, tetapi kerja telah bermula sekarang. Kita akan cuba membuat pilot test kepada sistem VAR ini pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2017,” tambah Hamidin.

Sementara itu rancangan memprofesionalkan pengadil juga akan bermula pada musim liga 2018.

“FAM telah mengenal pasti 15 hingga 20 pengadil semi-pro ketika ini yang berpotensi dijadikan pengadil profesional.”

Kos melaksanakan VAR

Datuk Hamidin turut ditanya mengenai kos perlaksanaan VAR dalam liga Malaysia. Enggan memberitahu jumlah sebenar, En. Subkhiddin hanya menjawab, “Dalam juta-juta jugalah. Tapi bawah RM10 juta.”

Masalah VAR

Ketika Wellington Phoenix melayan kunjungan Sydney FC dalam aksi A-League pada 8 April 2017, pengadil Shaun Evans menghadiahkan penalti kepada Sydney FC – semuanya terima kasih kepada VAR.

Jika anda merupakan penyokong Sydney FC, anda pasti berterima kasih kepada VAR. Tetapi jika anda merupakan penyokong Wellington Phoenix dan penentang perlaksanaan VAR, ada beberapa isu yang akan anda timbulkan.

Dan untuk berlaku jujur, semua isu tersebut ada logiknya dan perlu difikirkan sebelum dilaksanakan secara meluas. Ini adalah isunya:

(i) Proses reviu hanya boleh dibuat selepas perlawanan terhenti

Pertama, pengadil Shaun Evans terpaksa menunggu rentak perlawanan terhenti sebelum boleh memulakan proses reviu VAR.

Bermula dari insiden bola terkena tangan pemain Wellington dalam kotak penalti, Evans mengambil masa 14 saat sebelum rentak perlawanan terhenti kerana kedudukan penyerang Wellington yang ofsaid.

Kemudian, Evans mengambil masa 14 saat lagi untuk mengarahkan VAR menilai semula insiden bola terkena tangan pertahanan Wellington dalam kotak penalti.

50 saat kemudian, Evans menghadiahkan sepakan penalti kepada Sydney.

Secara keseluruhannya, Evans mengambil masa 80 saat untuk membuat keputusan melalui bantuan VAR. Persoalannya sekarang:

– apa yang akan terjadi jika Wellington sempat menjaringkan gol sebelum reviu VAR dimulakan?
– apa yang akan terjadi jika pengadil mahu membuat reviu VAR tetapi rentak perlawanan tak terganggu?

Ketika ditanya oleh wakil kami, En. Subkhiddin menjelaskan semua isu ‘gangguan pada rentak perlawanan’ tidak sepenting kemahuan FAM untuk memastikan pengadilnya memberikan keputusan tepat ketika perlawanan.

“Semua isu ini akan senyap kerana yang paling penting adalah; kita memberikan keputusan yang tepat di atas padang,” jelas bekas pengadil FIFA World Cup tersebut.

Referee Muhd Nazmi Nasaruddin (Black) during Super League match between Selangor and Malacca at Selayang Stadium on 27 January 2017. Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

(ii) Pengadil akan didesak oleh pemain untuk menggunakan VAR

Masih ingat zaman sebelum kalkulator boleh dibawa masuk dalam dewan peperiksaan?

Betul, kalkulator diperlukan untuk menyelesaikan masalah Matematik Tambahan. Tetapi apabila penggunaan kalkulator mula diliberalisasikan dalam dewan peperiksaan, kita semua sudah mula meragui kalau-kalau jawapan 2+2 adalah 4. Hampir semua pengiraan matematik mudah mahu kita semak dengan menggunakan kalkulator.

Isu yang bakal timbul selepas perlaksanaan sistem VAR dalam liga bola sepak kita adalah pemain-pemain pasti akan memberi tekanan kepada pengadil untuk melakukan reviu VAR.

Menjelaskan persoalan ini, En. Subkhiddin memberitahu pemain yang memberi tekanan kepada pengadil untuk menggunakan sistem VAR akan diberi kad kuning – seperti di A-League. Beliau turut menambah:

“VAR hanya akan digunakan dalam 4 situasi: gol (sah atau tidak), penalti, kekeliruan identiti pemain yang bersalah dan kad merah.”

En. Subkhiddin turut memaklumkan sistem VAR bukan alat untuk menjadikan pengadil lebih bersenang-lenang.

“Pengadil pula tak boleh sesuka-hati menggunakan VAR. Misalnya pengadil tak tahu nak bagi kad kuning atau merah kepada seseorang pemain. Jadi mereka gunakan VAR. Itu tak boleh.”

“Mereka perlu menentukan keputusan mereka dahulu. Kemudian baru boleh guna VAR untuk periksa keputusan mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN