Tiga Agenda PSJ Di Qatar

Apa azam baharu anda pada tahun 2025? Selepas lebih seminggu 2025 berlalu, bagaimanakah tahap kemajuannya? Bagi DYAM Tunku Mahkota Ismail, 2025—atau seperti yang digelarnya ‘permulaan era legasi’—bermula dengan cukup produktif.

Sejak pertengahan Disember 2024 lepas, baginda telah mengadakan siri demi siri pertemuan, perjanjian dan perbincangan.

Pada minggu ini contohnya, DYAM Tunku Mahkota Ismail mengetuai delegasi JDT ke Qatar sebagai tetamu khas Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi. Ramai menganggap kehadiran DYAM Tunku Mahkota Ismail di Qatar hanya sekadar kunjungan hormat dan memenuhi jemputan. Tetapi berdasarkan apa yang terpapar di gambar-gambar pertemuan baginda di Qatar, ia lebih dari itu.

Bagaimana anda boleh tahu? Lihat butiran agenda setiap pertemuan baginda.

Sebagai contoh, pertemuan baginda dengan PSG pada 7 Januari 2025 lepas berbeza dengan pertemuan pada 27 Febuari 2016.

Sembilan tahun lepas, pertemuan di Qatar ini berkisar tentang pembangunan akademi dan kejurulatihan. Tetapi kali ini, agendanya melibatkan isu yang lebih kompleks seperti “multi-club partnership” dengan kelab-kelab di bawah Qatar Sports Investments (QSI), penjenamaan global, pembangunan infrastruktur, serta perkongsian teknologi dan kepakaran.

Pertemuan ini tiba kurang seminggu selepas DYAM Tunku Mahkota Ismail memberitahu, “Jika anda rasa apa yang saya lakukan untuk JDT selama ini hebat, tunggu dan lihat apa yang saya akan lakukan selepas ini.”

Kenyataan baginda ini jelas memberi bayangan—bukan agenda JDT sahaja berada dalam to-do list baginda. Ada dua lagi entiti yang ingin dimajukan oleh baginda. Sebagai Pemangku Sultan Johor, baginda bertanggungjawab ke atas kemakmuran ekonomi Johor. Sebagai ‘pembantu kerajaan Malaysia, KBS dan FAM’, baginda bertanggungjawab ke atas kemajuan Harimau Malaya.

Buat perjanjian, satu perkara. Merealisasikan perjanjian, satu perkara lain. Semua orang boleh buat MoU. Tetapi bukan semua orang boleh menjadikan MoU kepada sebuah projek, yang akhirnya membuahkan kejayaan. Dalam dunia bola sepak Malaysia, perjanjian JDT dengan Borussia Dortmund (2015) dan Valencia (2016) adalah antara contoh berjaya yang (malangnya) jarang-jarang berlaku.

Era Kerjasama Dortmund dan Valencia

Sejak hari pertama mengasaskan JDT lagi, DYAM Tunku Mahkota Ismail tahu kunci kejayaan sesebuah kelab terletak kepada kekuatan struktur pembangunan pemain belia. Ada banyak kelab di dunia yang boleh dijadikan contoh. Tetapi yang paling menarik minat baginda adalah Borussia Dortmund.

Sebagai salah sebuah akademi bolasepak paling produktif di Eropah, baginda tahu kunci produktivitinya terletak kepada metodologi. Jadi fokus utama kerjasama JDT-Dortmund pada tahun 2015 adalah mengadaptasi metodologi Dortmund—termasuk pendidikan taktikal, sains sukan, dan pembangunan pemain muda—ke dalam struktur Akademi JDT. Pendekatan ini bertujuan membina asas kukuh untuk melahirkan pemain-pemain berbakat dari peringkat akar umbi, seperti yang telah dilakukan oleh Dortmund selama beberapa dekad.

Setahun kemudian, JDT menjalin kerjasama dengan Valencia CF, sebuah lagi kelab yang terkenal dengan produktiviti akademi mereka melahirkan pemain berkemahiran teknikal tinggi (antaranya Juan Mata, David Silva, Joaquin dan David Villa). Jika metodologi Akademi JDT diambil dari Dortmund, Valencia pula membawa kepakaran jurulatihnya. Malah, kepakaran jurulatih Valencia ini juga membolehkan FAM mendapat khidmat Javier Jorda Ribera (Pengarah Akademi JDT) sebagai ketua jurulatih Skuad Harimau Malaya B-17.

Pelakuran Dortmund-Valencia dalam DNA Akademi JDT ini membolehkan mereka mendapat pengiktirafan sebagai Two-Star Academy oleh AFC—satu-satunya akademi di Malaysia yang mendapat pengiktirafan ini. Dalam masa kurang 10 tahun, Akademi JDT telah melahirkan banyak pemain yang telah membuat debut untuk skuad senior. Dua daripada mereka kini merupakan pemain utama skuad kebangsaan—anda tahulah siapa nama mereka. Lima lagi graduan Akademi JDT baru sahaja habis berkhidmat untuk skuad negara dalam kempen AFF 2024.

