Paradoks Perosak Bola Sepak Negara

Dalam masa kurang seminggu, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah berjumpa dengan Menteri Sukan dan Belia Qatar, Presiden Persatuan Bolasepak Thailand, Pengerusi Qatar Sport Investment dan Presiden Paris Saint-Germain, Presiden FIFA, Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways dan beberapa lagi nama besar dalam industri bola sepak dan sukan secara amnya.

Walaupun sibuk dengan kapasiti tugasnya sebagai Pemangku Sultan Johor, kepentingan Harimau Malaya tetap berada dalam agenda DYAM Tunku Mahkota Ismail di Qatar pada minggu ini.

Jika inilah tugas ‘perosak bola sepak Malaysia’ seperti yang dicanang-canang oleh sesetengah peminat bola sepak tempatan, maka kita perlukan lebih banyak perosak bola sepak negara.

Standard liga Thailand dengan Malaysia

Minggu lepas, sebuah video menarik perhatian baginda. Dalam video tersebut, pemilik Buriram United Newin Chidchob meluahkan keyakinan pasukannya akan menewaskan JDT jika mereka bertemu lagi pada masa akan datang. Menurut Newin, sebabnya adalah “standard liga Malaysia tidak setaraf dengan liga Thailand.” DYAM Tunku Mahkota Ismail mengakui hakikat tersebut.

“(Newin) bercakap perkara yang benar. Liga Thailand lebih kuat dan bagus. Intensiti (permainan) dan infrastruktur mereka lebih bagus. Terutamanya padang. Tahniah.”

Jika ‘perosak bola sepak Malaysia’ mengakui standard liga kita perlu diperbaiki di luar dan di atas padang, maka kita perlukan lebih banyak perosak bola sepak negara.

Apalah gunanya memelihara bola sepak negara jika kita masih hidup dalam penafian. Sehingga kini, ada di antara kita yang masih menafikan kualiti infrastruktur yang tinggi mempunyai hubungan langsung dengan produktiviti penghasilan pemain berkualiti. Sehingga kini, kita masih menafikan jurang kita dengan Kemboja dan Laos—apatah lagi Thailand dan Indonesia—sedang mengecil kerana mereka serius memperbaiki kualiti infrastruktur bola sepak negara mereka.

Sementara itu di Malaysia, ada di antara kita masih enggan mendesak kelab kita memperbaiki mutu padang kerana enggan “memberi kelebihan kepada JDT.”

Apalah gunanya memelihara bola sepak negara jika pengurusan kelab Liga Super masih mahu mengambil pemain import atas alasan “kalau tak ambil, nanti kalah besar dengan JDT.” Jika ‘perosak bola sepak Malaysia’ menyarankan kelab supaya “jangan belanja RM15 bila ada RM10”, maka kita sebenarnya memerlukan lebih banyak perosak bola sepak negara.

Janji 2013 yang telah dikotakan

11 tahun lepas, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah ‘merosakkan’ bola sepak negeri Johor. Pengkritik JDT mendakwa bola sepak Malaysia satu masa dahulu meriah kerana Johor mempunyai Johor FC dan Johor FA dalam Liga Super. Baginda menyatukan kedua-kedua kelab ini supaya sinergi kemajuan bola sepak Johor dapat disatukan ke JDT. Hasilnya hari ini, JDT merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia dan salah satu gergasi Asia Timur.

Untung orang Johor kerana ada orang yang sanggup ‘merosakkan’ ekosistem bola sepak negeri anda pada tahun 2013 dahulu.

Apabila DYAM Tunku Mahkota Ismail memberitahu, “Saya dah mengotakan janji saya 11 tahun lepas. Saksikan apa yang akan saya lakukan sekarang,”—ia seolah-olah deja vu. Tahun 2025 terasa seperti tahun 2013. Cuma bezanya, pada tahun 2025 nanti baginda akan meluaskan cita-citanya ke skala satu Malaysia.

Pada tahun 2013, DYAM Tunku Mahkota Ismail memberitahu ini kepada penyokong JDT (selepas kekalahan 1-6 suku akhir kedua Piala Malaysia 2013):

“Kejayaan tidak datang dengan sekelip mata, ianya memerlukan masa. Dan masa tersebut akan bermula pada 22hb November ini. Hari ini, saya bersama anda semua, berkongsi keperitan yang sama. Tetapi ingatlah, kekalahan umpama cuaca buruk, ianya tidak kekal selamanya. Saya inginkan impian masa hadapan lebih baik daripada sejarah yang lalu. Hidup mati Johor.”

Dan pada 9 Disember 2024 lepas, baginda memberitahu ini kepada penyokong Harimau Malaya:

“Jurulatih baharu dan pengarah sukan sedang mengumpul data pemain Malaysia di Liga Super dan di luar negara. Benda ini bukan mudah. Ia memerlukan masa. Tapi kena mula sekarang, termasuk pembangunan rangka kerja jangka masa panjang.”

Dalam rekod sejarah bola sepak Malaysia, tidak ada satu individu pun yang berani menjanjikan transformasi jangka masa panjang—sehinggalah DYAM Tunku Mahkota Ismail berbuat demikian kepada rakyat Johor pada hujung tahun 2013. Baginda (dah) janji, baginda (dah) buat, dan baginda (dah) menunjukkan hasilnya.

Jika ‘perosak bola sepak Malaysia’ adalah orang yang buat kerja betul-betul dan ada rekod hasil kerja yang bagus, maka kita perlukan lebih banyak perosak bola sepak negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN