Kelibat beberapa barisan utama Sabah dianggap mampu untuk membawa pasukan itu mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia musim 2024/2025 pada aksi bertemu Kuching City hari ini.
Terdahulu, Sabah memiliki kelebihan pada aksi suku akhir pertama kejohanan tersebut, selepas mereka meraih kemenangan tipis 1-0 mengatasi cabaran Kuching City di tempat lawan.
Jaringan tunggal daripada bekas pemain Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Farhan Roslan cukup untuk The Rhinos membawa sedikit kelebihan di halaman sendiri.
Untuk aksi hari ini, skuad kendalian Martin Stano bakal melayan kunjungan Kuching City dan ia dianggap sebagai kelebihan terbaik mereka untuk menoktahkan kemenangan serta melangkah ke pentas separuh akhir.
Apa tidaknya, Sabah akan beraksi di Likas yang sudah tentu akan mendapat sokongan padu daripada para peminat untuk memberi galakan motivasi kepada The Rhinos sepanjang aksi berlangsung.
Malah, pasukan itu juga bakal diperkuatkan oleh para pemain Harimau Malaya yang sudah tentu akan menggunakan segala pengalaman serta kelebihan untuk mengatasi pelawat.
🏆 UNIFI PIALA MALAYSIA : HARI PERLAWANAN⚡️#SabahFC #BangunlahBersatuSemua pic.twitter.com/pNGiRxYbf6
— Sabah FC Official (@SabahFCofficial) December 23, 2024
Daniel Ting, Darren Lok, Stuart Wilkin, serta Dominic Tan dijangka bakal mengisi kesebelasan utama kelab demi memastikan peluang mereka ke separuh akhir terus terbuka.
Stuart Wilkin antara nama yang dijangka bakal memainkan peranan penting pada aksi hari ini, setelah sumbangan semasa beliau bersama Sabah dianggap seimbang.
Empat gol bersama empat bantuan jaringan sudah dilakar pemain tersebut dan posisi tengah menyerang sudah tentu bakal diisi oleh tonggak utama Harimau Malaya itu selain Darren Lok di posisi serangan.
Selain itu, Dominic Tan dan Daniel Ting juga berkemungkinan besar akan mengisi kesebelasan utama di posisi pertahanan selepas momentum ditinggalkan mereka bersama kem kebangsaan cukup positif.
Selebihnya, beberapa pemain import Sabah juga tidak boleh dipandang remeh terutama sekali penyerang import dari Brazil iaitu Joao Pedro.
Setakat ini, Pedro sudah pun meledak tujuh gol dan kehadiran pemain tersebut berjaya memberikan impak besar di posisi utama serangan pasukan tersebut.
Walaupun begitu, Sabah juga tidak boleh memandang ringan cabaran Kuching City yang sudah tentu ingin mencipta kebangkitan di gelanggang pasukan lawan.
Danial Amier, Ramadhan Saifullah, serta Petrus Shitembi antara pemain yang dijangka bakal memainkan peranan penting untuk melancarkan pelan taktikal diterapkan oleh Aidil Sharin Sahak di Likas.