Peter Cklamovski tampil mempertahankan keputusan beliau untuk menyenaraikan dua pemain berpengaruh Malaysia, Mohamadou Sumareh serta Natxo Insa bersama skuad Harimau Malaya.
Sebelum itu, nama Sumareh dan Natxo menjadi antara pertikaian dalam kalangan peminat selepas mereka terpilih untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Ini kerana Malaysia bakal menghadapi satu aksi Kelayakan Piala Asia 2027 beberapa hari sahaja lagi menentang Nepal bagi peringkat kumpulan dalam usaha mereka untuk cuba meraih kemenangan sulung.
Bawah kendalian Peter Cklamovski buat pertama kali, pastinya beberapa perubahan diharapkan oleh peminat mampu dijelmakan jurulatih itu terutama sekali mengenai pemilihan pemain berkualiti untuk Malaysia.
Namun, kontroversi sedikit berlaku selepas nama Sumareh dan Natxo terpilih untuk bersama kem kebangsaan apabila ia menjadi bahan kritikan para peminat di media sosial.
Berikut senarai nama 27 pemain dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski untuk ke kem latihan pusat bermula 17 Mac bagi menghadapi perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa, 25 Mac
2025.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/SYhbg290vr— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 13, 2025
Apa tidaknya pada pandangan sesetengah peminat, Sumareh tidak begitu kerap beraksi pada saingan musim ini di saingan domestik serta antarabangsa selain faktor umur buat Natxo.
Walaupun begitu, jurulatih dari Australia itu memiliki alasan tersendiri mengapa beliau meletakkan nama Natxo serta Sumareh untuk tugasan sulungnya bersama pasukan kebangsaan di pentas Asia.
“Sumareh ini jika diletakkan dalam pasukan berbeza (Liga Super), pasti dia mempunyai minit permainan yang tinggi. Saya lihat ini juga sebagai peluang buatnya untuk memberikan yang terbaik sebagai balasan menerima panggilan bersama Harimau Malaya.
“Ini juga bermakna, ada pemain yang terpaksa diketepikan disebabkan Sumareh. Ini dapat difahami dan saya mahu mereka tidak berpatah semangat dan kekal positif.
“Saya mahu membentuk pasukan yang mempunyai mentaliti dan semangat juang yang tinggi. Jadi, bagi yang tidak terpilih, mereka perlu buktikan yang mereka layak terima panggilan dan berasingan merebut tempat bersama skuad kebangsaan,” katanya menerusi laporan Utusan Malaysia.
Mengenai Natxo pula, Cklamovski percaya pengalaman luas dimiliki beliau serta momentum positif dipamerkan ketika bersama Johor Darul Ta’zim di saingan AFC Champions League Elite (ACLE) mampu untuk memberi nilai tambah kepada skuad kebangsaan.
“Dia mempunyai kualiti yang saya perlukan, bersesuaian dengan corak taktikal yang saya akan terapkan. Saya mahukan pasukan yang bermain menyerang dan dia mampu untuk mengemudi jentera tengah pasukan.
“Saya lihat dia juga berada pada tahap terbaiknya ketika ini seperti yang dipamerkan bersama JDT, dia akan beri kekuatan kepada skuad kebangsaan,” katanya akhir sekali.