Marzuki Yusof, Bersaranya Seorang Lagi Ahli Class Of ’01 Terengganu

Marzuki Yusof bersara dari bola sepak pada pengumuman yang dibuat menerusi laman facebook T-Team bertarikh 22 Januari 2017.

Beliau bukanlah nama asing dalam bola sepak negara kita. Jika anda mencari seorang pemain yang layak digelar gentleman di atas padang, Marzuki Yusof rasanya dalam senarai teratas.

Pengumuman persaraan ini bermakna hanya 3 sahaja ahli Class of ’01 yang masih aktif iaitu Norfazly Alias (Felda United), Syamsuri Mustafa dan Zairo Anuar Zailani yang beraksi dengan kelab berasaskan komuniti, Terengganu City FC.

Hairuddin Omar pula sebelum ini membayangkan dirinya sudah bersara. Namun beliau berapa kali sudah menarik persaraan.

Jadi buat masa ini hanya 3 sahajalah ahli Class Of ’01 Terengganu ini yang masih aktif ketika artikel ini ditulis.

Karier

Beliau memulakan karier dengan pasukan Terengganu pada 2001. Beliau turut bersama dalam generasi emas Terengganu class Of ’01 sebagai pemain muda dan prospek berharga.

Pada awal musim Marzuki membantu Terengganu menjuarai Piala Sumbangsih 2001. Pada akhir musim Marzuki Yusof berjaya membantu Terengganu menjulang Piala Malaysia.

Beliau turut bermain dalam final menentang skuad pilihan Perak yang dibimbing Karl Heinz Weigang ketika itu.

Pada usia muda, nama Marzuki Yusof melonjak naik. Beliau menjadi pemain penting dalam skuad B-23 kebangsaan.

Di peringkat senior beliau juga kerap dipanggil namun dibayangi oleh kualiti pemain seperti Kaironnisam Sahabudin dan juga Norhafiz Zamani.

Selepas banyak spekulasi melanda, Marzuki Yusof akhirnya meninggalkan Terengganu ke Telekom Melaka pada 2004. Tidak begitu banyak yang boleh diceritakan tentang karier beliau di Telekom Melaka.

Beliau kembali semula menyarung jersi Terengganu pada 2006. Kepulangan kali ini, Marzuki Yusof berkhidmat lebih lama bersama pasukan Terengganu. Kali ini Marzuki Yusof menghidupkan kembali karier beliau di bumi kelahirannya.

Kenangan paling indah pada kepulangan kali ini adalah membantu Terengganu menjuarai Piala FA pada 2011 dengan status kapten. Tambah manis apabila Marzuki Yusof dianugerahkan pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2011.

T-Team

Pada 2012, beliau meminta untuk dilepaskan ke T-Team, namun hasratnya tertangguh kerana PBSNT masih memerlukan khidmat kapten ini.

Pada 2013, barulah Marzuki merasai pengembaraan baru bersama kelab yang berpangkalan di Terengganu iaitu T-Team. Beliau dilantik Peter Butler menjadi kapten bersama dengan George Boateng.

Pada musim 2015, ketika T-Team berkobar-kobar mahu mara ke Liga Super 2016, mereka dikejutkan dengan kehilangan kapten mereka Faramola David Oniya.

Marzuki dinaikkan pangkat untuk menjadi kapten pasukan The-Titans ini. Pada akhir musim, T-Team berjaya menempah slot ke play-off Liga Super 2016.

Ia antara kejayaan manis lagenda Terengganu ini yang terlibat dalam usaha membantu T-Team naik ke liga utama Malaysia.

Bersara

Semalam (22 Januari 2017), laman facebook rasmi T-Team mengesahkan persaraaan Mohd. Marzuki Yusof dari arena bola sepak pada usia 36 tahun.

Satu perjalanan karier yang panjang dan indah oleh Marzuki Yusof. Pasti ramai yang masih teringat corak permainan bersahaja beliau. Tidak lupa juga jaringan peluru beliau.

Buat sang lagenda Mohd Marzuki Yusof, semoga anda berjaya dalam lapangan seterusnya dalam hidup anda. Kami penyokong bola sepak Malaysia dengan ini mengucapkan Selamat Bersara dan menggantung but!

[adrotate group=”6″]

Baca juga: Irfan Bakti, Pulangnya Jurulatih Kesayangan Peminat Terengganu Dan 5 Senarai Semak

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN