Dalam sukan bola sepak, terdapat juga sukan yang boleh dikatakan sebagai ‘adik’ kepada bola sepak.
Sebagai contoh futsal dan juga bola sepak pantai.
Futsal seperti yang kita tahu, dimainkan secara meluas dan seluruh dunia dan juga di negara kita. Namun tidak bagi bola sepak pantai.
Untuk artikel kali ini, kami ceritakan kepada anda mengenai sukan yang terkenal di Amerika Selatan ini.
Asal-usul
Bola sepak pantai ini sudah dimainkan secara tidak formal begitu lama dan ia bermula di Brazil.
Namun begitu, ia mula dimainkan secara rasmi pada 1992 selepas Beach Soccer Worldwide (BSWW) ditubuhkan.
Tujuannya BSWW ditubuhkan adalah untuk mewujudkan sistem yang teratur dari segi peraturan teknikal permainan dan membawa permainan ini ke perhatian seluruh dunia.
Pada 1994, bola sepak pantai pertama kali mendapat siaran di seluruh apabila kejohanan Beach Soccer World Championship di Pantai Copacabana, Rio De Janeiro.
Kejayaan kejohanan tersebut berjaya menarik perhatian dunia. Sejak itu, bola sepak pantai semakin berkembang dan mempunyai pengikutnya sendiri.
Asas teknikal bola sepak pantai
Pra-syarat untuk bermain bola sepak pantai adalah mestilah dilangsungkan diatas permukaan pasir yang lembut dan padang yang kecil serta kompak.
Hal ini membolehkan pemain menjaringkan gol dari mana-mana sudut di atas padang.
Disebabkan itu juga, purata percubaan tepat ke arah pintu gol untuk satu perlawanan bola sepak pantai adalah 60 percubaan tepat ke arah pintu gol!
Bola sepak pantai dimainkan secara 5 lawan 5 dengan kedua-dua pasukan mempunyai bilangan pertukaran yang tidak terhad.
Pemain juga dilarang sama sekali untuk memakai kasut ketika bermain. Namun begitu, ankle tape dibenarkan untuk dipakai ketika perlawanan.
Berbanding bola sepak biasa yang dilangsungkan secara 90 minit. Bola sepak pantai dilangsungkan selama 36 minit dengan 12 minit untuk setiap separuh masa.
Oleh kerana bola sepak pantai ini terkenal di benua Amerika, kiraan masa dilakukan secara menurun sama seperti sukan bola keranjang dan hoki ais.
Lebih kecil berbanding bola sepak biasa
Padang untuk bola sepak pantai pula berukuran 35-37 meter panjang dan 26-28 meter lebar.
Padang tersebut perlulah permukaan pasir secara keseluruhannya dan perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada objek-objek yang boleh mencederakan pemain.
Di setiap sudut padang, terdapat 6 batang tiang bendera yang mempunyai maksud tersendiri.
2 bendera di bahagian tepi padang sebelah tengah merupakan petanda bagi menunjukkan disitulah garis tengah padang.
Manakala 4 baki bendera di penjuru padang merupakan tiang bendera sepakan penjuru.
Bola sepak pantai mempunyai 4 orang pengadil. Namun tugas mereka sedikit berbeza dengan bola sepak biasa.
1 pengadil merupakan pengadil perlawanan, 2 pengadil ditugaskan untuk menjaga bangku simpanan kedua-dua pasukan.
Manakala pengadil ke-4 bertindak sebagai penjaga masa ketika perlawanan.
Piala Dunia Bola Sepak Pantai
Kejohanan-kejohanan bola sepak pantai sering diadakan untuk pasukan kebangsaan sahaja.
Piala Dunia untuk bola sepak pantai diwujudkan kali pertama pada 1995 di Brazil. Ketika itu, BSWW merupakan penganjur kejohanan tersebut.
10 tahun kemudian, kejohanan tersebut dianjurkan oleh FIFA selepas FIFA melihat kebangkitan memukau sukan ini di peringkat dunia.
Sebelum 2009, Piala Dunia Bola Sepak Pantai ini dilangsungkan secara tahunan. Namun bermula tahun 2009, kejohanan ini dilangsungkan secara dwitahunan.
Brazil merupakan kuasa utama dalam sukan ini. Untuk rekod, mereka telah menjuarai Piala Dunia Bola Sepak Pantai sebanyak 13 kali!
Untuk pengetahuan anda, pasukan negara juga pernah beraksi pada Piala Dunia Bola Sepak Pantai edisi 1999 di Brazil.
Namun rekod tidak begitu baik apabila pasukan negara hanya mampu menamatkan cabaran di peringkat kumpulan yang dihuni bersama dengan Amerika Syarikat dan Portugal.
Kesimpulan
Bola sepak pantai mungkin cabang bola sepak yang asing di negara kita kerana kurangnya pendedahan dan minat.
Namun begitu, jika anda berpeluang menonton sukan ini sama ada di internet atau kaca TV. Anda pasti akan terhibur kerana ia sedikit berbeza dengan bola sepak biasa dan juga futsal.
Kami akan mencari lebih banyak info untuk sukan ini khas untuk anda di masa akan datang.
Oh ya! Jika anda pernah bermain bola sepak pantai, jangan lupa komen di ruangan komen!
Baca juga: 5 Tips Untuk Melakukan Cubaan Gol (Shooting) Dalam Futsal