Nama Faisal Halim sekali lagi mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia selepas beliau terpilih bersama kem Harimau Malaya untuk tugasan antarabangsa.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencipta kejutan menerusi senarai panggilan pemain Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan sulung kejohanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal.
Menerusi senarai panggilan pemain kebangsaan bawah kendalian Peter Cklamovski itu, nama bintang Selangor tersebut turut tersenarai selepas berbulan lamanya beliau dipinggirkan untuk sesi pemulihan.
Apa tidaknya, pada awal tahun lalu Faisal telah menjadi mangsa kekejaman penjenayah tidak berhati perut selepas beliau disimbah asid sehingga menyebabkan sebahagian besar tubuh badannya mengalami kecederaan besar.
Secara perlahan-lahan Faisal bangkit daripada kisah gelap tersebut sehingga tahun 2025 menyaksikan nama beliau sekali lagi tersenarai mewakili Malaysia berdepan cabaran Nepal.
Wajar Atau Tidak Faisal Halim Kembali Bersama Harimau Malaya?
Menurut bekas jurulatih berpengalaman Harimau Malaya iaitu Datuk Ong Kim Swee, beliau mengakui tidak terkejut melihat nama Faisal kembali bersama pasukan kebangsaan.
Menurut pengendali Persis Solo di Indonesia itu, pemain dari Pulau Pinang tersebut dianggap memiliki tekad sangat kuat serta sentiasa komited beraksi di atas padang walaupun memiliki tubuh fizikal kecil jika dibandingkan rakan sepasukan lain.
“Kena faham, dia hadir daripada latar belakang keluarga yang susah dan pastinya bola sepak adalah mata pencarian utamanya dan sejak di peringkat remaja lagi dia sudah buktikan dia ada nilai tambah kepada pasukan walaupun saiz badannya yang kecil.
“Saya tak terperanjat apabila mengetahui dia sudah kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan pastinya panggilan tersebut memberi keyakinan semula kepadanya.
“Namun, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi bahawa dia dapat bermain bersama Harimau Malaya sama seperti sebelum ini. Pasukan ada tenaga pakar daripada barisan kejurulatihan seperti doktor dan fisioterapi untuk membantu Faisal,” katanya menerusi Utusan Malaysia.
Rekod sebelum itu menyaksikan Kim Swee dan Faisal pernah bekerjasama pada tahun 2018 sewaktu mereka bersama skuad Bawah 23 (B-23) mengharungi Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018.
Faisal yang kerap menjadi watak utama buat skuad kebangsaan sebelum ini pernah mencipta sensasi di pentas Piala Asia 2023 lalu di Qatar menerusi jaringannya sewaktu menghadapi Korea Selatan.
Pastinya ramai kini mengharapkan kebangkitan dibuat Faisal sekali lagi mencetuskan fenomena besar buat Harimau Malaya pada masa hadapan.