Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya iaitu Rob Friend tampil memberi pandangan beliau mengenai perjalanan semasa saingan Liga Malaysia (Liga M) serta turut menegur beberapa kelemahan perlu diperbaiki.
Rekod terdahulu menyaksikan Rob Friend menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Pastinya beliau turut berharap saingan di Malaysia juga bakal dinaik taraf menjadi lebih baik sekali gus melahirkan lebih ramai para pemain berkualiti untuk menyertai pasukan kebangsaan.
Jelas Rob, saingan di Malaysia perlu tampil lebih sengit antara satu sama lain untuk meningkatkan lagi kualiti barisan pemain tempatan demi memudahkan kejurulatihan kebangsaan memilih ke kem latihan pusat.
Jadual Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027
Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen kelayakan Kumpulan F berdepan Nepal di gelanggang lawan pada 25 Mac 2025. pic.twitter.com/8nACMqNdgs
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 9, 2024
“Saya rasa Malaysia ada potensi besar dan saya teruja untuk membantu pasukan ini meskipun kita perlukan sedikit masa.
“Tugas saya adalah untuk melihat daripada luar kotak terutama daripada perkembangan pemain di peringkat akar umbi hingga ke saingan profesional hinggalah kedudukan liga tempatan.
“Secara peribadi, asas yang penting adalah liga yang kukuh kerana jika kita tidak miliki liga yang kompetitif, sukar untuk ada pasukan kebangsaaan yang terbaik.
“Jika kita ada liga yang lebih baik, barisan pemain juga mampu memberikan aksi yang lebih bertenaga kerana mereka sudah harungi sesi latihan kompetitif di peringkat kelab,” ujar beliau menerusi laporan Kosmo.
Sebelum ini juga, pengendali Harimau Malaya iaitu Peter Cklamovski turut tampil memberi pandangan beliau tentang persaingan di Liga M selepas beliau melihat sendiri aksi-aksi saingan tempatan.
Menurut pengendali dari Australia itu, saingan Liga M masih lagi ketinggalan jika dibandingan kejohanan-kejohanan utama negara Asia lain untuk mewujudkan persekitaran lebih kompetitif.
“Ini bukanlah sekadar pandangan sebaliknya ada asas selepas kita mengumpul data kejohanan liga di rantau Asia dan kedudukan Malaysia agak rendah. Liga di Vietnam dan Thailand memiliki intensiti yang lebih tinggi.
“Saya tetap berharap kelemahan ini akan dipertingkat agar Liga M akan lebih maju dan berdaya saing selepas ini,” katanya pula.
Ketika ini, hanya beberapa kelab menampilkan aksi berkualiti dan mampu membawa persaingan bersifat kompetitif sehingga melahirkan pemain-pemain bertaraf tinggi untuk skuad kebangsaan.