Hebat, itu perkataan paling sesuai digunakan kepada Kuching City kini selepas melihat prestasi cemerlang ditampilkan mereka dalam persaingan Liga Super bagi edisi 2024/2025.
Siapa sangka, tampil selaku pasukan kedua terburuk edisi lalu di saingan tersebut, hanya beberapa perubahan sahaja diperlukan mereka untuk hadir berbeza pada aksi musim ini.
Berada di kedudukan ketiga terbaik kini untuk musim kedua mereka di Liga Super, siapa dapat menjangkakannya akan berlaku?
Ya, itulah kejutan yang dicipta skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, dengan mereka menampilkan aksi cukup menyakinkan pada aksi musim ini untuk memberi persaingan sengit kepada gergasi-gergasi lain.
Contoh terbaik, pastinya ketika pasukan itu menewaskan Selangor menerusi keputusan 2-1 semalam ketika perlawanan berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak dengan aksi ditampilkan begitu menyakinkan.
KEPUTUSAN MASA PENUH – LS23#LigaSuper2024-25 #LigaMalaysia #DemiLigaKita pic.twitter.com/oPiFiISnW6
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 16, 2025
Pada aksi itu, dua gol tuan rumah terhasil menerusi pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) Ramadhan Saifullah serta Jimmy Raymond untuk terus mengutip tiga mata berguna.
Sementara The Red Giants tampil serba tidak menjadi apabila mereka hanya mampu mendapatkan satu gol sahaja melalui Mukhairi Ajmal dan pulang tanpa sebarang mata.
Kedudukan semasa kini menyaksikan Kuching City unggul di tangga ketiga Liga Super menerusi 36 mata dikutip untuk terikat bersama Sabah di tangga keempat dengan hanya dibezakan jumlah gol serta bolos.
Lapan perlawanan berturut-turut tanpa kekalahan, itu merupakan salah satu catatan terbaik yang sedang dilakar kini oleh Kuching City untuk meletakkan mereka selaku tiga pasukan semasa terbaik Liga Super.
Daripada lapan perlawanan itu, skuad kendalian Aidil Sharin meraih lima kemenangan dengan PDRM, Kelantan Darul Naim (Kelantan DN), Sri Pahang, Kedah Darul Aman, serta Selangor menjadi mangsa pasukan berkenaan.
Ramadhan Saifullah, Jimmy Raymon, Petrus Shitembi, serta Jordan Mintah menjadi antara tunjang utama kekuatan pasukan tersebut pada persaingan musim ini.
Prestasi hebat ditampilkan Kuching City bukan hanya tertakluk kepada barisan pemain dimiliki sahaja, disiplin permainan menjadi asas keutamaan mereka untuk kekal fokus meraih keputusan positif buat kelab.
Jika Terengganu dan Sabah terus gagal meraih sebarang mata penting pada baki saingan musim ini, Kuching City memiliki harapan untuk meletakkan diri mereka selaku tiga pasukan terbaik pada saingan musim 2024/2025.
Persoalannya kini, adakah Kuching City sudah lupa akan kekalahan?