Pasti ada yang pernah terfikir, kenapa sesetengah negara perlu melalui peringkat kelayakan UEFA Champions League (UCL) atau Europa League (UEL) walaupun mereka adalah juara liga di negara mereka?
Hal ini kerana terdapat sistem perkiraan mata untuk menentukan sama ada pasukan dari satu-satu liga akan memperoleh slot automatik ke UCL dan UEL atau perlu melalui peringkat kelayakan.
Oleh itu, kami akan menjawab soalan pembaca kami mengenai cara perkiraan mata ini di dalam artikel ini.
Pengenalan
Sejak diperkenalkan pada 1979 oleh UEFA. Sistem yang dikenali sebagai UEFA coefficients mempunyai 3 perkiraan berbeza untuk kategori bola sepak lelaki di Eropah:
- National team coefficients – sistem kiraan mata untuk pasukan kebangsaan. Digunakan untuk menentukan seeding sesebuah negara ketika kelayakan EURO dan pusingan akhir EURO.
- Country coefficients – sistem kiraan mata untuk mengira jumlah kiraan mata sesebuah liga secara kolektif. Seterusnya menentukan bilangan slot sesebuah liga untuk UCL dan UEL.
- Club coefficients – sistem kiraan mata untuk kelab. Ia akan menentukan kedudukan kelab dalam UEFA Club Ranking.
Jadi, dalam artikel ini kami akan menerangkan bagaiamana club coefficients yang kemudiannya memberikan kesan kepada country coefficients.
Mata kelayakan
Jika sesebuah pasukan itu bermula dari peringkat kelayakan. Jumlah mata yang ditawarkan sedikit berbeza untuk UCL dan UEL.
Jumlah mata coefficients untuk pusingan kelayakan UCL:
- 0.5 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan pertama kelayakan
- 1.0 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan kedua kelayakan
Bagi pasukan yang tersingkir di pusingan ketiga dan keempat UCL, tiada mata diberikan. Sebaliknya, mereka akan diberikan mata kelayakan UEL. Berikut jumlah mata untuk setiap pasukan UEL:
- 0.25 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan pertama kelayakan
- 0.5 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan kedua kelayakan
- 1.0 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan ketiga kelayakan
- 1.5 mata untuk pasukan yang tersingkir di pusingan keempat kelayakan
Diperingkat kelayakan UCL atau UEL, sesebuah pasukan akan memperoleh 1 mata untuk setiap perlawanan yang mereka menang. Sementara 0.5 mata akan diberikan jika seri dan 0 untuk tewas.
Dan seterusnya bermula dari peringkat kumpulan hinggalah peringkat akhir UCL dan UEL, mereka akan memperoleh 2 mata untuk setiap kemenangan, 1 mata untuk seri dan 0 untuk tewas.
Mata bonus
Bermula dari peringkat kumpulan sehingga peringkat akhir UCL dan UEL, terdapat mata bonus untuk setiap pasukan yang melalui setiap peringkat. Berikut adalah kiraan mata bonus untuk setiap peringkat:
- 4 mata bonus untuk bermain di peringkat kumpulan
- 5 mata bonus untuk bermain di peringkat 16 pasukan terakhir
- 1 mata bonus untuk setiap peringkat bermula dari suku akhir hingga ke akhir
Contoh pengiraan
Untuk mendapatkan kiraan yang lebih jelas. Kami mengambil contoh perkiraan untuk mata coefficient UCL menggunakan keputusan pasukan Celtic pada musim ini.
Celtic bermula di pusingan kedua kelayakan UCL dan tersingkir di peringkat kumpulan. Jadi berapakah mata coefficient Celtic musim ini? Kami kirakan untuk anda:
- Peringkat kelayakan: 3.5 mata dari 6 perlawanan kelayakan (3 menang, 1 seri, 2 kalah)
- Peringkat kumpulan: 3 mata dari 6 perlawanan kumpulan (3 seri, 3 kalah)
- Mata bonus: 4 mata kerana bermain di peringkat kumpulan
- Jumlah: 10.5 mata
Bagi pasukan UEL pula, kami mengira jumlah mata untuk pasukan Dundalk dari Ireland. Ia sedikit berbeza kerana Dundalk pada mulanya bermain di pusingan kelayakan UCL namun mereka tersingkir dan bermain di peringkat kumpulan UEL:
- Peringkat kelayakan UCL: 2.5 mata dari 6 perlawanan kelayakan (1 menang, 3 seri, 2 kalah)
- Peringkat kumpulan UEL: 3 mata dari 6 perlawanan kelayakan (1 menang, 1 seri, 4 kalah)
- Mata bonus: 4 mata kerana bermain di peringkat kumpulan
- Jumlah: 9.5 mata
Bagaimana pula dengan pengiraan country coefficient?
Slot untuk setiap liga di dalam UCL dan UEL dikira berdasarkan prestasi setiap pasukan dari setiap liga di 2 kejohanan tersebut pada setiap 5 tahun.
Berikut adalah cara-cara mengira mata coefficient untuk satu musim:
- Mata club coefficient dari semua kelab dari liga negara A yang bermain di UCL dan UEL akan digabungkan.
- Ia kemudiannya akan dibahagikan kepada jumlah pasukan dari liga negara A yang bermain di UCL dan UEL.
- Jadi untuk mendapatkan jumlah coefficient untuk 5 musim. Hanya tambah sahaja jumlah purata mata coefficient dari setiap musim.
Jika anda lihat pada perkiraan kami tadi, ia cuma menghasilkan jumlah mata yang kecil.
Namun dalam kiraan UEFA, ia dikira dalam kiraan ribu.
Sebagai contoh, jika sebentar tadi kita mengira mata coefficient Celtic adalah 9.5 mata. Maka, jumlahnya adalah 9.500 mata.
Hal ini kerana, dalam peraturan pengiraan UEFA coefficient, kesemua kiraan dikira dalam bentuk ribu dan jumlah mata tidak akan dibundarkan.
Kesimpulan
Pengiraan UEFA coefficient ini memang diakui sedikit rumit dan agak sukar difahami.
Namun secara amnya, sistem ini amat mudah untuk menentukan jumlah mata yang disumbangkan oleh setiap kelab dalam kejohanan UCL dan UEL.
Namun begitu, sistem ini tetap ada kelemahannya sendiri.
Hal ini kerana, ia sering berat sebelah kepada pasukan dari liga yang lebih kuat serta mengekalkan status quo terhadap pasukan-pasukan utama.
Baca juga: Makalele Role: Peranan Dinamik Dan Cerdas Di Tengah Padang