Kerusi panas Presiden FAM yang menjadi perdebatan peminat bolasepak tanah air kembali terbuka untuk direbut.
Terdapat 4 calon dijangka akan bertanding merebut jawatan kerusi panas ini, dan kesemua mereka ini bukanlah calang-calang individu.
Masing-masing punya kriteria yang dapat memenuhi kehendak peminat bola sepak tempatan.
Dan seperti kebiasaan setiap peminat bolasepak tanah air punya calon kegemaran mereka sendiri untuk mengemudi halatuju bola sepak negara pada masa akan datang.
Bagi yang masih belum menyokong mana-mana individu, kriteria yang kami senaraikan ini mungkin dapat membantu anda memilih calon Presiden FAM anda.
Latar belakang dalam bidang sukan
Ini antara kriteria penting untuk menjadi Presiden FAM. Sebolehnya seseorang itu harus mempunyai latar belakang dalam bidang sukan agar dapat mencurahkan ilmu dan pengalaman ketika berkhidmat nanti.
Dan untuk itu, Tengku Mahkota Johor (TMJ) dan Tan Sri Annuar Musa (TSAM) adalah calon terbaik memandangkan sumbangan mereka dalam kemajuan bolasepak negeri Johor dan Kelantan sangat besar.
Umur
Antara keempat-empat calon ini, TMJ adalah calon paling muda.
Namun pada pendapat saya, muda tidak semestinya kurang ilmu. Dan berpengalaman juga tidak semestinya penuh ilmu.
Mungkin sudah tiba masanya kita perlukan calon muda, kerana jiwa muda lebih berani, lebih yakin dan lebih rebel.
Pengaruh
Ya, pastilah pengaruh juga memainkan peranan penting untuk menjadi presiden FAM.
Dengan pengaruh yang besar dan kuat, seorang Presiden FAM itu akan dapat menarik pelabur dan penaja untuk menguatkan kewangan FAM.
Hal ini membolehkan FAM menyediakan prasarana yang bertaraf tinggi, staf kejurulatihan yang berkualiti dan pengurusan yang sistematik.
Oleh itu, boleh saya katakan keempat-empat calon ni adalah orang berpengaruh di negara kita.
Pencapaian lampau
Kriteria ini paling penting untuk dimasukkan dalam resume setiap calon.
Pencapaian lampau atau track record seperti sebuah pepatah iaitu action speaks louder than word.
Dan berani saya katakan track record TMJ adalah yang terbaik dan dapat disaksikan oleh semua peminat bola sepak negara.
Kita dapat lihat bagaimana baginda mengemudi kelab Johor Darul Takzim (JDT) menjadi sebuah kelab Asia Tenggara yang pertama menjuarai Piala AFC.
Dalam masa yang sama baginda berjaya menyediakan prasarana yang diiktiraf FIFA, dan baginda juga punya perancangan jangka panjang yang menarik untuk pembangunan bakat-bakat muda di negeri Johor.
TSAM juga mempunyai track record yang tidak kurang hebatnya semasa menjadi Presiden KAFA.
Beliau berjaya membawa Kelantan memenangi beberapa kejuaran utama untuk pasukan Kelantan ketika era gemilang mereka.
Siapakah pilihan saya?
Sudah terang lagi bersuluh, TMJ adalah calon yang paling sesuai untuk mengambil alih kerusi Presiden FAM.
Dengan transformasi kelab JDT dari sebuah kelab yang tak ternama kepada sebuah kelab yang digeruni, TMJ juga berani bersemuka dengan peminat untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepada baginda.
Baginda juga mempunyai pengaruh,dan mempunyai kerjasama dengan individu yang berpengaruh dalam peta bolasepak dunia.
Yang menjadi persoalan, kecintaan baginda terhadap JDT sangat dalam. Jadi sudikah baginda meninggalkan kelab kesayangannya itu untuk mengemudi halatuju bola sepak negara? Sama-sama kita nantikan.
TMJ adalah pilihan saya, siapa pula pilihan anda?
Nota Editor: Artikel ini dipetik dan diolah daripada penulisan Sham Shinoda dari FC Wagadugu.
Anda mahu artikel anda dibaca jutaan peminat bola sepak tanah air? Anda boleh hantarkan artikel anda ke [email protected] dalam format Microsoft Words.
Baca juga: Cornthwaite: “Di Selangor, Siapa Lambat Kena Belanja KFC. Tak Profesional Langsung.”