Kini Akademi JDT merupakan destinasi impian ibu bapa yang mahu anak mereka membina karier bola sepak profesional—bukan sahaja di Johor, malah satu Malaysia. Jika karier anak mereka bukan sebagai pemain profesional pun, masa depan mereka tak terabai kerana Akademi JDT menawarkan pilihan kepada pemain untuk mendapat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Malaysia. Semua kos pendidikan ini ditanggung sepenuhnya oleh JDT.

Menjawab Kritikan Dengan Kerja

“PSG cuma hormat TMJ sebab dia anak raja,” kata pengkritik susulan berita pengumuman kerjasama terbaharu JDT dengan PSG.

Realitinya Qatar Sports Investments (QSI), hanya memiliki dua kelab dalam portfolionya: PSG (Perancis) dan Braga (Portugal). Jika status kerabat diraja adalah faktor utama, mengapa tidak banyak kelab bola sepak milik keluarga diraja lain yang duduk semeja dan dijemput menjadi tetamu kehormat Nasser Al-Khelaifi? Fakta bahawa JDT adalah satu-satunya kelab di Asia Tenggara yang menjalin hubungan dengan PSG menunjukkan ini bukan tentang status, tetapi kredibiliti. JDT telah membuktikan mereka kelab yang mempunyai potensi komersial yang tinggi, baik di dalam mahupun luar padang.

“Tak ada sumbangan langsung kepada negara, cuma sekadar menaikkan nama kelabnya,” kata pengkritik lagi.

Pertemuan dengan PSG ini membuktikan sebaliknya. DYAM Tunku Mahkota Ismail memberitahu bahawa hasil perbincangan di Qatar ini bukan hanya untuk JDT tetapi juga untuk meningkatkan ekonomi negeri Johor. “Hari ini Menteri Besar Johor akan terbang ke sini untuk mengadakan beberapa perbincangan lanjutan dengan wakil-wakil kerajaan Qatar dan syarikat-syarikat Qatar yang akan meningkatkan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.”

Adakah anda serius menyangka kemajuan Harimau Malaya tidak berada dalam agenda baginda di Qatar? Apatah lagi selepas baginda bertanggungjawab menswastakan pengurusan skuad senior kebangsaan?

Sejarah sendiri memberitahu baginda sentiasa menunaikan tanggungjawabnya. Ya, baginda lantang bersuara—tetapi baginda juga gemar menjawab kritikan dengan kerjanya. Rekod baginda sebagai Presiden FAM pada 2017 juga memperlihatkan bagaimana baginda menggunakan dana peribadi untuk melangsaikan hutang FAM, hutang pasukan lain, memperbaiki fasiliti latihan skuad kebangsaan, dan membawa struktur pengurusan yang lebih profesional. Ini senarainya jika anda dah lupa.

Jika ini bukan sumbangan kepada negara, apa lagi?

Visi Masa Depan Bola Sepak Malaysia

DYAM Tunku Mahkota Ismail tidak pernah menyembunyikan aspirasinya untuk melihat bola sepak Malaysia mencapai tahap tertinggi.
Kerjasama JDT dengan PSG hanyalah sebahagian daripada visi yang lebih besar—yang sama-sama akan memajukan tiga portfolio baginda ketika ini: JDT, negeri Johor dan Harimau Malaya.

Di sebalik rasa sangsi dan kritikan orang, peranan DYAM Tunku Mahkota Ismail dalam bola sepak Malaysia adalah lebih daripada sekadar memajukan JDT. Kerjasama dengan PSG, seperti kerjasama dengan Dortmund dan Valencia sebelum ini, adalah sebahagian daripada pelan yang lebih besar untuk membawa bola sepak Malaysia ke peringkat dunia. Tetapi perubahan ini memerlukan kita untuk melihat lebih dalam—bukan untuk menyalahkan pihak lain, tetapi untuk bertanya kepada diri sendiri: Adakah kita bersedia untuk berubah seperti yang telah JDT tunjukkan?

DYAM Tunku Mahkota Ismail telah menunjukkan bahawa transformasi adalah mungkin dengan visi yang jelas dan tindakan yang nyata. Persoalannya sekarang, adakah kita akan menyokong peluang ini, atau terus kekal dalam kebencian yang sia-sia?

Apa juga sentimen kita kepada baginda, DYAM Tunku Mahkota Ismail adalah harapan terbaik kita untuk melihat Harimau Malaya yang kita boleh banggakan. Hanya baginda pemimpin di Malaysia yang mempunyai motivasi, sumber, jaringan kenalan dan hubungan yang cukup besar untuk mengubah nasib Harimau Malaya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN