Pengendali utama Penang iaitu Wan Rohaimi tampaknya kurang senang akan prestasi semasa pasukan tersebut, meskipun mereka berjaya meraih kemenangan mengatasi PT Athletic di pentas suku akhir Challenge Cup.
Terdahulu, Penang berjaya meraih kemenangan 2-0 mengatasi wakil kelab dari saingan A1 Semi Pro itu ketika aksi berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Dua gol Penang ketika itu diledak oleh pertahanan dari Brazil iaitu Rafael Vitor untuk memastikan pasukan itu mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 6-0.
Walaupun meraih kemenangan, Wan Rohaimi dilihat kurang berpuas hati akan penampilan pasukan kendaliannya terutama sekali di posisi serangan.
Apa tidaknya, Penang hanya mampu meraih dua gol penalti sahaja pada aksi tersebut dan ianya disumbangkan oleh pemain pertahanan kelab tersebut.
Jelas Wan Rohaimi, masih banyak perkara beliau perlu usahakan selepas ini untuk memperbaiki struktur permainan pasukan tersebut memandangkan saingan liga bakal berehat buat seketika.
📹 HIGHLIGHTS: PT Athletic 0-2 @Penang_FC
Penang FC mara ke Separuh Akhir MFL Challenge Cup 2024-2025 dengan agregat 6-0.#MFLChallengeCup2024-25 #DemiLigaKita #LigaMalaysia
— Malaysian Football League (@MFL_MY) December 23, 2024
Apatah lagi cabaran mereka di separuh akhir Challenge Cup juga dianggap sangat getir kerana Penang bakal menghadapi Selangor yang cemerlang menundukkan Kelantan DN menerusi kemenangan 8-1 secara agregat.
“Secara keseluruhan iya, kita dapat apa yang dihajati. Tetapi dari segi keseluruhan persembahan, saya kurang puas hati. Banyak keputusan yang mereka buat banyak tidak tepat dan mengganggu kelancaran perlawanan malam ini (aksi lalu).
“Kita banyak kena buat kerja rumah untuk permainan seterusnya, kita akan hadapi perlawanan lebih penting, pasukan lebih kuat terutama kita akan bertemu Perak FC di halaman sendiri dalam tempoh terdekat,” kata beliau menerusi perkongsian Harian Metro.
Pada masa sama, pengendali berpengalaman itu juga nekad untuk terus mempertajamkan posisi serangan kelab yang dianggap sangat tumpul ketika menghadapi cabaran PT Athletic lalu.
“Selepas perlawanan dengan Kedah, saya nampak sedikit sinar di hujung terowong walaupun kita kalah di sana. Momentum pasukan dilihat semakin meningkat. Tetapi malam ini (aksi lalu) persembahan seakan-akan kurang lancar ketika menyerang.
“Mungkin juga mereka ambil mudah kerana menang 4-0 pada suku akhir pertama. Saya harap semua ini tidak akan mengganggu perancangan kita selepas ini,” kata beliau akhir sekali.
Wan Rohaimi juga berharap dengan kehadiran kembali para pemain kebangsaan seperti Syamer Kutty Abba dapat memberi pengaruh positif buat Penang pada aksi hadapan.